Tuesday 6 May 2014

Bab 34



BAB 34


“Jadi betullah kata Dayana angkara kau Ammar! Kenapa Ammar? Kenapa kau macam ni? Tak cukup lagi ke didikan agama yang mak bagi kat kau? Kenapa kau sanggup merosakkan hidup seorang gadis? Sanggup kau biarkan mak hina dia, keji dia sedangkan kau yang patut dihukum. Apa semua ni Ammar?!” terkejut mereka bertiga dengan sergahan itu. Merah mata Munirah memandang anak bujangnya. Sungguh, termati kata-katanya sebaik mendengar hakikat yang menjerut tengkuknya sendiri. Kata-kata yang dilemparkan terhadap Dayana tempoh hari melantun kembali ke arahnya.

            “Ampunkan Ammar mak. Jangan tambah lagi dosa Ammar mak. Ammar dah cukup terbeban dengan semua dosa Ammar pada Yana. Mak, ampunkan Ammar mak.” Rayu Ammar. Kaki ibunya pula dirangkul.

 “Kerana dosa kau dah terconteng arang kat muka mak ni. Mana mak nak letak muka mak. Setiap kali mak melangkah keluar, sinis je pandangan orang kat sini. Kenapa tergamak kau buat macam ni?” bagai kerasukan pula Munirah. 

            “Irah, janganlah macam ni. Ammar dah pun mengaku salah. Abang tahu, apa yang Ammar buat tu memang salah tapi syukurlah semuanya masih terpelihara. Sabarlah Irah. Jangan ambil pusing sangat umpat keji orang. Biarlah. Lama-lama nanti diamlah mereka itu. Lagipun, dah nama hidup bermasyarakat maka itu yang kita kena hadap. Maafkanlah Ammar Irah.” Pujuk Shukri.

“Mak, ampunkan Ammar. Ammar janji akan tebus balik semua kesalahan Ammar. Mak...” rayunya dengan bersungguh-sungguh. Gugur air mata lelakinya. Sudahlah kemaafan Dayana belum diperolehinya, bertambah pula pengampunan dari emaknya yang perlu diraih. 

 “Mak tak sangka anak yang mak sanjung selama ni yang mak canang punyai budi pekerti yang baik tapi ini yang Ammar balas. Mak malu Ammar, malu pada Yana.” Hamburnya lagi. Ternyata, kesalahan Ammar amat besar bagi dirinya. 

            “Mak... ampunkanlah Ammar mak. Jangan buat Ammar macam ni mak. Ammar yang bersalah mak. Ammar janji, akan ikut apa saja yang mak nak. Ammar sayangkan mak. Mak..” laung Ammar. 

Pautan Amamr di kaki Munirah terlerai. Terus sahaja emaknya itu melangkah tanpa mengendahkan rayuan kemaafannya. Ammar bungkam! Gerun membayangkan jika dirinya tidak mendapat keampunan dari emaknya. Itu syurganya. Tidak terbayang betapa azabnya seksaan yang dijanjikan untuk anak yang berdosa sepertinya. Dia tidak mahu jadi anak yang berdosa terhadap orang tuanya. Keampunan dari emaknya perlu diraih, dia tak nak mati dalam keadaan yang  berdosa.

“Mak, ampunkan Ammar.” Wajahnya ditekup dengan kedua belah tangan. Dia menghamburkan tangisannya di situ.

Dayana tergamam! Pertama kali melihat air mata lelaki itu gugur. Kasihan pula dia melihat Ammar. Sudahlah dirinya tidak mempunyai emak. Mana mungkin dia membiarkan Ammar begitu. Dia harus berbuat sesuatu supaya hubungan keluarga itu kembali jernih. Dayana merasa bersalah pula kerana dia yang menjadi punca perbalahan keluarga itu. Dia tidak mahu memecah-belahkan keluarga mertuanya. Tidak langsung terlintas niat seumpama itu di hatinya.

“Ayah, biar Yana cuba pujuk mak.” Pinta Dayana. 

Shukri mengangkat wajah, memandang menantunya. Dia sudah terjelepuk ke atas kerusi. Tidak menyangka sampai begitu sekali Munirah benar-benar tidak dapat menerima apa yang telah anak tunggal mereka lakukan. Ya, memang selama ini Munirah terlalu menyanjung pekerti Ammar tetapi hari ini, indah khabar dari rupa sahaja. Shukri bungkam, tidak tahu hendak berbuat apa lagi.

“Tak tahulah ayah nak buat macam mana lagi. Tak sangka pula yang mak kamu boleh marah sampai macam tu. Dia tak pernah macam ni.” Ujar Shukri. Sehebat itu, patah hati isterinya. Shukri memandang Ammar.

“Semua ni salah Ammar ayah. Kalau tak kerana gelojoh Ammar, semua ni takkan jadi.” Sebak nada Ammar. Benar-benar kecewa dengan kelakuannya.

“Ayah, percayalah pada Yana. Yana akan cuba pujuk mak.” Pintanya sekali lagi.

“Pergilah Yana. Manalah tahu, dia boleh terima.” Balas Shukri.

Dayana mengangguk. Dia mula mengatur langkah, mendekati pintu kamar mertuanya. Bunyi ketukan kedengaran.

“Mak, Yana ni. Boleh Yana masuk?” kedengaran suara dari dalam megiyakan. Daun pintu terkuak saat ditolak oleh Dayana. Dia melihat emak mertuanya sedang menangis tersedu-sedan di birai katilnya. Terhinggut-hinggut bahu emak mertuanya, mengikut rentak esakannya. Dayana melabuhkan duduk di sebelah wanita itu. Digosok perlahan belakang tubuh emak mertuanya.

 “Mak. Yana harap mak maafkanlah Ammar. Memang apa yang dia buat tu salah. Tapi kita semua manusia biasa je, tak pernah lari dari kesilapan. Mak, janganlah hukum dia. Yana memang bencikan dia mak tapi tak bermaksud sampai ke mati kebencian itu akan Yana bawa. Dia suami Yana sekarang dan satu-satunya anak yang mak ada. Kata-kata ayah tadi telah membuka mata Yana mak. Yana tak nak menjadi seorang yang pendendam. Yana akan cuba menerima kenyataan ini, seadanya.” Tenang ungkapan yang keluar dari mulut Dayana.

“Tapi, mak tak boleh terima apa dia buat, Yana.” Munirah masih mahu mengeraskan hatinya. Dia sebenarnya malu dengan Dayana.

“Mak, Yana tak boleh paksa mak tapi Yana boleh pujuk mak untuk maafkan Ammar. Yana tahu bagaimana peritnya hidup tanpa ayah dan ibu. Yana tak nak Ammar rasa macam tu walaupun mak dan ayah dia masih hidup. Yana sanggup gantikan tempat dia untuk terima hukuman. Yana tak kisah mak. Lagipun, Yana dah tak ada sesiapa, semua dah buang Yana. Yana tak nak jadi penyebab keluarga ni berpecah. Maafkanlah Ammar, ya mak.” Digenggam kemas tangan emak mertuanya. 

“Maafkan suami Yana mak,” rayunya lagi. Dengan seikhlas hati dia melafazkan kalimah ‘suami’ itu.
Munirah memangunggkan kepala. Dipandang lama wajah menantunya itu. Walau hadirnya tanpa diundang namun sekejap sahaja undangan rasa tenang mersap masuk ke jiwanya. Tenang melihat wajah gadis itu.

 “Yana, maafkan mak kerana menghina kamu tempoh hari. Benar apa yang ayah katakan. Yana memang seorang yang baik. Dia suruh mak buka pintu hati untuk terima kamu. Mak bersyukur kerana dikurniakan seorang anak perempuan walaupun kamu tidak pernah mendiami rahim emak tapi mulai hari ni, Yanalah anak perempuan mak. Syukur kerana masih belum terlambat untuk mak menyedarinya.” Munirah memeluk gadis itu. masih belum terlambat untuknya berpatah semula.

Air mata Dayana dengan tidak semena-mena, mengalir. Subhanallah, sesungguhhnya Maha Suci Mu Ya Allah. Terasa damai dirinya di dalam pelukan itu terasa seperti dalam dakapan emaknya. Kehangatan pelukan yang amat dirinduinya dari insan yang bergelar emak. 

‘Adik rindukan mak.’ Rintih Dayana dalam hati. 

“Ampunkan Ammar mak. Ammar janji takkan buat lagi,” katanya lalu meluru memeluk lutut emaknya. Sekali lagi dia menghamburkan tangisan di riba wanita yang berada di puncak takhta hatinya. Wanita yang menjadi syurga abadinya. Dia tidak mahu kehilangan peluang untuk menghidu bau syurga. Semoga, taubatnya akan diterima. Penyesalan akibat keterlanjurannya akan ditanggung hingga pengakhiran hayatnya.

“Ammar, mak maafkan. Tak guna mak panjangkan hal ni. Ya. Kata-kata Yana memang betul. Mana ada manusia yang sempurna. Kalau Ammar buat salah, kenapa mak harus menghukum kamu dengan kejam? Kenapa tak beri peluang kedua kepada kamu untuk belajar mencari kebenaran? Sepatutnya, mak yang kena bimbing kamu, bukan menghukum. Janji dengan mak, kamu akan bahagiakan Yana.” 

“Ammar janji mak,” dipeluk tubuh emaknya. Barulah lapang hatinya sekarang.

“Yana, maafkan mak ya sayang. Anggaplah mak seperti ibu kandung Yana. Berilah mak peluang untuk itu.” Sayu suaranya saat itu. Munirah memandang wajah menantunya. 

Hati Dayana terusik dengan kata-kata itu. Dia mempamerkan sebuah senyuman untuk tatapan emak mertuanya. Hatinya berbunga-bunga, betapa mekarnya kuntuman bahagia yang tidak terduga itu. Jika ini kebahagiaan yang akan diperolehinya kelak, dia redha. Seiklhas hati dia akan cuba menerima keluarga barunya ini. Dan, lelaki itu... suaminya. Akan dipujuk jua hatinya kelak untuk menerimanya.

“Sudahlah tu. Mari kita pergi minum. Dah sejuk air kopi dengan kuih karipap yang menantu awak buat tadi. Rugi, siapa yang tak rasa. Marilah..” ajak Shukri.

Lega rasa hatinya melihat Munirah yang sudah boleh menerima kenyataan. Semoga Ammar mampu menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab terhadap Dayana. Itulah doa Shukri saban hari.

“Marilah mak, kita minum. Hari pun dah nak masuk Maghrib.” Dia menarik lembut tangan mertuanya sambil mengukir senyuman yang manis.

            ‘Cantik rupanya menantu aku ni. Mengapa salah penilaian aku?’ bisik Munirah. Kaca tidak boleh menjadi seperti intan yang selalu dipuja. Tetapi kaca boleh menyerupai intan dari segi  biasan cahayanya. Tetap sahaja ianya boleh berkilau jika betul pantulan yang disuakan.

No comments: