Tuesday 6 May 2014

Bab 35



BAB 35

            Berdebar-debar hati Dayana sepanjang perjalanan ini. Tidak tahu bagaimana dengan penerimaan keluarganya? Beria-ia ayah mertuanya memujuk, mahukan dia pulang ke kampung halamannya. Tidak tahu hal apa yang berbangkit hingga kepulangannya sangat dinantikan oleh keluarganya. Dia bukanlah merajuk tetapi kecil hati dengan keputusan yang diambil oleh pak uda. Bukan mahu menyiasat perkara sebenar, senang-senag sahaja menjatuhkan hukum.

            “Lorong yang mana satu sayang?” Sedikit tersentak Dayana yang sedang termenung jauh itu. Kenapa pula Ammar yang bertanya?

            Hah. Lorong yang kat depan tu, ayah belok kiri nanti. Tak jauh dah rumah atuk Yana tu.” Bukan pada Ammar jawapannya tetapi ditujukan kepada ayah mertuanya yang sedang memandu.

            Tidak tahu apa dialog yang hendak diutarakan sepanjang perjalanan. Dia hanya diam membisu seribu bahasa sahaja sepanjang perjalanan itu. Walaupun dengan seikhlas hatinya telah memaafkan Ammar, canggung dia dengan lelaki itu. Tambahan pula harus sebilik dan kalau boleh sebantal dengan lelaki itu, semuanya membuatkan dia rasa mahu lari sahaja. Dia juga lemas dengan Ammar. Elok sahaja tangan gatal lelaki itu sering menjadikan tangannya sebagai sasaran. Puas diberi jelingan hinggalah ke tahap jelingan maut, selamba sahaja lagak lelaki itu. Sedikit pun tidak mengendahkan amaran melalui isyarat matanya itu.

            “Yana..” panggil ayah mertuanya. Kemudian,

            “Simpang kanan, ayah belok sana.” Balasnya. 

Masuk sahaja ke perkarangan laman atuknya, debaran di hati Dayana semakin kuat. Hampir menggigil tubuhnya menahan semua itu. Namun, kerinduan terhadap keluarganya lebih menguasai diri. Hampir sahaja terkeluar biji matanya sebaik melihat panorama yang terbentang di depannya sekarang. Dayana sedikit tergamam dengan pemandangan di halaman rumah atuknya.

‘Apa semua ni? Kenduri kahwin siapa pula ni?’ soalnya. Dayana menelan air liur. Deretan empat buah khemah di halaman itu sedikit memukaunya hingga membuat langkah Dayana terpaku. Kerutan di dahinya jelas kelihatan. 

            “Sampai juga anak mak long ni hah.” Kuat nada suara Zaleha ketika itu. Terus sahaja dia meluru ke arah anak buahnya. Tubuh kecil molek itu dirangkul kemas. Ceria kedengaran suara Zaleha. 

“Mak long,” tersekat nada suaranya. Terhimpit oleh rasa sebak yang datang melanda secara tiba-tiba.
 
“Dah, jom naik. Semua orang tengah tunggu kau.” Ajak Zaleha. Yang pasti, kepulangan gadis itu sudah disambut dengan sebaik mungkin.

            “Aku rindu kat kau dik. Aku minta maaf banyak-banyak sebab tinggalkan kau macam tu je. Sepatutnya aku tolong kau..” sedih kedengaran nada suaranya hingga tidak mampu menghabisi dialognya. 

            “Apa kau cakap ni kak? Kau tak buat salah pun kat aku. Aku yang patut minta maaf sebab tak dapat penuhi janji pada mak nak jaga kau. Aku yang salah kak. Aku yang patut minta maaf.” Air matanya mengalir deras. Jika diikutkan ikrarnya terhadap arwah emak, dia perlu menjaga Liana. Serta-merta Dayana teringat akan janjinya pada Fahim ketika dia menolak cinta lelaki itu dahulu. Begitu tegasnya dia menolak cinta lelaki itu kerana mahu menunaikan janji yang ditabur terhadap emak tetapi dia telah memungkirinya. Munafikkah dia?

‘Maafkan aku Fahim.’ Rintihnya.

            “Dah, cukuplah korang buat drama sedih. Sampai bila asyik nak menangis je. Jom, ikut akak.” Sampuk Zulaikha. Pantas tangannya menarik lengan Dayana. Dia pun sebak juga menonton drama dua beradik kembar itu. 

‘Pandai-pandailah kau bawa diri Ammar.’ Bisiknya. Keningnya diangkat sebaik melintas di hadapan lelaki itu. Balasannya, lelaki itu tersenyum. Hampir cair pula hatinya dengan senyuman menggoda Ammar. 

‘Hati, jangan lembut sangat,’ pesan Dayana kepada hatinya.

“Taraaaa! Cantik tak bilik pengantin yang kami hias untuk kau dik?” Hampir menjerit Dayana dibuatnya. 

Begitu indah sekali hiasan satu-satunya kamar yang ada di dalam rumah atuknya itu. Kain satin berwarna merah dihias berselang-seli dengan warna putih. Sejambak bunga ros berwarna merah hati, cantik digubah kemas di dalam pasu yang terletak elok di atas meja solek. 

            “Subhanallah, cantiknya. Siapa yang hias semua ni? Eh, kejap. Untuk apa semua ni? Kat laman depan ada khemah, dalam ni pula dah jadi macam bilik pengantin? Kenduri siapa ni?” Dayana mengutarakan kemusykilannya. 

            “Lah, majlis siapa lagi. Kenduri kaulah dik..” dengan serentak mereka menjawab. Zulaikha dan Liana memandang sesama sendiri, lalu terhamburlah tawa mereka.

            “Hah, biar betul? Tak faham adik? Macam mana boleh jadi macam ni?” soal Dayana. Tercengang dia dengan semua itu. Betulkah apa yang didengarinya sebentar tadi? Dua orang gadis di hadapannya sudah menyengih. Dia pula terkebil-kebil mata menatap mereka berdua silih berganti. Peninglah.

“Ish, dah kami kata majlis kau. Kalau tak faham bahasa melayu, bahasa apa kita nak guna, Kak Ika? Sejak dah jadi bini orang ni, tak faham pula apa yang kita kata.” Ujar Liana. Suka melihat wajah canggung kembarnya itu.

“Yalah, macam mana nak faham. Cakap sikit, gelak je lebih. Peninglah macam ni. Cubalah terus-terang je. Orang sekarang dah banyak guna highway bukan jalan lama lagi.” balas Dayana. Hampir pening-pening lalat jadinya dia. Dia mula menggaru kepalanya yang berlapikkan tudung. Ya, memang dia tengah pening.

            Ish, sengal kau ni dik. Sejak jadi bini orang ni, lambat tangkap pula kau. Selalunya pick up dia yang cepat.” Dengan selamba badak air Liana menuturkan ayat itu. Terus sahaja dia menepuk lembut bahu adiknya. 

“Amboi, ayat kau kak. Bukan main lagi kau sekarang. Ni bukan soal pick up siapa yang lambat, tau tak? Cepatlah cerita pada aku apa makna semua ni?” gesa Dayana. Naik juga darahnya nanti. Sempat lagi kedua-dua makhluk di depannya itu tersengih macam kerang busuk. Sabar sahaja Dayana dengan kerenah mereka berdua itu.

“Macam ni. sebenarnya, kitorang rancang nak buat doa selamat je untuk kau. Tapi last minute mak dengan ayah mertua kau nak buat majlis sebesar ni. Tunggu lagi, terus kami semua setuju. Lagipun, hal sebenar dah terbongkar dik. Semua kebenaran pasal kejadian tu kami dah tahu. Adik jangan simpan dalam hati ya. Pak uda pun sebenarnya serba salah. Kesian dia akak tengok. Asyik termenung je sejak hari tu. Adik maafkan dia ya.” Pujuk Zulaikha. 

“Kak Ika. Adik dah lama maafkan semua orang. Tak guna kalau adik nak pendam lama-lama kemarahan adik tu. Adik pasrah dengan semua ni. Cuma yang adik terkilan, rayuan adik ditolak ke tepi. Langsung tak nak dengar penjelasan adik. Tapi, biarlah. Semua dah berlalu. Macam yang adik kata, adik redha.” Sayu bunyinya luahan hati Dayana itu. Kematangannya semakin terserlah.

“Baguslah kalau macam tu. Eh, kenapa pula kita nak bersedih ni. Tengok bilik ni, cantik, kan? Ingat senang ke nak sediakan semua ni dalam masa yang singkat. Kau kena berterima kasih tau pada kami.” Lagak Zulaikha itu membuatkan Dayana mencebik mulutnya.

 “Hai, bunyi macam tak ikhlas je. Siap paksa orang berterima kasih pula. Huh, tak malu,”  ajuk Dayana yang berpura-pura mengejek mereka. 

            “Amboi, diejeknya kita Kak Ika. Yalah, kalau tak nak ucap, tak apalah. Penat kita ni, tak ada siapa nak hargai, kan kak Ika? Jomlah kita keluar. Orang dah ada suami sekarang, lupa dah kat kita,” rajuk Liana. Siapa yang merajuk sebenarnya ni? 

            “Janganlah kata macam tu kak. Jangan cakap macam tu..” tersentuh hatinya. Laju sahaja air matanya mengalir. Begitu terpukul dengan kata-kata Liana.

            “Lah dik, aku gurau jelah.” Mereka berdua saling berpelukan. 

            “Apa yang korang buat lama-lama dalam bilik ni? Tu, mak andam dah lama tunggu pengantin kita ni hah. Balik pula dia nanti. Hah tunggu apa lagi, cepatlah...”  Salmah bersuara. Menggesa anak-anak dara itu supaya pantas berindak. Ada-ada sahaja budak bertiga itu.

Tersentak mereka bertiga. Apa lagi, kelam-kabut mereka bertiga bangun, segera meninggalkan bilik itu. Salmah hanya menggelengkan kepala sahaja melihat telatah tiga bersaudara itu. Keakraban mereka semakin jelas sekarang. 

“Sini wahai pengantin perempuan.” Panggil suara itu. Dayana mendekatinya.

“Nah, pergi cuba baju ni. Kalau tak padan nanti, sempatlah akak nak betulkan.” Ujar wanita yang segak bergaya itu. 

“Pergi salin dalam bilik tu. Nak malu apa, dah jadi laki bini pun.” Arahan dari mem paling besar dalam rumah itu.

Dayana hanya menelan air liur. Biar betul? Ada ke patut disuruh menyalin pakaian sebilik dengan Ammar. Sedangkan sebelum ini pun Dayana gugup apabila berdekatan dengannya, inikan pula nak salin pakaian, sebilik pula tu. Dayana dan Ammar saling berpandangan. Dayana perasan senyuman sumbing yang terukir di bibir lelaki itu. Dayana berdecit perlahan.

            “Tunggu apa lagi, cepatlah..” sergah Zainab yang muncul tiba-tiba. 

Tersentak tubuhnya seperti terkena renjatan elektrik pula. Memang betullah penyakit latahnya sudah hilang. Dayana bingkas bangun, memberi isyarat kepada Ammar supaya mengikutinya. Mereka berdua melangkah bersama. Ikutkan hati, mahu saja Dayana menyalin pakaiannya di bilik mandi. Tetapi tidak boleh kerana atuknya sedang duduk bersandar di tepi dinding berdekatan pintu bilik yang dijadikan bilik pengantin itu. Nanti, tak pasal-pasal dia akan dileteri oleh atuknya pula. 

Ada hati yang sedang berduka dengan semua ini. Hatinya benar-benar remuk. Pahit, payau, kelat dan segala macam rasa yang perlu dia telan. Tidak mampu hatinya untuk mencerna perasaan itu. Memang dia tidak nafikan bahawa lelakai yang berjaya memiliki gadis pujaannya itu mempunyai daya penarik tersendiri walaupun masih muda lagi. Bagaimana dia harus menerima kenyataan yang terlalu pantas terjadi? Jika dia berada pada malam keramat itu, sudah tentu dia dengan rela menikahi gadis tersebut. 

‘Tak guna!’ bentak Iman. Cinta hatinya telah menjadi milik orang. Terasa ingin sahaja dia membawa lari Dayana. Bukan dia tidak nampak bagaimana gadis itu mencuri pandang ke arahnya semasa sampai tadi. Sengaja dia buat tidak tahu. Sedang di dalam hati, rasa cemburu membuak-buak hingga menggigil tubuhnya menahan geram. Bergelodak segala rasa yang bercampur baur dalam dirinya. 

‘Arghh...’ Iman menjerit. Melepaskan apa yang terbuku dalam hatinya yang tak mampu untuk diluahkan. Apa agaknya yang sedang berlaku dalam bilik pengantin itu? 

            “Saya rasa, lebih awak salin dulu, biar saya pusingkan badan saya.” Ujar Dayana.

Kata-kata  Dayana itu mengundang tawa Ammar. Terbahak-bahak dia ketawa. Geli hati Ammar dengan telatah isterinya.

‘Kena sawan ketawa ke dia ni?’ monolognya. Dayana mengecilkan mata, memandang Ammar. Bibir bawahnya digigit. Sudahlah dia rasa tidak selesa berduaan seperti ini.

            “Kenapa nak malu? Awak dan saya, dah ada ikatan yang sah. Awak malu atau takut dengan saya?” soal Ammar sambil mempamerkan senyuman sinis. 

            Dayana rasa terpukul dengan kata-kata Ammar.

            ‘Cis, dikatanya aku penakut.’ Gumamnya.

            “Bukan takut tapi seram. Cepatlah, awak nak salin ke tak?” tertinggi nadanya. 

‘Tak baik meninggikan suara pada suami. Berdosa tau tak? Tak cium bau syurga nanti.’ Kata hatinya memperingati diri sendiri. Bukannya apa, tak kuasa pula Dayana mahu melayan kerenah lelaki itu. Sudahlah tengok dia pun macam nak ditelannya. Dayana terus sahaja memusingkan badannya membelakangkan Ammar. Tidak mahu kemarahannya berganda.

            “Yalah..yalah. Awak jangan curi-curi tengok. Takut nanti tergoyah pula iman awak tu,” seloroh Ammar. 

“Ke situ pula. Aku ke dia yang macam tu?” rungut Dayana perlahan, seakan berbisik.

            “Okey, siap sayang. Awak dah boleh pusing tengok suami awak yang hensem ni.” Ujar Ammar. 

‘Hensemlah sangat.’ Matanya sudah terjuling ketas, mulutnya pula mencebik. Sebaik Dayana berpaling... 

Subhanallah… kacaknya dia.’ Terkaku Dayana saat wajah Ammar menjadi tatapannya. Begitu segak lelaki itu umpama seorang laksmana dahulu kala lagaknya. Terpana seketika Dayana hingga tidak sedar sedikit melopong mulutnya. 

            Ehem. Tahulah saya ni kacak, tak payahlah sampai terlopong mulut awak tu. Masuk dek lalat nanti, susah pula saya.” Tegurnya. Hampir meletus tawanya sebaik perasan riak kekaguman yang terpancar di wajah isterinya itu. Dah memang dia kacak. 

“Perasan. Dah sekarang awak pusing. Jangan cuba nak intai saya pula. Saya korek biji mata awak tu nanti, baru tahu.” Ujar Dayana. Malu yang tercipta tadi cuba dikawal sebaik mungkin.

            Ei takutnya saya. Berani ke? Nak dekat dengan saya pun awak takut, ada hati nak korek mata saya ni. Kalau berani marilah,” cabar Ammar. Kalaulah masa boleh berhenti berputar, sekaranglah waktunya. Dia rindukan Lily Dayana yang dahulu. Bercakap dengannya, boleh bergurau senda. Saling mendengar keluh kesah masing-masing. Dia rindukan hidupnya yang dahulu. Penuh dengan warna-warni. 

“Apa yang lama sangat korang kat dalam tu hah?! Suruh salin baju sampai berjam-jam. Cepatlah, Kak Rozi tengah tunggu tu.” Laung Salmah dari luar bilik itu.

“Ni semua awak punya pasal. Cepatlah,” gesa Dayana. Dia terus memberi isyarat menyuruh Ammar berpusing, akur juga lelaki itu akhirnya. Kerana tidak begitu mempercayai Ammar, Dayana menghadapnya sambil menyalin baju. Tergesa-gesa dia kerana bimbang Ammar tersasar pandangan ke arahnya nanti. 

Ammar sedikit tersentak apabila belakang bajunya ditarik lembut. Dia berkalih. Benar-benar terpegun dengan apa yang sedang ditatapnya sekarang. Dayana. Ternyata keserian wajahnya begitu terserlah. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Dakwaan Salina yang membandingkan kecantikan mereka, disangkal olehnya hari ini.

            “Cantiknya isteri abang ni.” Lembut tuturnya. 

Hampir sahaja mencairkan hati Dayana yang sedikit beku sebelum ini. Dayana tertunduk malu. Ammar mengambil selendang yang dipasangkan dengan pakaian pengantin mereka, diletak elok di atas kepala Dayana. Isterinya kelihatan manis sekali begitu. Tidak puas matanya menatap wajah yang sering menganggu lenanya kebelakangan ini.

“Mari sayang, kita keluar.” Ajaknya. Lebih lama mereka berduaan begitu, bimbang yang lain pula akan terjadi nanti. Ammar tersenyum sumbing, fikirannya sudah mula mahu menyimpang sekarang. Lebih baik, lekas-lekas dia menyelamatkan dirinya dan Dayana. Tidak mahu menambah api kebencian gadis itu terhadapnya.

            “Cantiknya anak-anak mak ni. Bak kata orang, ibarat pinang dibelah dua.” Puji Munirah. Terkesima sebentar dia apabila melihat kedua anak menantunya itu. Terserlah keserian mereka.

Dayana hanya mampu mengukir senyuman yang nipis. Kekok terasa apabila dipuji begitu. Mereka yang lain turut memandang ke arahnya. Dia cukup lemah kalau dipuji. Ammar mengeyitkan mata apabila bertembung pandangan mereka. Terbantut senyumannya tadi. Seram pula Dayana dengan senyuman menggoda suaminya itu.  

            “Memang padan baju tu dengan kamu berdua. Cantik, terletak elok je. Kak Rozi rasa, semuanya dah okey. Kalau tak ada apa-apa lagi akak nak pergi tengok orang buat pelamin pula. Mertua kamu ni hah, beria-ia nakkan kamu bersanding. Baju tu nanti, kamu gantung ya. Esok akak datang awal, nak siapkan kamu. Akak turun dululah.” Berpesan-pesan dia. Ramah benar wanita itu. Mak andamlah katakan. Kalau tidak ramah, macam mana nak cari makan.




Kini, Dayana dan Ammar turut sama menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung yang sudi datang membantu. Puas dilarang oleh Zaleha, tetap sahaja Dayana bertegas mahu menolong. Dia tidak suka kalau duduk sahaja tanpa melakukan apa-apa. Tidak sedar langsung bahawa hari sudah hampir senja. Kerja ditangguh sebentar bagi memberi laluan kepada penduduk kampung yang datang untuk pulang ke rumah, berehat sebentar dan menunaikan kewajipan sebagai muslim. 

            “Ammar, kamu jadi imam hari ni. Anggaplah ini sebagai latihan untuk menjadi seorang khalifah dalam keluarga kamu nanti.” Lembut nada Shukri menasihati anak lelakinya itu.

Dayana yang berada dikelompok jemaah wanita hanya menjadi pendengar. Selama berada di rumah mertuanya, meraka akan berjemaah di masjid berdekatan. Dari situ, dia melihat Ammar mengambil tempat di hadapan. Suaminya itu kelihatan segak dengan berbaju melayu dan berkain pelikat. Ringkas penampilannya. 

Hati Dayana tersentuh apabila mendengar dia mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Lancar dan tenang bacaannya. Khusyuk masing-masing mengerjakan solat secara berjemaah itu. 

‘Ya Allah, jika dia adalah jodohku, panjangkanlah ia hingga ke akhir hayat. Jika benarlah dia mampu membahagiakanku, berkatilah hubungan ini.’ Doa Dayana setelah selesai berjemaah. Sebak di dada kian menyesak. Matanya kelihatan bergenang disekanya dengan pantas. Tidak mahu mereka yang lain menyedarinya. Satu perasaan halus, meresap ke dalam jiwanya. Tenang dan lapang dadanya sekarang. Ya, daun pintu hatinya perlu dikuakkan sekarang. 

Zakaria dan Shukri sedang duduk mengambil angin di beranda rumah emaknya. Sedikit dingin suasana malam itu. Hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi kenyamanan. Aroma kopi hasil air tangan Dayana menusuk-nusuk ke hidung masing-masing. Benar-benar enak rasa kopi bancuhan anak gadis itu. Sekarang, tuangan kedua pula akan mereka nikmati.

“Saya bangga dengan abang. Walaupun saya marah sangat dengan perbuatan sumbang anak abang terhadap anak buah saya dulu, saya terima semua yang sudah tertulis. Manusia mana yang tak pernah buat silap. Saya kagum dengan anak abang yang berani mengakui kesilapannya. Sebab itu, saya ikhlas menyerahkan anak buah kesayangan saya dalam jagaan abang. Bimbinglah dia bang. Saya tahu, anak abang mampu bahagiakan dia.” Ujar Zakaria. Dia sangat berharap bahawa dia tidak salah dalam menilai ‘menantunya’ itu. Shukri menepuk lembut bahu Zakaria.

“Insya Allah. Janganlah kamu risau. Selagi abang dengan Kak Munirah kamu ada, kami tak akan mensia-siakan menantu kami tu. Dia adalah anugerah istimewa yang Allah S.W.T kurnia pada kami sekeluarga.” Jujur balasan jawapan dari Shukri. Zakaria hanya mengangguk.

Amzar Shahiman yang duduk tidak jauh dari ayahnya hanya diam seribu bahasa. Telinganya sahaja dipicingkan untuk mendengar perbualan itu. Sedang dalam hatinya, masih belum boleh menerima hakikat bahawa Dayana telah dimiliki. Berdongkol geram di dalam hatinya terhadap jejaka yang berjaya merampas Dayana darinya. Walaupun puas dia cuba beriak tenang namun di dalam hati hanya Allah S.W.T yang tahu bagaimana terseksanya dia sekarang. Iman bungkam! Masih adakah harapan untuknya menakluki gadis itu kembali? 

‘Ah, jangan nak memandai Iman. Dia sudah menjadi isteri orang.’ Marah suara hatinya. Sejak peristiwa hitam yang melanda gadis itu, ketenangan hidup Iman benar-benar dirampas dengan rakus. Sekelumit pun rasa kasihan terhadapnya tidak berbaki. Bagaimana hatinya mahu merelakan semua ini, sedangkan sayangnya terhadap Lily Dayana kian utuh. Iman benar-benar nanar. 

Zuraidi memandang Iman di sebelahnya. Risau dia dengan keadaan Iman kebelakangan ini yang banyak mendiamkan diri sahaja. Selalu sahaja iman mengasingkan diri sekarang. Dia tahu, hati sepupunya itu remuk saat mengetahui apa yang berlaku. Dia kasihankan Iman yang telah lama menyimpan perasaan terhadap Dayana. Bimbang, jika Iman berterusan memendam hati yang luka itu akan lebih buruk akibatnya di masa hadapan. Zuraidi benar-benar simpati dengan Iman. Namun semua ketentuan Allah S.W.T perlulah diterima dengan redha.

“Iman, kenapa ni?” disikunya Iman. 

Tersentak Iman namun dengan pantas menundukkan kembali wajah sugulnya. Hatinya, terluka dengan begitu dalam sekali. Dia menghela nafas yang agak panjang.

 “Sudahlah tu Iman. Terimalah kenyataan. Dia bukan jodoh kamu. Lupakanlah dia sebagai pujaan hati, anggaplah dia seperti adik macam yang Abang Eddy layan dia selama ni. Kita doakan dia bahagia. Sekarang tumpuan kita pada Liana. Dia perlukan kita Iman.” Zuraidi cuba menasihati Iman. 

“Bukan senang saya nak buang perasaan yang dah lama bertapak dalam hati saya ni bang. Saya tak yakin saya mampu lupakan dia bang.” Tegas Iman.

Zuraidi menepuk lembut bahu Iman. Masing-masing kelu lidah untuk berkata-kata.

1 comment:

Unknown said...

Bila nk smbung ni??😣😣