Selamanya Di Hati... (Cerpen)



Sejak dari pagi lagi Waisulqurni tidak senang duduk. Kerjanya jadi tungang-langgang sepanjang hari ini. Bayangan gadis manis itu ternyata sukar untuk diusir olehnya. Dia tertanya-tanya dalam hati, siapakah gerangan gadis tersebut. Inilah pertama kali dia melihat gadis itu selama dia berkhidmat untuk Abang Halim yang membuka gerai minuman bersebelahan dengan gerai Kak Maizul. Leka dia melihat gadis yang tekun bekerja di gerai sebelah itu.
            “Apa kena dengan kamu hari ini Wai. Dari tadi lagi abang lihat kamu gelisah semacam sahaja. Tidak sihatkah?” soal Halim pada jejaka itu. Risau juga melihat ragam anak muda yang entah apa masalahnya dari tadi lagi. Semua kerja lelaki muda itu jadi serba tidak kena. Tidak pernah dia begitu.
Semasa kali pertama Halim mendengar nama pemuda itu, sangatlah pelik dia rasakan. Berbelit lidahnya mahu menyebut nama pemuda itu. Kalau tidak melihat wajah, pasti orang menyangka dia dari bangsa Arab. Nak kata orang Arab pun tidak. Mesti ibu dan ayah jejaka itu punyai sejarah tersendiri ketika mahu menamakan anak mereka ini.
            “Eh, Abang Halim. Saya sihat saja. Maaf kerana hari ini semua kerja saya tunggang-langgang. Jika abang tidak berpuas hati, saya rela gaji dipotong bang. Maafkan semua kesilapan saya hari ini..” balas Waisulqurni. Terasa banyak kesalahan dia lakukan hari ini. Ada satu ketika, lain yang pelanggan minta lainpula yang diberi. Berbakul rasanya sumpah seranah yang diterima hari ini. Melayang-layang entah ke mana fikirannya. Sudah jadi gila bayang pula dia.
            “Kamu ni Wai, ke situ pula. Abang tidak bermaksud begitu. Kenalah ambil tahu akan masalah kamu. Sebagai majikan, tidak mahulah abang lepas tangan. Kebajikan dan masalah pekerja kenalah ambil kisah juga. Kamu ada masalah keluarga atau wang? Cuba beritahu sama abang. Manalah tahu jika abang boleh menolong..” Halim menawar bantuan pada jejaka itu. Niatnya ikhlas untuk membantu pekerja yang sangat rajin itu. Sayang sekali jika dia melepaskan lelaki muda di hadapannya.
            “Masalah, mana ada bang. Apa-apa pun, saya benar-benar minta maaf pada abang. Saya janji akan lebih fokus lagi esok. Kalau tiada apa-apa, saya minta diri dulu bang. Cawan dan gelas menanti di belakang untuk ‘dimandikan’. Mohon undur diri ya bang..” dia bangun lalu pantas langkahnya menghala ke belakang gerai itu. Ligat tangannya menyental segala gelas dan cawan yang ada di dalam besen besar itu. Sekali-sekala, panjang lehernya menghala ke gerai sebelah. Liar matanya mencari si dia.
*****
            “Saya nak berkawan dengan awak. Boleh tak?” Tanya Waisulqurni. Cuba memberanikan diri mendekati gadis manis itu sebaik melihat dia sedang keseorangan di belakang gerai tempat mereka bekerja. Dengan penuh selera si gadis menikmati makanan dalam pinggan di hadapan hinggakan kehadiran dirinya langsung tidak disedari. Nampak semakin manis pula apabila dilihat dari jarak dekat.
            “Hah… Nak kawan dengan saya?” Terkejut Amna Dhia dengan teguran jejaka yang muncul secara tiba-tiba itu. Mujurlah tidak tersembur makanan di dalam mulutnya. Seumur hidup dia, inilah kali pertama seorang lelaki berkata begitu padanya. Adakah ini mimpi...
            “Ya, saya nak berkawan dengan awak. Sudi tak? Nama saya Waisulqurni bin Ismail. Awak?” sekali lagi dia menyoal gadis itu sambil menghulur tangannya untuk bersalam. Terpinga-pinga dia melihat gadis itu. Kelihatan teragak-agak mahu menyambut tangannya atau tidak. Dia menguntum senyum. Sungguh, hatinya tertawan kini.
            “Emm… Amna Dhia..” balas gadis itu dengan menundukkan sedikit kepalanya. Tanda hormat tanpa menyambut huluran tangan lelaki di hadapannya. Pertama kali mendengar nama lelaki itu cukup untuk membuatkan dia terpana seketika. Sangat unik nama itu. Harapannya semoga lelaki itu juga seunik namanya. Lain dari yang lain.
“Macam tak patut pula aku nak bersalam dengan lelaki itu. HARAM hukumnya!” kata Amna Dhia dalam hati. Dengan malu-malu dia cuba menatap wajah jejaka itu. Sedaya upaya cuba memaniskan mukanya.
            “Maaf, saya terlupa..” balas Waisulqurni sambil tersengih. Dia menarik kembali tangannya dengan pantas. Macam mana dia boleh lupa batasan sesama mereka. Dia tertunduk malu. Merah padam mukanya. Langsung tidak menyedari keterlanjuran lakunya yang agak kurang sopan itu. Semoga gadis itu tidak beranggapan buruk terhadap dirinya. Itulah, semuanya gara-gara terlalu mengikut hawa nafsu sahaja. Patut dijauhi semua ini.
“Tak mengapa” kata Amna. Dia hampir tergelak sebenarnya dengan telatah jejaka itu. Namun ditahankan saja dalam hati. Terasa hati pula lelaki itu nanti. Sudahlah baru sahaja bermula sessi perkenalan antara mereka. Amna Dania tersenyum pada lelaki itu sambil menganggukkan kepalanya. Tanda setuju. Kelihatan semakin lebar senyuman terukir dibibir lelaki itu yang berkumis nipis di atasnya. Suasana sepi. Masing-masing kelihatan terdiam. Tidak tahu apa yang perlu disembangkan lagi.
*****
            “Amna. Awak tahu bagaimana sayangnya saya pada awak?” soal Waisulqurni ketika mereka sedang berehat di belakang gerai tempat mereka bekerja.
            “Tak.” jawab gadis itu ringkas. Matanya memandang raut wajah lelaki itu. Kini, dia sudah tidak malu lagi merenung wajah si kekasih hati.
            “Awak nampak laut di depan sana. Seluas mana laut itu, begitulah luasnya sayang saya pada awak. Seakan mustahil untuk diukur sayang saya itu. Percayalah, satu hari nanti awak akan saya sunting untuk menjadi permaisuri hati ini.” kata Waisulqurni sambil menekap tangan kanan ke dadanya yang bidang itu. Dia melihat gadis itu tertawa kecil.
            “Apa yang membuat awak berasa lucu Amna. Saya buat lawakkah?” soalnya lagi sambil menatap wajah pujaan hati di sebelahnya itu.
            “Tak ada apa-apalah. Bukan apa, romantik sangatlah Wai. Berdiri tegak bulu roma saya ni hah. Terima kasih sebab sayang saya seperti itu. Terharu saya. Terima kasih Wai.” balas Amna. Bersinar matanya saat lelaki itu meluahkan isi hati. Telah hampir empat bulan mereka berhubungan sebagai pasangan kekasih. Dengan sebaik mungkin mereka berdua cuba menjaga adab. Alhamdulillah, hingga kini mereka masih belum tewas.
            Mengenali lelaki bernama Waisulqurni ini, saban hari hidup Amna Dhia terisi dengan kebahagiaan. Tambahan pula tempat kerja mereka bersebelahan. Lelaki itu seorang yang sangat baik dan agak romantis pada pandangannya. Yang paling penting, lelaki itu tidak pernah sekalipun cuba mengambil kesempatan atas dirinya. Jelas terpancar cahaya keimanan dalam diri lelaki itu. Dia tidak punyai pengalaman bercinta sebelum ini. Tapi pengalaman pertama ini benar-benar indah buat dirinya.
“Apa yang awak tenungkan tu. Saya tahu, diri ini memang kacak. Tak payahlah nak tenung sampai nak ditelan saya ni.” seloroh Waisulqurni. Dia sebenarnya rasa malu apabila ditenung begitu. Apa agaknya sedang difikirkan oleh buah hatinya? Seakan tembus tenungan gadis itu hingga ke belakang kepalanya.
“Hah… Ish, awak ni Wai. Nasib baik saya tiada penyakit latah. Sabar sajalah. Marilah masuk. Bising pula kak Maizul nanti. Dah lama kita bertenggek di sini.” balas Amna Dhia terus sahaja meninggalkan lelaki itu yang sedang tersengih.
*****
“Kita putus!” Ungkapan keramat itu keluar dari mulut Waisulqurni. Dia nekad kini dengan apa yang dikatakannya tadi setelah pertimbangan dibuat. Dia rasa tertewas kala ini. Menunjuk kegagahan di luar sedangkan kelemahan sedang menyelaputi hatinya.
            “Hah..” bulat mata Amna Dhia memandang lelaki itu. Melopong mulutnya saat ini kerana terkejut. Hampir tersedak dia, mujur dapat ditahan. Apa kena pula dengan kekasih hatinya hari ini? Tiada angin tiada ribut, minta putus pula. Keningnya bertaut. Dadanya sedang berdebar dengan hebat sambil kepalanya memikirkan apa salah yang telah dia lakukan.
            “Awak faham Bahasa Melayu, kan. Saya kata kita putus!” Sekali lagi dia mengungkapkannya. Walaupun jauh di sudut hati amatlah berat untuk dia melafazkannya, dia terpaksa. Dia harus meluahkannya. Waisulqurni merenung gadis di hadapan yang masih memandangnya tanpa berkelip mata. Dia perlu meyakinkan gadis itu yang dia benar-benar inginkan perpisahan ini.
            “Tapi kenapa Wai? Apa salah yang saya buat sampai begini keputusan yang awak ambil. Janganlah begitu. Hari pertunangan kita dah semakin hampir. Janganlah kejam pada saya. Kalau nak melawak sekalipun, ini bukan caranya.” balas Amna Dhia. Menyangka bahawa lelaki itu sedang bergurau. Dia tergelak kecil.
            “Awak memang tak faham bahasa ke. Ah… Sudahlah! Saya dah bosan dengan awak. Hubungan kita setakat ini sahaja. Maaf…” katanya lalu bingkas bangun. Dengan laju Waisulqurni mengatur langkah keluar dari kedai makan itu. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah gadis itu. Sedikit pun dia tidak rasa bersalah kerana menghancurkan hati gadis tersebut.
            “Wai…” perlahan suara itu keluar dari mulutnya. Air matanya berjuraian jatuh membasahi pipi gebunya. Terasa, jutaan pisau menghiris jantungnya kini. Teramat pedih dia rasakan. Nafasnya jadi tersekat-sekat.
“Sampai hati awak buat saya begini Wai…” tersekat kata-kata itu di kerongkongnya. Tidak sanggup untuk meneruskan kata-katanya lagi. Hancur luluh hatinya bila diperlakukan begitu. Ibarat habis madu, sepah dibuang. Hampir setahun menyulam cinta bersama jejaka itu, mudah sahaja dia ditinggalkan keseorangan. Tergamak lelaki itu membuangnya begitu sahaja.
“Kamu kejam Wai. ” rintih Amna Dhia.
*****
            “Sudahlah tu Amna. Abang tak tahu nak kata apa lagi. Abang tak sangka, tergamak Wai buat kamu begini..” Halim cuba memujuk gadis itu. Terkejut dia apabila mengetahui tentang semua ini. Lagilah dia terperanjat akan perihal anak muda itu yang sanggup meninggalkan buah hatinya begitu sahaja. Panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Dia menggelengkan kepala. Gadis itu sampai sembab matanya kerana seharian menangis. Sudah tiga hari ianya berlarutan.
            “Amna sayang. Kumbang bukannya seekor. Kamu tu masih muda lagi. Ala, bukan si Wai tu saja lelaki yang ada dalam dunia ni. Muka macam kamu ni, sekali petik berduyun yang datang tau.” kata Maizul. Dia kini telah menjadi isteri kepada Halim. Semuanya kerja budak berdua itulah yang beria-ia ingin menyatukan mereka. Alhamdulillah, kini bahagia hidupnya bersama suami tercinta. Sedang menanti saat untuk melahirkan anak sulung mereka sahaja.
            “Saya memang berhak untuk sedih macam ni bang, kak. Cuba bayangkan, minggu depan majlis pertunangan kami. Apa saya nak jawab pada mak dengan abah. Aduh… buntu saya kak. Sakit di luar boleh diletak ubat kak, ni sakit dalam hati apa ubatnya kak?” balas Amna dengan sedikit nada geram. Dia boleh menerima hakikat perpisahan ini, tetapi bagaimana dengan kedua orang tuanya. Sudahlah hingga dia terpaksa bertikam lidah dengan mereka kerana mahu mempertahankan hubungan ini.
            “Kalau Amna takut, biar abang dengan akak kamu temankan. Biar kami sahaja yang terangkan apa yang terjadi. Macam mana?” tanya Halim. Sepanjang tiga tahun mengenali Amna, belum pernah sekalipun dia berjumpa dengan keluarga gadis itu. Malah jarang sekali Amna Dhia menceritakan tentang keluarganya. Dalam minda Halim dan isterinya telah disematkan yang gadis itu dari keluarga yang susah.
            “Bukanlah saya takut bang, cuma… entahlah, bagaimana saya nak terangkan pada abang dengan akak pasal keluarga saya. Tapi kalau abang dan akak nak menolong saya, baiklah. Esok abang dan akak bersiap. Saya akan datang jemput abang dan akak di rumah. Apa-apa pun, esok kita jumpa. Saya akan kenalkan akak pada keluarga saya.” kata Amna Dhia lagi. Biarlah segala-galanya akan terungkai pada hari esok. Dia pasrah dan redha dengan ketentuan ini. Inilah balasan yang harus dia terima kerana tidak mendapat restu sepenuhnya dari kedua ibu bapanya.
*****
            “Puas hati kamu sekarang Amna! Dari dulu abah sudah kata, lelaki macam tu memang tidak layak untuk kamu. Mengapa kamu degil sangat. Tengok, apa yang dia dah buat pada kamu sekarang. Mana abah dengan mak kamu ni nak sorokkan muka.” marah Ahmad. Geram dengan kedegilan anak gadisnya. Hampir sahaja mereka putus pertalian disebabkan oleh lelaki itu. Dia memandang wajah anaknya. Merah padam matanya, sedang dalam hati menahan geram.
            “Abang, perkara sudah berlaku, buat apa kita nak perbesarkan. Sepatutnya, kita bersyukur pertunangan ini tidak menjadi. Yang kamu Amna. Selepas ini, mak tak mahu kamu buat keputusan sendiri. Jodoh kamu, biar kami saja yang tentukan calonnya. Kamu jangan nak memandai pula. Selalu buat orang panas hati dengan perangai kamu yang degil tu.” Habibah juga melepaskan amarahnya. Dia turut geram dengan perangai anak gadisnya yang agak keras kepala. Selalu mahu ikut kepala dia sahaja.
            “Er… pakcik, makcik. Janganlah marah pada Amna. Bukan salahnya seratus peratus. Sudah tiada jodoh antara mereka agaknya. Lagipun, saya tak sangka begini akhirnya kisah mereka. Saya tengok baik saja budak lelaki tu. Saya juga musykil. Hingga sekarang tidak tahu apa yang buatkan pekerja saya itu berubah hati..” sampuk Halim. Tidak dia menyangka sama sekali bahawa gadis itu anak orang berada. Saat dia memasuki perkarangan rumah besar ini tadi, terpegun seketika dia.
            “Kau jangan nak campur urusan keluarga kami! Kalau dah dasar orang luar tu, duduk diam-diam saja. Jangan ingat, aku suka anak aku kerja di gerai kamu yang kotor tu. Sudah lama aku bersabar tengok anak aku jadi kuli kamu.” Hambur Ahmad lagi. Kali ini pada Halim pula.
Berbulu matanya tiap kali melalui gerai makan tempat anak gadisnya itu bekerja. Hampir saja dia menghalau anak gadisnya itu dari rumah ini kerana sanggup merendahkan maruah diri bekerja di gerai itu. Sedangkan dia punyai harta. Tetapi, harta itu bukanlah hak mutlaknya. Ia akan menjadi milik gadis itu sepenuhnya apabila gadis itu berkahwin kelak. Kerana itulah pelbagai helah digunakan untuk menghalang gadis itu dari berumahtangga.
            “Abah! Kenapa abah kata macam tu pada Abang Halim. Amna yang nak kerja di kedai dia. Kenapa abah dengan mak selalu pandang hina akan orang seperti mereka. Harta kekayaan bukan boleh dibawa mati. Kita, sama sahaja di sisi Allah S.W.T walau sehebat dan sekaya mana pun kita di dunia.” Amna Dhia cuba mempertahankan dua insan yang sangat baik melayannya selama ini. Dia semakin pelik dengan perangai abah dan emaknya akhir-akhir ini. Sering mencari pasal dengannya. Buntu dirinya memikirkan apa yang abah dan emaknya mahukan.
            “Eloklah tu Amna. Pertahankanlah mereka yang tiada kena mengena dengan kamu sedangkan kami yang pelihara kamu dari kecil. Ditatang bagai minyak yang penuh dan ini balasan kamu pada kami! Dasar anak pungut tak sedar diri..”
            “Abang…” laung Habibah. Tersentak tubuh Ahmad lalu menoleh ke arah isterinya. Nampaknya, rahsia yang tersimpan kemas selama dua puluh tahun ini telah terbongkar. Itupun, dari mulutnya sendiri. Dia tergamam!
            “Anak pungut? Apa maksud abah. Mak, apa ni?” terkejut Amna Dhia dengan apa yang didengari sebentar tadi. Hatinya meronta-ronta ingin tahu semua kebenaran yang tersembunyi selama ini. Dia memandang abah dan emaknya silih berganti. Maka, terbukalah rahsia yang selama ini tersimpan kemas oleh Ahmad dan Habibah mengenai siapa sebenarnya diri Amna Dhia.
*****
            “Nama kamu sangat indah maksudnya Wai. Salah seorang dari sahabat Nabi Muhammad S.A.W. Hinggalah wafatnya junjungan kita itu, dia langsung tidak pernah bertemu dengan baginda. Tetapi cintanya dia kepada Rasulullah melebihi dari mereka yang lain. Hinggakan baginda mengatakan dia adalah penghuni di langit bukannya di bumi. Betapa dalam cintanya kepada Rasulullah S.A.W hinggakan sanggup memukul giginya sampai patah kerana dikhabarkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah mengalami kecederaan dan gigi baginda turut patah. Kejadian itu berlaku semasa baginda berada dalam Perang Uhud.” Waisulqurni mendengar dengan khusyuk cerita dari walidnya, Ismail. Ketika itu usianya baru mencecah lima belas tahun.
“Ada banyak versi mengenai nama kamu itu. Ada yang menyebut Uwais Al-Qarani, Awis Al-Qurni dan juga Uwais Salqurni. Tetapi, walid telah tanyakan pada guru apakah sebutan yang sebetulnya nama kamu itu. Dia katakan ‘Waisulqurni’. Maksudnya ialah ‘keemasan di antara dua kurun’. Walid harap, kamu jadilah hebat seperti nama kamu itu. Walau tidak berharta, tetapi kayalah kamu dengan akhlak dan budi yang mulia.” Masih terngiang-ngiang di telinganya pesanan arwah walid suatu ketika dulu. Dia masih begitu sejak beberapa hari ini. Duduk termenung di beranda rumahnya yang kian usang.
“Wai, kenapa sejak dua tiga hari ni umi tengok kamu termenung sana, termenung sini. Apa agaknya yang menganggu fikiran kamu tu. Kamu tak pergi kerja ke? Risau pula mak lihat kamu macam ni. Kalau kamu sakit, mari kita ke klinik.” Salwa menegur anak bujangnya. Resah hatinya melihat anaknya begitu. Tertanya-tanya dia dalam hati apakah gundah yang sedang melanda hati anak muda itu. Tapi, perahsia orangnya Waisulqurni ini. Walaupun anaknya seorang yang bijak dalam pelajaran, kesempitan hidup mereka membataskan dia untuk menghantar jejaka itu ke menara gading.
“Eh, umi. Maaf Wai tak perasan. Takde apalah umi. Saja ambil angin di sini. Wai dah tak kerja di situ lagi. Jangan bimbang umi, Wai akan usahakan cari kerja lain. Insya Allah umi, bumi Allah S.W.T ini luas. Rezeki kita ada di mana-mana. Umi nak apa-apa ke? Biar Wai buatkan secawan kopi untuk umi.” Jujur kata-katanya. Memang betul dia sudah berhenti kerja di kedai Abang Halim. Dia bangun, lantas mengucup pipi uminya. Laju langkahnya dihalakan ke dapur. Dia enggan berlama di situ. Bimbang jika lagi banyak soalan daripada uminya sedangkan dia tidak punyai jawapan tepat untuk semua itu. Dia menoleh sekilas ke arah umi yang sedang duduk di kerusi rodanya sambil pandangan terhala ke arah jalan raya di hadapan rumah mereka.
Kasihan umi. Setahun selepas walidnya meninggal, umi telah mendapat satu kemalangan di dalam rumah mereka ketika mahu menggantung langsir. Malang tidak berbau, kaki kerusi yang dipanjat oleh umi tiba-tiba patah lalu umi jatuh terlentang. Doktor telah mengesahkan bahawa tulang belakang umi mengalami kecederaan yang serius. Sejak dari kejadian itu, umi lumpuh separuh badan dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda. Dia kasihankan umi. Tidak sanggup dia mahu berpisah dengan wanita yang banyak berkorban untuknya. Matanya mula berkaca. Terus sahaja dia menghilangkan diri.
*****
“Kamu teringatkan abah dan emak kamu ke Amna? Kalau rindu, baliklah. Hampir setahun kamu tinggalkan rumah besar tu. Lagipun, rumah itu milik kamu. Tidak sayangkah kamu tinggalkan begitu sahaja. Sejahat mana pun mereka, kamu kena hormat sebab mereka bela kamu dari kecil. Walau apa yang mereka lakukan itu salah, kamu tidak boleh buang mereka yang banyak berjasa pada kamu.” Maizul memujuk adik angkatnya, Amna Dhia. Kini, gadis itu telah menjadi sebahagian dari keluarganya. Dia sayangkan gadis itu seperti saudara kandungnya sendiri. Ditambah pula dengan kehadiran Ahmad Fatim Bin Halim yang kini berusia sembilan bulan.
“Entahlah kak. Tak tahulah apa lagi yang saya rasa sekarang. Marah, benci, dendam… sudah hilang perasaan itu sekarang. Tapi bila dikenang, semuanya hadir kembali bersatu. Susah juga kak untuk memaafkan orang. Tak sangka, tergamak abah dan mak menipu saya selama ini. Kalau mereka nakkan sangat semua harta tu, ambillah. Harta dunia kak. Biarlah saya mengejar harta akhirat. Apa yang saya kesalkan, sampai hati mereka mengugut Wai. Apa salah dia kak? Saya ingin sekali nak berjumpa dengan dia. Sangka saya, dia curang dengan saya. Kak, saya rindukan Wai kak.” Amna Dhia merintih. Sudah puas dia mencari kekasih hatinya. Dia benar-benar rindu akan lelaki itu. Terseksa jiwanya saat mengetahui kebenaran mengapa lelaki itu pergi meninggalkannya.
“Sabarlah Amna. Andai ada jodoh antara kamu berdua, Insya Allah takkan ke mana perginya Wai tu. Satu hari nanti pasti kamu berdua akan bertemu. Semua itu bukanlah dibidang kuasa kita lagi. Berdoalah pada Allah S.W.T semoga semua urusan kamu dipermudahkan dan berharaplah agar kamu akan bertemu dengannya nanti. Wai tu baik orangnya. Tapi itulah, sepanjang dia bekerja dengan Abang Halim, tak pernah sekalipun kami tahu tentang keluarganya. ” kata Maizul. Yang amat dikesali dia dan suami ialah tidak pernah bertanya asal usul lelaki itu. Di mana agaknya lelaki itu sekarang?
“Terima kasih kak. Akak dan Abang Halim banyak memberi motivasi pada saya. Tak sangka, walau teruk akak dihina oleh keluarga angkat saya dulu, tetap melayan saya dengan baik. Saya tak tahu macam mana nak balas segala jasa dan budi baik akak pada saya. Saya selalu doakan semoga Allah S.W.T memurahkan rezeki akak sekeluarga dan semoga kebahagiaan akak berkekalan hingga ke akhir hayat.” balas Amna. Dia memeluk wanita yang banyak berjasa padanya. Semakin lama semakin erat pelukannya.
*****
“Kalau kau nak tengok mak kau terus hidup, tinggalkan Amna Dhia. Aku tahu, kalau aku ugut nak apa-apakan kau sudah tentu kau tidak gentar. Aku juga tahu kau seorang jaguh silat. Tapi mampukah kau menyelamatkan emak yang sering keseorangan di rumah ketika kau sedang bekerja. Ingat! Jauhkan diri kau dari anak aku. Kalau kau engkar, nahas kau!” Dia terjaga lalu terus sahaja bangun dan duduk bersila di atas katilnya. Nafas tercungap-cungap sedang keringat membasahi tubuh itu.
“Astaghfirullahal’azim…” istighfar Waisulqurni sambil meraup mukanya. Sudah dua tahun perkara itu berlalu, namun dia masih belum melupakan amaran dari lelaki tua itu hingga terbawa-bawa dalam mimpinya. Sampai bila-bila pun dia tidak akan melupakan wajah lelaki itu. wajah itu nampak seperti orang baik-baik tetapi apabila lidahnya berkata-kata termatlah dahsyat. Besarkah kesalahannya hanya keran mencintai seorang gadis bernama Amna Dhia? Bertahun mengenali gadis itu hinggalah saat hubungan mereka mahu disimpulkan, ada pula yang menghalang.
“Wai, tak tidur lagi ke?” tanya Salwa sebaik melintas di hadapan bilik anak bujangnya. Berkerut keningnya melihat gelagat anak muda yang sedang duduk bersila di atas katil usang itu dengan gaya orang sedang bertafakur. Terkumat-kamit dia melihat mulut anak muda itu mengalunkan zikir dengan khusyuk hingga terpejam kedua matanya.
“Baru terjaga umi. Umi ke mana? Umi nak apa-apa ke, biar Wai ambilkan.” Balasnya. Teguran umi membuatkan dia berhenti seketika.
“Umi ke bilik air tadi. Sajalah lalu depan bilik ni, nampak kamu tak tidur lagi. Kenapa Wai? Kebelakangan ni umi tengok tidur kamu selalu terganggu. Kalau kamu tak keberatan, ceritalah pada umi. Biar ringan sikit beban kamu tu.” Soal Salwa lagi. Pernah anaknya menyuarakan hasrat hendak masuk meminang seseorang, tapi senyap sahaja hingga kini. Dia pun malas mahu menanyakan apa-apa. Dia nampak sinar kebahagiaan di wajah anaknya beberapa tahun yang lepas tapi kini semuanya bagaikan lenyap. Anak muda itu lebih berkarektor pendiam sekarang.
“Entahlah umi. Rasanya biarlah Wai saja yang tanggung. Lagipun, peristiwa tu dah lama berlalu. Untuk apa dikenang lagi. Mari umi, Wai bawa umi ke bilik. Hari pun dah jauh malam. Nanti bertambah sakit pula umi.” Balasnya. Dia mendekati umi, lalu menolak kerusi roda umi. Sudah dua hari umi mengadu tidak sedap badan. Mahu di bawa ke klinik, tidak mahu pula. Sampai sahaja di bilik umi, dia mengangkat tubuh uminya ke katil. Dikucup dahi umi lalu tangannya menarik selimut hingga ke paras pinggang. Waisulqurni berlalu ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Melakukan solat sunat ketika malam telah menjadi satu pertiga. Mudah-mudahan, ketenangan akan diperolehinya suatu hari nanti.
*****
“Abah minta maaf pada kamu Amna. Banyak kejahatan yang telah abah lakukan pada kamu dulu. Abah menyesal sangat..” rintih Ahmad yang kini hanya mampu terbaring di atas katil setelah lumpuh sebelah kiri badannya akibat serangan angin ahmar. Hilang Ahmad yang dulunya sangat gah mendabik dada kini hanya tinggal Ahmad yang lemah, lesu dan tidak bermaya.
“Apa yang abah cakapkan ni. Sudahlah abah, perkara dah lama berlalu. Amna dah lupakan semuanya. Apa yang penting sekarang, kesihatan abah. Abah kena kuatkan semangat, tabahkan hati. Semua ini dugaan yang Allah S.W.T beri pada kita sebagai ingatan yang Dia masih sayangkan kita. Masih belum terlambat untuk abah kembali ke jalan yang benar. Pintu taubat masih terbuka luas untuk mana-mana hambaNya yang mahu kembali kepadaNya.” Tenang ucapan yang keluar dari mulutnya. Dia kini telah berhijrah sepenuhnya. Kalau dahulu dia bertudung dan berpakaian mengikut fesyen terkini, namun tidak lagi sekarang.
“Amna. Janganlah tinggalkan abah dan emak. Tinggallah di sini. Ini rumah kamu sayang. Kami hanya menumpang sahaja. Sudah cukup terseksa kami selama beberapa bulan ini. Ada sahaja bala yang menimpa. Mak tahu, banyak dosa kami pada kamu. Inilah balasan yang Allah S.W.T berikan pada kami kerana memakan harta anak yatim. Kami benar-benar menyesal sekarang. Ampunkan mak Amna..” Habibah mengesot badannya mendekati gadis muda itu. Tangannya memeluk kaki anak angkatnya. Teresak-esak dia menangis di kaki itu. Dia kini telah cacat. Kaki kanan Habibah sudah menjadi tempang akibat terjatuh di dalam bilik air hingga putus urat kakinya. Kejadian itu berlaku sebulan sebelum suaminya sakit.
“Mak, apa ni? Jangan macam ni mak. Amna pun bersalah juga dalam hal ini. Bangun mak. Yang sudah berlalu biarkan ia pergi. Amna janji, selagi bernafas di rumah ini akan Amna tinggal. Dengan tulang empat kerat ini Amna akan menjaga abah dan mak sebagai membalas budi baik kalian menjaga Amna selama ini.” Dengan ikhlas dia mengatakannya. Dia memaut tubuh kurus emak angkatnya itu lalu didudukkan kembali ke kerusi roda. Dia sudah lama memaafkan perbuatan mereka. Bagi Amna, pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik apa yang berlaku selama ini.
*****
“Nah, satu ratus lima puluh duit kamu Wai. Wah, semakin maju kamu sekarang Wai. Kagum abang dengan kamu.” Kata Salim, tauke menjual sayur. Terpancar jelas diraut wajahnya rasa kekaguman terhadap pemuda itu. Tidak pernah mengenal erti putus asa. Susah mahu mencari pemuda yang bersemangat kental seperti ini sekarang. Sudah setahun pemuda ini pulang ke kampung halaman sebelah walidnya.
“Alhamdulillah, rezeki untuk saya hari ini. Janganlah kagum dengan saya bang. Semua ini, rezeki yang Allah S.W.T berikan pada saya dan umi. Jika tidak dengan izinNya, tak menjadi semua yang saya usahakan ni bang. Saya berterima kasih pada abang kerana menjadi ‘tulang belakang’ saya selama ini selain umi. Bak kata orang, berbudi pada tanah banyak manfaatnya. Tanpa sokongan abang dan umi, sudah tentu saya tidak akan sampai ke tahap ini.” balas Waisulqurni dengan rasa rendah diri. Kini, dia menjadi petani yang setia berbakti pada tanah peninggalan walidnya yang sekangkang kera itu. Dengan ilham yang diberi oleh Yang Maha Esa ini telah mengubah sedikit kehidupannya.
“Kamu berdua ni dari tadi asyik bersembang. Tu, dah sejuk agaknya air teh yang umi bancuh. Jemput minum Salim.” Sampuk Salwa. Dia hanya menjadi pendengar setia dari tadi. Kalau tak ditegur, lagi lama mereka berdua itu bersembang. Terhibur hati Salwa melihat telatah dua anak muda di hadapannya itu. Secara tidak langsung, perubahan dapat dilihat dalam diri anak tunggalnya. Dia semakin hari, semakin ceria. Nampaknya, kenangan pahit yang lalu benar-benar telah dilupakan oleh Waisulqurni.
“Yelah makcik, jemput minum ya.” Balas Salim lalu menghirup air teh kosong yang sudah suam itu. Waisulqurni juga turut berbuat demikian. Riuh kedengaran suara mereka berdua apabila menyambung kembali perbualan.
Salwa memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi. Kehidupan mereka  tidak lagi seperti dahulu. Anaknya kini mampu menyediakan keperluan mereka. Mereka kini telah berhijrah ke rumah peninggalan arwah suaminya di kampung. Rumah yang dahulunya kelihatan usang hanya berdinding dan berlantaikan papan, kini semuanya telah berkonkrit. Kalau dahulu anaknya hanya ada sebuah motosikal lama peninggalan arwah suaminya, kini dia mampu berkereta. Dia sangat mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan kepadanya.
*****
“Abah, mak. Mari kita ke kedai makan di sana tu..” ajak Amna. Terasa lapar pula perutnya ketika ini. Mereka sekeluarga keluar ke pekan untuk membeli sedikit barang keperluan di rumah. Dia menolak kerusi roda emak angkatnya. Syukur Alhamdulillah. Berkat usahanya serta dengan izin dari Allah S.W.T, abah kini sudah boleh berjalan. Perlahan mereka bergerak menuju ke kedai yang dikatakan oleh Amna.
“Amna minta diri ke kedai depan sana sekejap ya mak, abah.” Kata Amna sebaik selesai memesan makanan. Dia bingkas bangun sebaik melihat kedua orang tuanya menganggukkan kepala lalu berjalan menuju ke arah kedai yang terletak di seberang jalan kedai makan itu.
Tinggallah Habibah dan suaminya di kedai makan itu, sibuk melayan perasaan masing-masing. Sepi keadaan mereka ketika ini. Sungguh mulia pekerti anak angkat mereka, walaupun dahulu layanan mereka terhadap gadis itu agak teruk namun dia tetap menjaga mereka berdua dengan seikhlas hati. Sedang mereka begitu, kelihatan seorang pemuda masuk ke dalam kedai makan tersebut. Mencerlung mata Ahmad sebaik pemuda itu mengambil tempat di meja yang ada di hadapannya. Doanya telah termakbul hari ini untuk bertemu dengan pemuda itu. Sudah puas dia mencari selama ini.
“Maaf menganggu abang. Ada orang nak berjumpa dengan abang di sana.” Kata lelaki muda itu sambil jarinya menunding tepat ke arah pasangan suami isteri yang duduk di depan mejanya. Pandangan Waisulqurni juga terhala ke sana juga.
“Tak mengapa. Terima kasih dik. Oh ya, minuman abang adik hantar ke sana ya.” Balasnya lalu bangun menuju ke tempat pasangan tersebut. Bertaut sedikit keningnya.
“Assalamua’laikum pakcik, makcik. Nak jumpa saya ke?” soalnya kepada pasangan itu.
“Ya, silakan duduk nak.” Pelawa Ahmad. Perasaannya menjadi sedikit gugup berdepan dengan anak muda itu sekarang. Dia cuba bertenang dengan menarik nafasnya yang tersekat-sekat itu. Menahan sebak yang tiba-tiba datang menyapa hatinya. Saat terpandangkan pemuda itu, cukup untuk membuatkan dia merasa begitu kerdil sekarang sedangkan dahulu betapa gah dirinya ketika mengugut pemuda itu. Inilah resam dunia yang fana ini. Tidak selamanya berada di atas kerana di bawah juga kita akan kembali.
“Ada hal apa pakcik nak jumpa saya...” soal Waisulqurni. Berlipat-lipat dahinya sebaik melihat wajah pakcik itu. Seolah-olah dia amat mengenali wajah itu. Dalam hatinya berteka-teki adakah dia lelaki itu atau hanya pelanduk dua serupa? Wajahnya mulai kelihatan tegang, namun dia tidak mahu cepat melatah. Dia mengambil tempat duduk di hadapan pasangan tersebut.
“Pakcik nak minta maaf pada anak atas sikap kasar pakcik pada kamu dulu. Pakcik berdosa pada kamu. Hidup pakcik kebelakangan ini tidak tenang, selalu sahaja bayangan hitam itu mengejar pakcik hinggakan tidur pakcik sering terganggu. Sudah lama pakcik mencari kamu. Alhamdulillah akhirnya doa pakcik telah termakbul. Maafkan pakcik nak. Pakcik mohon sangat pada kamu.” Rayu Ahmad. Dahulu, dia mengugut mahu membunuh emak kepada pemuda itu. Kerana tamakkan harta seorang anak yatim, dia sanggup melakukan apa sahaja. Dia benar-benar menyesal atas perbuatannya kini. Hidup yang selalu diburu oleh dosa silamnya.
******
“Abah, mak...” terhenti di situ kata-kata Amna. Lelaki yang duduk membelakangkannya tiba-tiba menoleh. Dia tergamam saat ini. Langkah menjadi kaku di situ seolah-olah diletak gam dikakinya. Kuat melekat di lantai kedai makan tersebut.
“Wai, kenalkan anak pakcik...”
“Anak angkat. Saya Nur.. ” sampuk Amna sambil menundukkan sedikit kepala tanda hormat. Dia enggan lelaki itu tahu siapakah dirinya yang sebenar. Dia curi-curi menatap wajah yang amat dirindui selama ini. Jantungnya saat ini sangat laju berdegup. Umpama dia sedang beraksi dalam acara lumba lari pula.
“Ya, Wai. Dia anak angkat pakcik, Nur. Panggil saja dia Nur. Jemputlah minum Wai. Sudah sejuk kopi kamu tu. Maaf jika pakcik menganggu urusan kamu hari ini, nak.” Kata Ahmad sambil mempelawa anak muda itu minum. Dia dapat ‘menangkap’ cara perlakuan Amna sebenta tadi yang enggan dikenali oleh lelaki muda itu.
“Er.. pakcik. Boleh saya tanya satu soalan pada pakcik?” tiba-tiba Waisulqurni mengajukan soalan setelah keadaan agak sepi seketika tadi. Dia perlukan kepastian dari pakcik itu.
“Apa dia anak muda? Tanyalah..” soal Ahmad kembali. Dia seperti dapat mengagak soalan yang akan keluar dari mulut anak muda itu.
“Di mana Amna pakcik?” tanya Waisulqurni. Bohong jika dia katakan yang gadis itu telah lenyap dari ingatannya. Selama ini ingatan pada gadis itu di benam jauh ke dalam hati. Dia tidak mahu umi merasa susah hati tentang dirinya. Sudah acapkali umi menyoalnya tentang isu perkahwinan. Hingga kini dia masih tidak punyai jawapannya.
“Beginilah saudara. Buat sementara wakti ini, kami tiada jawapan untuk soalan saudara itu. Maaf kerana saya terpaksa mencelah. Rasanya, lebih elok jika saudara biarkan abah dan emak saya mengisi perut meraka kerana kami perlu ke lain destinasi sebentar lagi. Maaf sekali lagi..” kata Amna. Dia sudah tidak mampu menahan gelora dihatinya kini. Dia malu dengan lelaki itu. Ya, dia sudah memaafkan perbuatan abah. Namun, hatinya berbelah bahagi sekarang. Antara cinta dan duka yang lalu. Apakah cinta lelaki itu masih sama seperti dulu?
Waisulqurni merenung gadis berpurdah itu. Dari tadi lagi dia mula rasakan sesuatu. Namun di buang jauh perasaan curiga itu. Mata dan suara gadis itu mengingatkannya pada seseorang. Keadaan sepi berlarutan. Akhirnya Waisulqurni mengalah dengan kebisuan berterusan dari pasangan itu. Walaupun agak kecewa kerana masih belum mendapat sebarang jawapan, dia pasrah. Ternyata Amna Dhia bukanlah jodohnya. Dia berdoa semoga gadis itu mendapat jodoh yang lebih baik dari dirinya.
*****
“Wai, pakcik harap kamu jangan terkejut dengan permintaan pakcik. Pakcik harap sangat kamu sudi menunaikan hajat pakcik ini.” Ujar Ahmad. Dia dan isterinya kini berada di rumah lelaki muda itu. Itu pun tanpa Amna Dhia. Mujurlah dia sempat menyelidik di mana lelaki muda itu tinggal sekarang.
“Apa yang pakcik mahukan dari saya? Jika permintaan pakcik itu mampu saya tunaikan, Insya Allah saya akan lakukan. Apa hajat pakcik?” soal Waisulqurni. Terperanjat dia bila menerima kunjungan dari pasangan tersebut. Dia tidak menjangkakan ada pertemuan lagi antara mereka setelah sebulan berlalu. Dia benar-benar telah membuang jauh perasaan marah dan benci pada pakcik itu. Manusia, mana ada yang sempurna.
“Jemput minum Encik Ahmad, Puan Habibah. Maaf, air bujang sahaja yang mampu saya sediakan.” Pelawa Salwa kepada tetamunya. Kehadiran tetamu secara mengejut itu pun di waktu malam membataskannya untuk menyediakan sebarang juadah. Ralat sedikit di hati Salwa.
“Eh, tak mengapalah Salwa. Ini pun sudah cukup bagi kami. Maaf kalau kedatangan mengejut kami berdua menganggu Salwa dan anak. Kami rasakan, tidak boleh bertangguh lagi hal ini.” Kata Habibah seperti berkias pula dengan hajat mereka bertandang ke situ. Bertambahlah kerutan di dahi anak muda itu dengan kata-kata Habibah.
“Saya tak faham makcik, pakcik. Kalau boleh diringkaskan apa hajatnya, saya akan cuba pertimbangkan.” Balas Waisulqurni. Dia memandang pasangan itu silih-berganti.
“Sudikah Wai mengambil anak angkat pakcik menjadi isteri kamu?” tanya Ahmad. Terasa ringan beban yang dipikul selama beberapa hari ini sebaik melafazkannya.
“Hah, anak angkat pakcik? Tapi saya tidak mengenali dia. Bukankah dia gadis yang memakai purdah itu?” soal Waisulqurni kembali. Berkerut keningnya saat ini. Pertanyaan dari pakcik Ahmad benar-benar membuat dia tersentak.
“Ya Wai. Pakcik harap sangat agar kamu sudi menerima dia. Pakcik mahu lihat dia bahagia sebelum pakcik dipanggil menghadap Yang Esa. Pakcik merayu pada kamu Wai, terimalah dia. Anggaplah ia sebagai menebus segala dosa pakcik pada kamu kerana memisahkan kamu dengan Amna.” Rayu Ahmad lagi. Rasa bersalah semakin hari semakin menjerut dirinya.
“Tapi pakcik, saya langsung tidak mengenali anak angkat pakcik itu. Kalau saya mengatakan ya sekalipun, apa pula kata dia nanti. Sedangkan isi hatinya kita tidak tahu. Saya tak nak dia rasa terpaksa atau dipaksa pakcik. Lagipun, di zaman ini ada ke perempuan meminang lelaki.” Tegas Waisulqurni lagi. Dia benar-benar buntu saat ini. Permintaan dari pakcik Ahmad dirasakan terlalu sukar untuk diterima. Ini zaman moden, bukan zaman jodoh adalah pilihan keluarga.
“Wai, umi rasa ada baiknya kamu terima lamaran ini. Umi dapat rasakan yang niat tetamu kita itu baik. Tidakkah kamu mahu mencontohi Rasulullah S.A.W, di mana Saidatina Khadijah R.A telah masuk meminang kerana tertarik dengan keperibadian baginda yang sangatlah sempurna. Baginda menerima lamaran itu dengan hati yang terbuka. Bahagia baginda bersama permaisuri hatinya itu selama dua puluh lima tahun lamanya walaupun jarak umur antara mereka sangatlah jauh. Jadi Wai, umi tidak nampak apa masalahnya di sini. Lebih baik kamu pertimbangkan semua ini dan janganlah membuat tetamu kita tertunggu-tunggu, nak. Jauh di sudut hati umi, Insya Allah kamu akan bahagia Wai.” Salwa terpaksa menyampuk. Suasana sepi, hanya suara cengkerik sedang menyanyi di luar rumah yang kedengaran.
“Baiklah, jika itu yang umi mahukan, saya setuju dengan lamaran ini..” Terus sahaja dia memberi jawapan tanpa mahu berfikir panjang. Dia yakin dengan suara hati uminya itu. Restu seorang ibu amatlah penting baginya sekarang.
“Alhamdulillah. Perkara yang baik tidak elok dilambatkan. Bila kamu mahu langsungkan Wai?” tanya Ahmad. Terasa lapang dadanya sebaik mendengar kata putus dari lelaki muda itu. Dia menarik nafas lega. Berkali-kali mengucapkan rasa syukur dalam hati. Habibah di sebelahnya kelihatan tersenyum lebar.
*****
“Baiklah pengantin lelaki, ikut seperti apa yang saya katakan tadi..” kata tok kadi kepada Waisulqurni yang kelihatan sangat segak memakai jubah berwarna putih dengan kain pelikat dilipat kemas terselepang di bahu kanannya. Serban putih terlilit kemas dikepala turut menyerlahkan lagi penampilannya sebagai raja sehari. Sepintas dia mengerling ke arah pengantin perempuan, turut berjubah dan bertudung putih yang dihiasi oleh manik-manik yang bergemerlapan saat dibiasi cahaya lampu dalam masjid ini. Gadis itu juga mengenakan purdah dari warna yang sedondon menutupi sebahagian wajahnya.
 “Aku terima nikahnya Nur Khadijah binti Ahmad dengan mas kahwinnya lapan puluh ringgit, tunai..” lancar Waisulqurni melafazkannya. Hampir sebulan menanti dengan penuh debaran di hati akan tibanya hari ini. Dia sudah tidak mahu menyesakkan kepalanya lagi dengan pelbagai andaian tentang wanita yang akan dia nikahi. Jika wanita itu adalah jodoh yang telah ditetapkan untuknya, biarlah... dia pasrah. Umi nampaknya terlalu gembira menerima kehadiran ‘orang baru’ itu.
“Bagaimana saksi, sah ke?” soal tok kadi kepada dua orang saksi yang duduk di belakang Waisulqurni.
“Sah tok..” kata salah seorang dari lelaki itu.
“Alhamdulillah...” tok kadi mengucapkan syukur lalu sepotong doa dibaca tanda berakhirnya majlis pernikahan ini. Semua tetamu turut sama mengaminkan doa tersebut. Semoga pernikahan kedua insan ini akan berkekalan hingga ke syurga.
“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Allah, atas kurniaanMu padaku. Jadikanlah aku suri yang akan mentaati suami. Berilah peluang padaku untuk berbakti padanya hingga bau syurgaMu akan dapat ku hidu. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang terhadap hambaMu. Amin...” Amna Dhia berdoa di dalam hati. Senyuman yang terukir hanya tersembunyi di sebalik ‘hijab’ yang menutupi bibirnya. Suatu ketenangan mula dirasakan olehnya.
*****
Waisulqurni melangkah masuk ke kamar pengantin yang dihiasi dengan begitu indah sekali walaupun keadaan agak samar-samar. Lampu utama telah dimatikan, yang menyala kini hanyalah lampu tidur berwarna jingga sahaja. Sesuram hatinya kini cahaya di kamar ini. Sebelum itu, dia memastikan umi selesa berada di kamar tetamu yang ada dalam rumah milik isterinya. Saat mula melihat rumah besar ini, hatinya diterjah dengan rasa was-was. Dia berfikir sejenak, dirinya tidak punyai apa-apa sedangkan wanita itu sebaliknya. Rasa ‘kerdil’ mula meresapi jiwanya.
“Abang nak minum apa-apa?” soal Amna. Dia berdiri betul-betul di belakang lelaki itu. Dengan sedikit harapan semoga lelaki itu berpaling menghadapnya dan mengetahui siapa dia yang sebenarnya. Kenangan sewaktu majlis pernikahan mereka selepas Isyak tadi, membuatkan dia tersenyum sendirian. Terasa tenang dan syahdu di hatinya saat mereka berjemaah solat sunat selapas akad nikah. Benar-benar meruntun kalbunya. Terasa bertuahnya diri memiliki lelaki yang baik pegangan agamanya.
“Ya Rabb... pertahankanlah jodohku ini hingga desahan nafas kami yang terakhir. Ternyata aku menyintainya selepas meletakkan Engkau di takhta teratas. Cinta padaMu teramatlah agung, jadikanlah cintaku kepadanya sebuah cinta yang tulus dan suci..” Amna Dhia berdoa di dalam hati.
“Tak mengapalah, saya tidak haus.” Ringkas jawapan dari Waisulqurni. Tubuhnya masih membelakangkan wanita itu. Kekuatan masih belum menjengah untuk dia berhadapan dengan wanita yang telah sah menjadi isterinya. Jika tersingkap ‘hijab’ di wajah wanita itu, dia tidak tahu apa reaksinya nanti. Macam-macam yang dia fikirkan. Cantikkah wajah wanita itu? Ada cacat celakah di mana-mana bahagian mukanya. Serta-merta dia beristighfar di dalam hati. Menghalau segala macam hasutan syaitan yang jika dilayan boleh membinasakan hubungan ini. Waisulqurni perlu mengikhlaskan sepenuh hatinya terhadap pernikahan ini.
“Kalau begitu, abang rehatkanlah badan. Tempat tidur abang telah saya sediakan.” Kata Amna lalu berpaling mahu meninggalkan suaminya. ‘Terpasung’ langkah apabila merasakan lengannya ditarik lembut. Matanya terpejam seketika, cuba menarik nafas untuk membina kembali kekuatan yang telah runtuh sebentar tadi. Dia berpaling menghadap suaminya semula.
“Subhanallah... Awak ke Amna? Alhamdulillah, saya... saya..” tersekat-sekat tutur Waisulqurni. Pantas dia meraih wanita itu ke dalam dakapannya. Kejap dan kemas pelukannya, melepaskan rindu yang telah lama ‘berkulapuk’ di hati. Saat ini dia merasakan dirahmati olehNya. Tidak putus lafaz syukur diucapkannya dalam hati.
“Wai, sesungguhnya cinta dan sayang saya pada awak tidak pernah pudar walau sesaat. Saya tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan awak sejak mengetahui kebenaran disebalik perpisahan kita. Saya malu dengan apa yang ayah angkat saya lakukan..” sebak nadanya ketika ini. Amna menangis dalam dakapan suaminya. Terlerai sudah rindu dendam pada lelaki itu.
*****
“Semasa hari pernikahan kita, abang terkejut melihat kekayaan kamu wahai isteriku. Terasa amatlah kerdil diri ini jika dibandingkan kesenangan antara awak dengan abang. Tapi umi telah meniupkan satu semangat. Kata umi ‘jika si gadis menerima kamu dengan seikhlas hati tanpa memandang harta kekayaan, mengapa harus mengecewakannya’. Terus abang tersentak dengan apa yang umi katakan. Sebab itu abang terus sahaja melangkah ke hadapan tanpa mahu berpaling lagi. Alhamdulillah, ternyata sudah jodoh kita wahai isteriku Nur Khadijah..” ujar Waisulqurni kepada isteri yang setia berada di sampingnya.
Waisulqurni tidak menyangka sama sekali bahawa gadis yang dinikahinya itu adalah Amna Dhia, nama yang diberi oleh ayah angkatnya selepas kematian bapa kandung wanita itu. Nur Khadijah, nama yang indah persis nama isteri nabi Muhammad S.A.W. Ternyata, nama yang memang cocok dengan empunya diri, seorang yang tabah dan kuat. Seorang yang tidak mementingkan harta dunia. Sebab itulah tidak pernah berbangkit soal Amna Dhia hanyalah anak angkat. Betapa manisnya saat getir yang dia lalui dulu.
“Apalah yang ada pada harta dunia bang. ‘Harta’ kita yang bakal lahir ini adalah yang tidak ternilai harganya. Saya sayangkan abang dengan ikhlas kerana Allah S.W.T. Pertalian jodoh antara kita hari ini adalah dengan izinNya.” Balas Amna lalu memeluk lengan kanan suaminya.
“Sebagaimana awak mencintai saya, begitu juga saya mencintai awak malah lebih sedikit. Eh, dah lama kita di sini, mari masuk ke dalam sayang. Marah pula umi nanti waktu Maghrib begini kita masih di luar..” ajak Waisulqurni. Terleka mereka mengambil angin di tepi kolam ikan keli miliknya. Sudahlah isterinya sedang sarat mengandung, hanya menunggu hari sahaja.
Mereka berdua bangun lalu berjalan beriringan, berpegangan tangan masuk ke dalam rumah sementara menantikan azan Maghrib berkumandang. Sudah menjadi rutin harian mereka solat berjemaah bersama. Sejak sarat, Amna Dhia sudah jarang ke masjid. Pergerakkannya agak terbatas memandangkan perutnya yang semakin membesar.
Kelihatan Salwa melemparkan senyuman manis kepada pasangan itu. Alhamdulillah, dia bersyukur dengan kebahagiaan yang dikurniakan kepada anaknya itu. Semoga kasih yang terjalin di hati dua insan itu akan Selamanya Di Hati... mereka berdua. Semoga kekal ke akhir hayat.

**TAMAT**

No comments: