Terpahat Di hati... (Cerpen)

TERPAHAT DI HATI...






            Iqbal Hakimi memandang tepat ke wajah tunangnya di hadapan. Terkejut bukan kepalang dengan permintaan gadis itu. Ini bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Resah jadinya Iqbal Hakimi saat ini. Duduknya jadi tidak tentu arah. Sekejap tangannya meramas rambut, sekejap menggosok belakang tengkuknya. Dia merenung tepat ke mata gadis itu. Mahu panahan matanya itu tertusuk tepat ke jantung gadis tersebut.
            “Awak marah saya ke..” soal Iqbal Hakimi pada gadis itu yang hanya diam seribu bahasa dari tadi lagi.
“Kacau kalau berterusan macam ni. Salah aku juga yang tidak reti nak jaga hati dia.” rungut Iqbal Hakimi dalam hati. Dia berdecit. Buntu fikirannya sekarang.
            “Awak ada buat salah ke untuk saya marah?” Tanya Iman Nasuha kembali pada jejaka itu. Dia sebenarnya geram pada lelaki itu. Disebabkan rasa geram, marah, sakit hati dan entah apa lagi yang ada dalam hatinya ketika ini dia tidak mampu untuk berkata apa-apa. Hendak dipandang muka lelaki itu pun, antara mahu atau tidak sahaja. Dia benar-benar terluka dengan apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu ‘di belakangnya’. Suasana sepi lagi…
            “Nampak sangat awak memang marahkan saya. Janganlah menyepi begini Nasuha. Tindakan awak ini benar-benar menyeksa saya. Tolonglah Nasuha. Dengar penjelasan saya..” rayu Iqbal Hakimi. Dia perlu memujuk gadis itu yang telah menjadi tunangannya selama dua tahun, setelah hampir tujuh tahun mereka menyulam kasih sejak dari bangku sekolah lagi.
            “Hmm…” hanya itu yang keluar dari mulut Iman Nasuha. Acuh tidak acuh sahaja. Siapa yang tidak marah! Sedangkan berdongkol geram dalam hatinya terhadap lelaki itu. Kejadian sebentar tadi benar-benar meragut segala kepercayaan yang diberi kepada lelaki itu. Selamba sahaja Iman Nasuha melihat Iqbal Hakimi bukan main asyik lagi memeluk seorang wanita semasa mereka terserempak di sebuah restoran. Terasa terhenti seketika degupan jantungnya melihat adegan itu. Sampai hati lelaki itu memainkan perasaannya.
  Pernah juga sahabat Iman Nasuha memberitahunya tentang kecurangan lelaki itu. Namun sedaya upaya dia cuba menepis semua itu ke sudut yang jauh di lubuk hatinya. Selagi semuanya tidak diperlihatkan di depan matanya, selagi itulah Iqbal Hakimi dianggap baik. Dan hari ini, Allah S.W.T telah memakbulkan doanya dan ianya terbukti sekarang.
            “Sayang, janganlah macam ni. Saya dengan dia tiada apa-apa hubungan. Kami cuma berkawan sahaja. Lagipun, dia berjumpa dengan saya tadi sebab ada masalah. Saya cuma nak menolong dia. Itu sahaja.” kata Iqbal Hakimi lagi. Dia sangat berharap semoga alasan itu dapat diterima oleh tunangnya. Habislah, kalau tembelangnya pecah kali ini.
            “Oh tiada apa-apa hubungan. Yang berpeluk sakan tadi tu apa? Sampai begitu sekali awak melayan dia jika berkawan, andai kalau bergelar pasangan kekasih bagaimana pula? Keputusan saya muktamad Iqbal. Saya mahu putuskan tali pertunangan kita hari ini juga. Dari awak terus-terusan membuat dosa, adalah lebih baik saya mengundur diri. Saya harap awak bahagia dengan pilihan awak. Saya tidak mahu lagi menjadi penghalang. Jika dia yang terbaik untuk awak, saya redha dengan perpisahan ini.” kata Iman Nasuha. Diam bukan bererti dia mengalah. Diam kerana mencari kekuatan untuk meluahkan apa yang dia rasa.
            “Tolong jangan begini Nasuha. Dia bukan sesiapa dengan saya. Awak, wanita yang saya sayang dan cintai. Mana mungkin perempuan seperti itu saya mahu jadikan isteri. Tengoklah cara pakaiannya, jauh berbeza dengan awak. Saya senang berkawan dengannya. Itu sahaja.” Bersungguh-sungguh Iqbal Hakimi menyatakannya. Mana mungkin Shakila Hana akan dipilih menjadi suri hatinya. Perempuan yang hidupnya terlalu sosial seperti itu tidak layak terikat dengan perkahwinan.
“Iyalah tu. Jangan nak mengutuk wanita itu pula sedangkan jika awak pandai menjaga diri dan iman, semuan ini tidak akan berlaku. Bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi Iqbal. Saya rasa cukup setakat ini hubungan kita. Jangan sesekali awak mencari kelemahan wanita itu. Ya, dia punyai kekurangan dan awak mungkin kelebihan bagi dia. Bimbinglah dia ke jalan yang lurus. Saya akan doakan yang terbaik untuk awak.” terus sahaja Iman Nasuha bangun, pergi meninggalkan lelaki itu. Dia perlu pergi jauh. Bukan membawa hati yang luka tetapi cuba untuk muhasabah dirinya. Harus redha dengan semua ketentuan ini. Mungkin belum masanya untuk dia menjalani kehidupan berumah-tangga. Mungkin juga ilmu di dada belum penuh lagi untuk ke arah itu.
“Iman Nasuha!” jerit Iqbal Hakimi yang hanya mampu melihat saja gadis itu berlalu pergi. Dia sendiri tergamam dengan tindakan gadis itu yang selama ini sangat lembut hatinya. Tidak dia menyangka sama sekali akan keras begini hati gadis itu.
“Argh!” Jerit Iqbal Hakimi sambil meramas rambutnya. Tidak langsung dihiraukan semua mata yang memandangnya saat ini.
Dari kejauhan, Shakila Hana hanya tersenyum puas setelah melihat babak drama itu dari awal hingga akhir. Senyumannya dileretkan lagi…

*****

“Kamu sihat di sana Nasuha.” soal Khadijah sebaik menerima panggilan dari puteri kesayangannya yang hampir tiga bulan berjauhan darinya. Dia juga kecewa dengan pertunangan puterinya yang putus di pertengahan jalan. Pernah dia menanyakan pada Nasuha, mengapa? Persoalan itu hanya dibiarkan sepi. Diajukan pula soalan itu pada Iqbal Hakimi. Anak muda itu masih bergelut melawan kesedihan akibat perpisahan ini. Pening kepala Khadijah memikirkan semua yang terjadi. Lalu dia berkeras juga memujuk hati tuanya bahawa tiada jodoh antara mereka berdua.
“Alhamdulillah umi. Saya sihat saja di sini. Umi, pula bagiamana? Nasuha rindukan umi. Insya Allah, andai kekuatan telah diri ini perolehi, ke sana juga akan Nasuha kembali umi. Doakan yang terbaik untuk anakmu ini. Nasuha sangat menyayangi umi..” balas Iman Nasuha cuba mengawal rasa sebak yang kian menghimpit jiwanya. Terasa pedih di matanya ketika ini, menahan dari tumpah air mata perempuannya.
“Sudahlah tu Nasuha. Apa yang berlaku sudah pasti punyai hikmahnya. Bersabarlah sayang. Umi sentiasa berdiri tegak di belakangmu selagi kudrat ini terdaya. Pulanglah sayang. Umi juga rindukan kamu..” Kata Khadijah sedikit sebak. Mengalir air mata tuanya ke pipi. Rindu untuk memeluk dan mendakap puteri kesayangannya itu tidak dapat dibendung lagi.
“Tak mengapalah umi. Nasuha harus pergi. Nanti saya hubungi umi kembali. Nasuha sayangkan umi. Assalamua’laikum..” kata Iman Nasuha. Terus sahaja dia mematikan talian telefon bimbit sebaik mendengar umi di sana menjawab salamnya. Hilang kecekalan hatinya sebaik mendengar suara sebak umi di hujung talian. Semakin menguncup ketabahan dirinya sekarang.
“Maaf..” kata Iman Nasuha sebaik terlanggar seseorang. Beg yang disandangnya terjatuh ke lantai. Saat dia mahu mengambil semula beg itu, dengan tidak sengaja tersentuh tangannya dengan lelaki tesebut. Dia terkesima lantas menoleh ke arah orang itu. Sekali lagi dia terkejut! Lelaki…
“Tak mengapa saudari. Lain kali, hati-hati bila berjalan. Bukan semua orang boleh menerima perkara ini. Boleh di anggap sebagai saudari cuba mengambil kesempatan pula. Nah, beg saudari…” kata lelaki itu sambil menghulurkan beg kepada gadis yang masih kaku di hadapannya. Matanya melirik pada gadis yang manis bertudung litup itu. Merah mukanya. Menahan marah barangkali.
“Terima kasih. Saya tiada apa sebab untuk mengambil kesempatan pada encik. Saya minta diri dahulu..” balas Iman Nasuha. Pantas mengatur langkah seribu meninggalkan lelaki itu. Padanya, lelaki itu agak biadap. Jelek melihat lelaki itu yang menyimpang pemikirannya terhadap insiden sebentar tadi. Hatinya benar-benar kepanasan.

*****

“Cik Iman Nasuha..” panggil suara itu. Tersentak sedikit tubuh Iman Nasuha. Dia bangun lalu berjalan menuju ke bilik doktor. Sudah dua hari dia demam. Masuk hari ketiga ini, rasa tidak tertahan pula. Sakit seluruh badannya. Bagai mahu patah segala sendinya akibat dari demam ini. Tidak pernah dia demam sebegini teruk. Masuk sahaja ke bilik doktor itu, dia melabuhkan duduk di kerusi yang disediakan. Tulisan ‘Doktor Ahmad Hanif Ismat’, terukir di papan nama yang terletak di atas meja itu.
“Ya, cik sakit apa?” soal doktor itu sebaik muncul di pintu sambil mengelap tangannya dengan sehelai tuala putih. Terhenti langkahnya di situ sebaik melihat siapakah gerangan pesakitnya. Bulat matanya sebaik terpandang wajah wanita di hadapannya. Pandangan mereka besatu namun dengan cepat gadis itu mengalihkannya.
“Sakit apa..?” dua kali soalan yang sama keluar dari mulutnya. Dia duduk di kerusi, masih lagi memandang tanpa mahu mengalih mukanya dari gadis itu.
“Emm… saya demam doktor.” ringkas jawapan dari Iman Nasuha. Tergamam dia sebaik melihat doktor muda itu. Kelu jadi lidahnya. Suratan atau kebetulan apakah ini?
“Sudah berapa hari cik mmm.. Iman Nasuha demam?” tanyanya kembali cuba melawan kegugupan yang datang menyerbu dirinya secara tiba-tiba. Sempat matanya melirik ke kad pesakit itu.
“Nama yang cantik, secantik pemiliknya.” desis Ahmad Hanif Ismat dalam hati. Matanya melirik nakal ke arah gadis itu.
“Masuk hari ini, hari yang ketiga...” tidak tahu mengapa ringkas sahaja jawapan yang mampu dia berikan. Berdebar-debar rasa hati Iman Nasuha saat ini. Perasaan apakah ini? Tidak tahu samada masih bersisakah benci pada lelaki itu atau sebaliknya.
“Saya minta maaf atas kejadian tempoh hari. Tiada maksud untuk menyakiti hati saudari dengan kata-kata berbisa saya itu.” Akhirnya. Dapat juga Hanif mengejar keberaniannya yang lari sebentar tadi. Aura apakah yang ada pada gadis itu hingga menjerat dirinya menjadi kaku sebegini. Dia benar-benar terpukau dengan ciptaan Allah S.W.T yang sempurna di hadapannya ini.
“Tak mengapa.” Lihat, sama juga. Ringkas lagi jawapan dari Iman Nasuha.
Suasana sepi lagi pengap menyelubungi mereka saat ini. Debaran demi debaran dirasakan oleh mereka berdua. Tiada lagi dialog antara mereka hinggalah selesai pemeriksaan dilakukan. Iman Nasuha berlalu pergi. Meninggalkan persoalan yang menjerut hati masing-masing. Gelodak di hati mereka.. hanya Dia yang tahu.

*****

Pulang sahaja ke rumah, Iman Nasuha menjadi bingung dengan apa yang berlaku sekarang. Penuh dengan sanak-saudaranya. Hiruk-pikuk jadinya rumah umi. Berbulan-bulan lamanya dia pergi meninggalkan teratak uminya. Kini, semuanya telah bertukar. Kamar tidurnya dihiasi dengan begitu indah sekali. Rumah umi, jangan dikatalah. Macam-macam hiasan yang ada. Majlis apakah ini hinggakan melampau rumahnya di rias sebegitu rupa?
“Balik juga akhirnya anak umi ini. Kamu sudah makan ke Nasuha? Kalau belum, mari umi temankan kamu makan. Tidakkah kamu rindu masakan umi..” riang kedengaran nada suara Khadijah ketika ini. Dia menuntun puterinya hingga ke ruang makan. Perlahan dia melihat gadis itu melabuhkan duduk di kerusi.
Bersusah-payah memujuk puterinya supaya pulang ke rumah ini. Bersyukur Khadijah kerana doanya dimakbulkan. Tetapi, setelah helah mengatakan dia kurang sihat, baharulah puterinya itu mahu pulang. Bukannya dia mahu berbohong. Sememangnya hati dia tidak sihat kerana asyik teringatkan puterinya pergi membawa hati yang lara.
“Majlis apa ini umi?” soal Iman Nasuha sebaik melabuhkan duduknya. Penuh makanan di atas meja makan umi. Semuanya adalah makanan kegemarannya hinggakan tidak tahu mana satu yang mahu di makan. Gulai ikan bawal beserta lauk sampingannya, sambal belacan dan ulam-ulaman. Benar-benar membuka seleranya yang telah sekian lama ketandusan masakan umi yang amat dirindui. Dengan penuh selera Iman Nasuha menikmati semua makanan itu.
“Nasuha. Sebentar lagi, pergilah kamu bersiap. Nanti, pakai baju yang umi telah gantung di bilik kamu itu. Ada orang yang akan menghiaskan kamu..” arah Khadijah. Dari tadi lagi becok mulut gadis bertanyakan itu dan ini. Dia hanya diamkan sahaja. Iman Nasuha anak yang baik. Dia akan menurut sahaja apa yang Khadijah katakan tanpa banyak soal.
“Sabarlah wahai anakku. Kamu akan tahu juga nanti.” bisik hati kecil Khadijah. Lirikan matanya bergerak mengikut arah anaknya pergi. Air mata jernihnya gugur. Bukan kerana sedih, tetapi bahagia kerana sinar kebahagiaan puterinya mula nampak kini. Khadijah pasrah dengan keputusan yang dibuatnya.

*****

“Kamu sememangnya cantik Nasuha. Berseri-seri sekali. Pasti terpegun sesiapa yang melihat kamu sekarang. Umi beruntung ada anak seperti kami yang cantik ‘segala-galanya’. Sejuk perut umi mengandungkan kamu.” Ucapnya. Khadijah bagaikan terpukau dengan kejelitaan puterinya itu. Persis bidadari. Sebagaimana eloknya rupa, begitu juga akhlaknya.
“Umi..” panggil Iman Nasuha sebaik melihat uminya mahu mengatur langkah. Kelihatan uminya berpaling. Dia kegugupan pula.
“Ada apa sayang. Jika kamu mahu menanyakan tentang semua ini, umi harap kamu simpan saja soalan itu. Akan umi terangkan bila semuanya sudah berakhir. Umi telah lakukan apa yang patut. Setelah mendapat petunjuk dari Allah S.W.T , inilah yang umi dapat. Inilah juga jawapan kepada semua persoalan umi selama ini. Nasuha, kamu anak yang baik. Percayakan umi.. ya sayang.” kata Khadijah sambil mengusap kepala anaknya. Dia terpaksa menahan soalan anaknya itu. Sampai masa, akan dia ceritakan segala-galanya. Khadijah berlalu pergi.
Iman Nasuha termanggu-manggu sendirian di kamarnya. Selepas solat Asar tadi, bergegas uminya menyuruh siap. Sekarang, semua sanak-saudaranya ada di ruang tamu. Tinggalkan dia keseorangan di kamarnya yang luas tetapi ‘sempit’ dirasakan saat ini. Semput rasa dadanya sekarang. Walaupun dia pernah melalui majlis seperti ini sedikit masa dahulu, tetapi mengapa debaran kali ini amatlah hebat. Dia beristighfar dalam hati. Cuba mengurangkan gundah di hati yang kian bercambah.
“Jemput masuk Puan Hajar. Inilah anak gadis saya, Iman Nasuha BintiZabidi.” pelawa Khadijah. Seorang demi seorang tetamunya memasuki kamar puteri kesayangannya itu. Sekejap sahaja penuh dengan tetamu dari pihak lelaki kamar anaknya itu. Khadijah terkejut pada mulanya. Sungguh ramai rombongan pihak lelaki yang datang.
“Janganlah panggil saya puan. Panggil Hajar saja kak, kan lebih senang. Cantik dan manis anak dara akak ini. Saya sudah tertawan dengannya pada pandangan pertama. Tak sangka, pandai anak saya memilih calon isterinya.” Puji Hajar. Dia terkejut dengan keputusan anak bujangnya yang seorang itu untuk masuk meminang. Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba sahaja dia begitu. Bingung Hajar pada mulanya. Bila diselidiki, gadis itu dari keturunan yang baik malah ada rupa. Itu yang membuatkan dia tidak mahu berlengah lagi.
“Mari sayang jarinya. Mama mahu sarungkan cincin ini..” kata Hajar sebaik duduk di sebelah gadis itu. Perlahan dia melihat gadis itu mengangkat tangan kanannya. Cincin belah rotan tersarung kemas di jari manis tangan kiri gadis itu. Dengan sopan gadis itu menundukkan kepalanya, melekat bibir dan hidungnya di tangan Hajar. Usai, Hajar mencium dahi kemudian kedua pipi bakal menantunya itu.
“Terima kasih kerana sudi menerima anak mama dalam hidup kamu.” Sedikit sebak Hajar menuturkannya. Berbunga-bunga rasa hatinya. Siapa yang tidak gembira apabila dapat menantu yang sebegini rupa. Elok semuanya.
Di satu sudut, Khadijah mengelap air mata dengan hujung lengan bajunya. Terharu dia dengan apa yang dilihatnya. Semoga apa yang dia rancangkan ini, mendapat restu dari Illahi dan moga anak gadis itu disinari oleh limpahan sinaran kebahagiaan.

******

Debaran kini berada di kemuncak. Baru sahaja petang semalam dia bertunang, pagi ini dia akan dinikahkan. Iman Nasuha benar-benar kebingungan. Siapa yang menjadi suaminya serta persoalan berkaitan dengan lelaki misteri itu masih tergantung hingga kini. Dibuang jauh segala anggapan buruk. Uminya masih waras lagi. Takkanlah uminya tergamak untuk menghancurkan hidupnya. Pasti umi tahu siapa yang terbaik untuknya. Iman Nasuha cuba memujuk hati yang sedang rawan. Menyerahkan semua urusan kepada takdir.
“Aku terima nikahnya Iman Nasuha BintiZabidi dengan mas kahwinnya seribu lima puluh dua ringgit, tunai…” ucap suara itu. Lancar, jelas dan tenang nadanya. Tok kadi memandang kedua saksi di belakang lelaki itu. Kedua saksi itu kelihatan menganggukkan kepala. Sempurna. Kemudian..
“Sah… Alhamdulillah.” Kata tok kadi. Doa selamat dibaca tanda segalanya telah selesai.
Iman Nasuha menitiskan air mata. Dalam masa yang singkat ini, sekelip mata statusnya berubah. Umi memeluknya. Mencium seluruh wajahnya. Sedang dirinya, masih berperang dalam hati. Masih tertanya-tanya siapakah suaminya? Mengapa teramatlah sukar untuk dia melihat wajah lelaki itu.
“Beri ruang pada pengantin lelaki menyarungkan cincin...” kata satu suara. Lelaki itu duduk di hadapan pasangannya yang sedang duduk bersimpuh dengan wajah memandang ke permaidani di dalam masjid itu. Dengan lembut, dia meraih tangan wanita itu. Menyarungkan sebentuk lagi cincin di jari manis sebelah kanan. Tanpa dipaksa, laju saja gadis itu menundukkan wajah ke tangannya. Dapat dia rasakan kucupan hangat di tangannya. Gadis itu mendongak.
“Awak...” hanya itu yang terkeluar dari mulut Iman Nasuha. Terasa seperti dia sedang tercekik air liurnya sendiri tatkala melihat ‘suaminya’ itu. Bulat matanya ketika ini.
“Ya, saya. Ahmad Hanif Ismat Bin Ismail. Suami kepada Iman Nasuha BintiZabidi.” jawab lelaki itu dengan senyuman yang meleret. Habis sahaja dia menuturkannya, Iman Nasuha rebah di permaidani. Semua yang ada di situ menjadi tidak keruan...

*****

“Tahulah suami awak ini seorang doktor. Janganlah sesuka hati mahu pengsan di mana-mana. Biarlah pengsan di tempat yang betul..” seloroh Ahmad Hanif Ismat. Lega rasa hati sebaik melihat isterinya membuka mata. Lucu pula dia rasakan ketika ini. Hinggakan acara persandingan mereka terpaksa dibatalkan kerana pengantin perempuan telah tidak sedarkan diri pada hari pernikahannya.
“Encik doktor. Pengsan ini bukanlah boleh dilaraskan untuk waktu tertentu. Nak buat macam mana, saya mahu pengsan waktu itu. Cubalah encik doktor bayangkan, bagaimana seksanya hidup saya dua hari ini. Semalam bertunang, pagi tadi kita nikah. Itu pun saya pengsan, kalau tidak sekarang kita sedang bersanding. Tahu tak bagaimana kelam-kabutnya hidup saya ini. Soalan saya pada umi tidak pernah berjawab. Jantung ni, bagai mahu pecah rasanya cuba menahan debaran tentang semua ini.” Hampir semput Iman Nasuha. Habis semua dilepaskan. Yang terpendam, semuanya telah terhambur keluar. Puas rasa hatinya sekarang. Ada lagi sebenarnya, tapi disimpan. Cukuplah setakat ini dahulu. Tetapi, mengapa lelaki itu masih boleh senyum.
“Wah, marah benar isteri abang ini. Yalah, abang minta maaf atas semuanya. Abang yang minta umi rahsiakan. Manalah tahu, andai ‘orang itu’ tahu semua ini, lagi jauh pula dia lari. ‘Larian’ yang dulu bukanlah abang penyebabnya. Jadi, untuk apa abang nak menjadi penyebab kedua. Sudahlah tu sayang. Masih marahkan abang..” tanyanya lalu mencuit hidung isterinya. Pertama kali melihat gadis itu tanpa ‘penghalang’ di kepala. Benar-benar hatinya tertawan pada gadis itu. Tidak sia-sia usahanya memujuk rayu kedua ‘emaknya’ supaya menyatukan mereka.
Gigih Ahmad Hanif Ismat mencari maklumat mengenai Iman Nasuha. Dengan segala maklumat yang ada pada kad pesakit gadis itu, dapatlah dia dengan mudah menjejakinya. Allah S.W.T telah memudahkan segala urusannya. Dan hari ini, apa yang dia hajati telah tercapai...

*****

“Nasuha, panggil suami kamu turun makan. Semua umi sudah siapkan. Kamu makan berdua ya. Umi mahu keluar sebentar dengan mama kamu.” kata Khadijah. Lapang dadanya kini kerana hajat untuk melihat puterinya dimiliki oleh lelaki yang baik telah tertunai. Dia amat mengharapkan agar menantunya itu dapat membahagiakan Iman Nasuha.
“Tapi umi… Nasuha…” terhenti di situ pertanyaannya. Bagaimana harus dia  nyatakan ketidakpuasan hatinya tentang semua ini. Bimbang kecil pula hati uminya itu.
Iman Nasuha tahu niat umi menjodohkannya adalah murni. Tapi, lelaki itu... Terlalu pantas semua ini berlaku. Tujuh tahun mengenali Iqbal Hakimi hingga mengheret mereka mengikat tali pertunangan. Bayangkan selama itu dia mengenalinya, tetapi pertunangan mereka terputus begitu saja. Inikan pula dengan lelaki yang kini sudah menjadi suaminya sedangkan baru sahaja dua kali mereka bertemu dalam masa beberapa bulan ini. Itu pun tiada langsung kata mesra apatah lagi yang romantis antara mereka yang bisa menggetarkan jiwanya. Kusut fikirannya memikirkan semua ini.
“Anak umi Iman Nasuha. Percayalah, dia yang terbaik untuk kamu. Umi tahu kamu memang kurang berpuas hati dengan umi. Umi bukanlah kejam untuk menghancurkan hidup anak umi ini. Sudahlah, pergilah kamu panggil suami kamu itu. Umi sudah lewat sayang. Tidak elok biarkan orang ternanti akan kita. Assalamua’laikum…” kata Khadijah. Dikucupnya dahi puterinya itu lalu terus sahaja mengatur langkah. Lama-lama nanti terpujuklah hati anaknya itu. Semoga menantunya pandai memainkan peranan. Senyumannya makin dilebarkan.
“Encik doktor. Umi suruh turun makan…” katanya sebaik memasuki kamarnya. Tidak sanggup dia untuk memandang lelaki itu yang hanya bertuala paras pinggang.
“Aduh, salah masa pula aku ini. Malunya…” bisik hati Iman Nasuha. Pantas, dia memalingkan muka dari lelaki itu. Tanpa membuang masa, dia terus sahaja berlari-lari anak menuju ke pintu. Dia perlu keluar dari kamar ini.
“Encik doktor dipanggilnya aku. Ini tidak boleh jadi. Takkan selamanya dia nak panggil aku ‘Encik doktor.” Ahmad Hanif Ismat merengus. Dirasakan tidak patut isterinya memanggil dengan gelaran itu. Dia ketawa terbahak-bahak kemudiannya hingga berair ke dua mata. Lucu benar dengan telatah isterinya itu. Benar-benar menggeletek hati. Sesuatu harus dilakukan. ‘Misi menawan hati Iman Nasuha’. Perlukan strategi yang baik untuk melaksanakannya.
“Patutlah dia lari…” katanya lagi sambil mata terarah ke tubuhnya yang ‘kosong’ hanya dibaluti tuala dari paras pinggang ke lutut. Dia ketawa lagi…

*****

 “Nasuha tidak sarapan sama?” soalnya kepada gadis itu yang sedang menuang air milo panas ke dalam cawannya. Leka seketika dia menatap wajah wanita itu. Kalaulah orang lain tahu bagaimana tidurnya malam tadi, pasti ketawa hingga senak perut mereka. Mereka memang tidur sekatil. Boleh pula wanita itu tidur dengan memakai telekung. Pernahkah wanita lain membuat perangai begitu pada malam pertama.
“Tidak mengapa. Encik doktor minumlah dahulu. Saya..” terhenti di situ ayat Iman Nasuha.
“Amaran terakhir. Kedengaran lagi gelaran itu, denda yang berat akan terlaksana. Apa dendanya, bergantung pada abang. Masa itu, jangan ada sebarang rayuan dari kamu sayang.” Dia bangun lalu berdiri betul-betul di hadapan isterinya. Kedua tangannya kini berada di bahu wanita itu. Dicengkam lembut bahu isterinya. Jarak mereka terpisah hanya beberapa inci sahaja. Jelas kelihatan bagaimana riak cemasdi  wajah mulus itu. Ahmad Hanif Ismat duduk kembali.
“Maaf.  Er… abang, jemputlah minum.” pelawa Iman Nasuha. Hampir luruh jantungnya tadi. Hampir-hampir saja fikirannya mula menyimpang terhadap tindak-tanduk ‘suaminya’. Mujurlah doktor itu tidak merawat pesakit mental. Kalau iya, habislah dia jika lelaki itu terbawa-bawa karektor para pesakit yang mentalnya tidak sihat itu.
“Mari, temankan abang...” ajaknya. Dia suka melihat muka isterinya yang sedang kemerahan. Adakah kerana malu atau marah? Dibiarkan sahaja begitu keadaan mereka sekarang. Sepi tanpa bahasa. Indah sungguh suasana ketika ini. Kali pertama bersaparan sambil menatap wajah indah ciptaan Allah S.W.T yang ada di hadapannya kini. Jika waktu terhenti, sekarang masanya.

*****

“Kau memang dasar perempuan tak guna! Di mana kau sorokkan Iqbal? Sudah berhari-hari aku mencarinya..” keras nada Shakila Hana terhadap wanita itu. Dengan perut yang sedang memboyot, merata dia mencari di mana suaminya berada. Dia buntu. Hampir hilang arah hidupnya saat ini.
“Puan. Apa yang puan repekkan ni? Bila pula saya sembunyikan suami orang. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Mengapa berat tuduhan yang puan lemparkan pada saya.” balas Iman Nasuha. Terhenti sedutannya ketika itu. Mujur tidak tersembur air oren di dalam mulutnya. Terkejut kerana disergah secara tiba-tiba. Sebaik melihat siapa dia, ligat juga otaknya bekerja. Kini dia pasti, inilah wanita yang dilihatnya bersama dengan Iqbal Hakimi suatu masa dahulu.
“Kau jangan nak menipu aku. Ke mana lagi suami aku kalau tidak bersama kau. Kau kan tunangnya yang selalu dipuji baik. Baik sangat ke kau? Telinga aku ni, hampir saja bernanah bila setiap kali mendengar dia menyebut nama kau..” Hamburnya lagi suku dari apa yang ditanggungnya selama ini. Deritanya dia apabila setiap kali mendengar nama Iman Nasuha disebut.
“Puan, ada baiknya cakap puan itu berlapik. Saya masih boleh bersabar dengan puan. Saya kata tidak tahu maka saya tidak tahu. Lagipun, apa kena-mengena saya dengan keluarga puan. Saya tiada kaitan dengan semua ini. Harap puan tarik balik kata-kata puan itu.” Iman Nasuha cuba memberi amaran. Masih lagi cuba menyabarkan hatinya. Masih lagi boleh berbudi bicara dengan wanita yang sedang sarat mengandung di hadapannya ini. Kasihan pula melihat keadaannya yang kusut-masai itu. Pasti jiwanya terbeban dengan hebat sekali.
“Kau jangan nak berlagak baik..” tidak sempat Shakila Hana mahu menghabiskannya, tiba-tiba…
“Sha. Apa yang awak buat di sini? Nasuha!” buntang mata Iqbal Hakimi sebaik melihat gadis yang amat dirinduinya selama ini. Ingin sahaja dia mendakap gadis itu. Melepaskan rindu yang terbuku dengan tebal di hatinya. Namun, akalnya masih waras lagi. Tidak pernah mereka bersentuhan selama mereka berkenalan hinggalah bertunang, inikan pula sekarang. Di buang jauh niatnya itu. Kewarasannya seperti diragut selepas wanita itu meninggalkannya.
“Iqbal! Sampai hati awak tinggalkan saya. Empat hari saya mencari awak bagai nak gila. Tak sangka, awak masih lagi bersama dengan perempuan ini. Apa semua ni?” Hampir-hampir saja dia mahu menempik. Mujurlah tidak ramai orang dalam restoran ini. Kebetulan pula tempat ini agak tersorok sedikit. Sangkanya Iqbal Hakimi masih berhubungan dengan Iman Nasuha.
“Jangan menuduh begitu Sha. Kebetulan saya lalu di sini. Saya tidak tahu yang Nasuha juga ada di sini. Jaga sikit mulut awak Sha. Saya sudah bosan dengan perangai ‘gila’ awak itu. Saya tidak sanggup lagi sekarang. Perangai ‘mengawal’ awak semakin menjadi-jadi hingga saya sendiri rasa muak!” Luah Iqbal Hakimi. Benar-benar tertekan dengan perangai wanita, kini isterinya yang semakin hari semakin teruk. Dua puluh empat jam dia di kawal oleh wanita itu hingga pergerakannya terkunci. Hidup yang sebelum ini bebas ke mana-mana, tiba-tiba sahaja berubah dengan drastik sejak kehadiran Shakila Hana dalam hidupnya.
“Adalah lebih elok jika soal rumahtangga tidak dibincangkan di sini. Kurang manis jika didengari orang. Tidak mengapalah, saya minta undur diri dahulu. Selesaikan dengan cara yang baik.” pesan Iman Nasuha. Dia menggalas beg tangannya lalu bangun. Terhenti langkahnya saat terasa lengan bajunya ditarik. Dia menoleh.
“Jangan tinggalkan saya Nasuha. Jangan tambahkan penderitaan saya ini. Tolong kembali pada saya…” pinta lelaki itu. Sudah seperti orang hilang akal lagaknya. Berani meluahkan isi hati di depan isterinya yang sedang sarat mengandung. Terbeliak mata Iman Nasuha memandangnya. Shakila Hana pula melopong mulutnya.
“Saudara. Adalah lebih baik dilepaskan lengan baju isteri saya itu. Setakat ini, kesabaran saya masih menebal lagi..” kata seseorang yang muncul secara tiba-tiba. Iman Nasuha merentap kembali lengan bajunya lalu pergi mendapatkan lelaki itu. Pantas sahaja dia berlari lalu memeluk lelaki itu. Sudah terbang kini perasaan malunya pada lelaki itu.
“Siapa kau?” soal Iqbal Hakimi. Panas hatinya melihat gadis kesayangannya itu memeluk lelaki yang dianggap sebagai durjana. Merah matanya menahan marah. Tidak termampu pula olehnya untuk melawan lelaki yang tegap dan kelihatan gagah itu. Sedangkan dirinya hanyalah kurus-kering sahaja akibat dari ‘makan hati’ selama beberapa bulan ini. Hingga menganggu sistem pemakanannya.
“Ahmad Hanif Ismat Bin Ismail. Suami kepada Iman Nasuha BintiZabidi. Saya tahu kamu siapa. Kamu tunangnya dahulu tapi sekarang saya suaminya. Harap tidak diulang lagi perbuatan tadi. Boleh terjejas tahap kesabaran saya ini. Mari sayang.. ” terus sahaja dia menarik tangan isterinya. Berlalu meninggalkan pasangan itu yang masih tercengang. Dia mendengar semuanya tadi. Geram juga dia dengan kelancangan mulut isteri lelaki itu. Mahu saja dia menyerang balas. Tetapi dia berasa kagum dengan isterinya yang kelihatan tenang sahaja tadi.

*****

“Terima kasih..” ucap Iman Nasuha. Selepas tiga hari, barulah dia punya kekuatan untuk mengucapkannya. Dia meletakkan secawan nescafe panas di atas meja di laman rumah umi. Itu pun setelah dia menyelidik tentang minuman kegemaran suaminya dari mama. Dia rasa terhutang budi pada lelaki itu.
“Terima kasih untuk apa, Nasuha?” soalnya kembali pada wanita itu. Terangkat kening kiri sambil mata terhala ke arah isterinya. Walaupun dia tahu tujuan ucapan itu, sengaja mahu memanjangkan bicara antara mereka. Sejak kejadian tempoh hari, dia masih menunggu kata-kata yang akan keluar dari mulut isterinya. Benarkah penantian satu penyeksaan? Jika ya, pasti terseksa jiwanya. Tetapi tidak pula begitu. Lagi rindu dia akan wanita itu malah semakin menginjak sayang dan cinta terhadap gadis itu ke tahap yang tertinggi dalam carta hatinya.
“Kerana menyelamatkan saya tempoh hari. Saya minta maaf kerana baru sekarang saya ucapkannya. Abang, sekali lagi terima kasih ya..” tidak tahu samada ungkapan ‘menyelamatkan’ atau ‘mempertahankan’ harus dikata olehnya. Ada sedikit getar pada nada suara Iman Nasuha. Bergetar jantungnya saat renungan lelaki itu tepat ke mata. Sungguh indah apa yang dirasakan. Rasanya, mulai kembang kuntuman sayang pada lelaki itu. Dia memejamkan mata sebentar, cuba menghayatinya.
“Nasuha isteri abang. Selagi kita masih ‘berjodohan’ abang akan pertahankan kamu. Tidak tahu bagaimana lagi harus abang buktikan pada kamu kasih dan sayangnya abang pada kamu. Abang berdoa saban hari moga suatu hari nanti pintu hatimu akan terbuka untuk abang..” luahnya. Dia berdiri di hadapan isterinya melihat wanita itu sedang berdiri terpaku dengan mata yang terpejam. Mengapa begitu keadaan isterinya?
“Maafkan Nasuha abang…” terus sahaja dia memeluk lelaki itu. Kali kedua pelukan ini adalah dengan ikhlas untuk kali pertama. Ya, Iman Nasuha yakin kini, nama lelaki itu mula memenuhi segenap ruang di dalam hatinya. Dua bulan usia perkahwinan mereka, lelaki itu masih mampu bersabar. Menanti dia menerima lelaki itu dalam hidupnya. Dia sudah nekad, enggan menoleh ke belakang lagi. Redha bahawa Ahmad Hanif Ismat tercipta untuknya.
“Terima kasih sayang..” balasnya lalu mengeratkan lagi pelukan. Dia memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi atas semua ini. Akhirnya, Iman Nasuha sudi menerima dirinya. Berakhirlah penantian selama ini.

*****

“Aku minta maaf atas apa yang aku katakan hari itu. Aku tenggelam punca bila Iqbal tidak pulang. Hilang begitu sahaja. Maafkan aku, Iman Nasuha..” kata Shakila Hana. Tenteram rasa hati kerana wanita itu sudi menjenguknya di hospital. Dia telah selamat melahirkan seorang anak perempuan yang comel. Walaupun dia mencemuh wanita itu di restoran tempoh hari, tetap sahaja dia dan suaminya sudi membantu. Ditakdirkan hari itu, tiba-tiba sahaja dia kesakitan. Terasa senak perutnya saat itu. Suaminya kelihatan tidak bermaya waktu melihat darah mula mengalir dari celah paha.
“Saya sudah lama maafkan kamu, Shakila. Jika saya yang berada di tempat kamu, tidak tahu bagaimana pula tindakan saya. Awak bagaimana. Sudah rasa sihatkah?” soal Iman Nasuha. Ringan langkahnya ke mari sebaik mendengar permintaan wanita malang itu. Tanpa perlu suaminya memujuk dia ke mari, dia rela sendiri. Baginya, wanita itu tidak bersalah. Hanya mengalami kekeliruan sahaja. Dibuang jauh anggapan buruk pada Shakila Hana.
“Benar kata Iqbal, kau memang seorang yang budiman. Aku minta maaf kerana merampasnya dari kau. Aku yang bersalah..” tidak dapat dia meneruskan kata-katanya kerana mulutnya sudah ditutup. Jari Iman Nasuha melekat elok di bibirnya.
“Jangan kata begitu Shakila. Semua itu adalah takdir dan jodoh saya bukanlah dengan Iqbal. Dia memang tercipta untuk awak. Saya tidak pernah putus mendoakan kebahagiaan awak dengannya. Saya dan awak hanya manusia biasa yang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan. Untungnya, kita sedar lebih awal. Ayuh, kita sama-sama bangkit, merubah semuanya. Semoga keharmonian rumahtangga kita akan berkekalan. Hidup berumahtangga tanpa sengketa pasti kosong. Anggaplah dengan sengketa ini merapatkan hubungan bersama pasangan. Kita belajar dari kesilapan untuk pembetulan masa hadapan..” kata Iman Nasuha lantas meraih wanita itu dalam dakapannya.
Iqbal Hakimi turut merasa sebak. Berair matanya. Dia memalingkan muka. Enggan membiarkan sesiapa melihatnya begitu. Semua kata-kata bekas tunangnya tadi benar-benar menyentap jiwa. Terus memasung dirinya di situ. Tersedar dirinya hari ini. Dia juga serba kekurangan. Benar seperti kata gadis itu dahulu, dia dan isteri perlu seimbang. Kurangnya Shakila Hana, lebih bagi dirinya. Begitu juga sebaliknya. Dia insaf. Bermula saat ini, dia akan cuba melakar satu kehidupan baru bersama permaisuri hatinya. Kini, telah hadir orang baru dalam kehidupan mereka, seorang puteri.
“Siapa namanya puteri kalian..” soal Ahmad Hanif Ismat yang hanya menjadi permerhati serta pendengar yang setia dari tadi. Dia memaut bahu isterinya lalu mengukir senyuman yang manis, istimewa untuk suri hatinya. Benar-benar tergoda dengan kelembutan isterinya itu.
“Nur Imanina bintiIqbal Hakimi. Sempena nama kau yang sudi menerima diriku yang penuh dengan kekotoran. Sahabat dunia dan akhirat..” ikhlas Shakila Hana menuturkannya. Dia sangat berkenan dengan nama teman barunya itu.
“Cantik nama puteri ini. Boleh saya dukung anak kamu ini Shakila?” pinta Iman Nasuha. Kelihatan wanita itu mengangguk. Laju sahaja dia mengangkat bayi itu dan mengendongnya. Bulat mata bayi itu memandangnya. Jatuh segala rasa cinta dan kasihnya pada bayi itu. Hatinya mengucap syukur dengan anugerah Allah S.W.T itu kepada pasangan tersebut. Geram dia melihat bayi comel itu yang berada bersebelahan ibunya dari tadi lagi. Tiba-tiba hatinya kepingin untuk mempunyai zuriat sendiri. Pantas memujuk hati bahawa rezeki untuknya pasti akan menyusul. Insya Allah...
“Nanti kita usahakan untuk memperoleh seorang, ya sayang..” Seloroh Ahmad Hanif Ismat. Terpegun seketika saat melihat telatah isterinya itu. Benar-benar bersifat keibuan seiring dengan karektor dan wajahnya yang lembut. Oh Iman Nasuhaku….
“Abang ni. Ada-ada saja. Tidak malu ke dengan mereka di sini.” Katanya lalu menyiku lembut tubuh lelaki itu. Mukanya kini sudah bertukar kemerahan. Menahan malu yang dicipta oleh suami bertuahnya itu. Suasana sedih bertukar ceria dengan gelak tawa dari mereka semua.

*****

“Untuk kamu sayang..” kata Ahmad Hanif Ismat sebaik melangkah masuk ke rumah. Sejambak bunga ros bercampur warna dihulurkan kepada wanita itu. Sekeping kad berbentuk hati berwarna merah terselit di antara bunga-bunga itu. Matanya terarah pada perut isterinya yang sedang ‘membengkak’. Dua nyawa sedang dikendong oleh isterinya kini. Dia amatlah bersyukur dengan ‘pemberian’ Yang Maha Esa kepadanya. Penantian selama dua tahun ini sangatlah manis bagi dirinya.
“Oh.. abang. Terima kasih..” Iman Nasuha menyambutnya lalu menghadiahkan satu ciuman di pipi lelaki itu. Bahagia dia rasakan punyai suami yang begitu baik perlakunya. Romantis lagi. Lelaki yang pernah dipanggil ‘encik doktori itu tersenyum memandangnya. Kini, mereka tinggal berasingan dengan umi. Selalu juga umi dan mama datang menjenguk mereka. Tambahan pula dia sedang sarat sekarang. Sebentar lagi mereka akan ke rumah umi dan dia akan menetap di situ hingga saat melahirkan.
“Abang pergi bersiap dahulu ya sayang.” Kata Ahmat Hanif Ismat lagi. Dia bangun selepas mengucup lembut pipi isterinya. Sempat dikerling ke arah isterinya yang sedang membuka kad berbentuk hati itu. Dia melirik senyum sambil berlalu pergi.
Perlahan Iman Nasuha membuka kad itu. Tertancap matanya pada tulisan yang terkandung di dalamnya.

Andai rinduku ini pandai berbisik, pasti engkau tahu bagaimana rindunya aku padamu.
Andai sayangku ini boleh berbicara, pasti engkau tahu betapa dalam sayangku itu.
Andai cintaku mampu  menjerit, akan ku jeritkan “aku cintakan kamu, Iman Nasuha!”
Hidup tanpamu di sisi ibarat pincangnya sebuah lagu tanpa irama. Ibarat kontangnya tanah tanpa air. Ibarat gelapnya malam tanpa bulan dan bintang.
Kita saling melengkapi satu sama lain. Terima kasih kerana sudi menerima diriku seadanya.

 “Nasuha juga cinta dan sayang pada abang..” katanya lalu menoleh ke arah suaminya yang masih berdiri di sebalik tiang itu. Dia menyimpulkan senyuman manisnya.

**TAMAT**


~ Assalamua'laikum semua. Cerpen ini merupakan cerpen pertama hasil garapan saya. Sudi-sudikanlah membacanya. Komen dari anda sangatlah saya hargai. 

2 comments:

Unknown said...

Semprulll!

Parra said...

Kenapa bahasa skema mcm budak spm?