Wednesday 4 September 2013

Bab 31



BAB 31

Sudah tiga hari dia menumpang tidur di rumah emak angkatnya. Sejak kejadian malam itu, dia langsung tidak mahu melihat wajah Ammar. Jangan hanya wajah, bayangnya juga sudah mampu membuat Dayana meluat. Dia menyangkut dagu di lengannya, sedang termenung di sisi jendela. Merenung akan nasibnya. Betapa kelam kabut hidupnya beberapa hari lepas. Dia menarik nafas panjang. Sedikit tennag dia saat memandang pohonan yang menghijau yang menjadi santapan matanya kala ini. Mengapa hidupnya tidak boleh setenang itu? Dayana tersentak. Dia memalingkan wajah menatap susuk tubuh yang memanggilnya.

          “Yana, ayah mertua kau datang tu.” Ujar Kamriah yang melabuhkan duduk di sebelah anak angkatnya itu. Diusap kepala Dayana.

            “Buat apa dia datang? Biarlah kak ngah. Suruh ajelah dia balik.” Balas Dayana. 

         “Tak baik kau buat macam ni Yana. Yang salah tu anaknya. Lagipun, dia dah sah jadi suami kau. Pergilah jumpa dia. Kesian kak ngah tengok.” Pujuk Hamisah.

           “Habis, Yana ni tak kesianlah. Macamlah Yana yang buat salah.” Tingkah Dayana. Benar-benar terasa dengan kata-kata emak angkatnya itu.

            Hesy, ke situ pula kau merepek. Baik aje kak ngah tengok ayah mertua kau tu. Ada juga budi bahasanya. Yang kau nak ungkit lagi benda yang dah jadi kenapa? Sudahlah Yana, tak salah kalau kau mulakan hidup baru. Manalah tahu, Ammar memang dah insaf.” Pujuk Kamariah. 

Besar mata Dayana memandang Kamariah. ‘Biar betul kak ngah? Kena rasuah ke apa mak angkat aku ni? Melangit betul pujian dia.’ Dayana mencebikan mulutnya. Dua tiga hari sebelum ini, beria-ia emak angkatnya itu marah-marah. Tidak puas hatilah, itulah inilah. Alih-alih hari ini, boleh pula dia puji segalanya baik. 

            “Yana tak naklah kak ngah. Biarlah Yana duduk kat sini. Nak balik kampung pun, orang tak suka. Kak ngah pun nak halau Yana ke? Sampai hati kak ngah.” Laju saja air matanya turun. Sedih rasa hatinya.

            “Bukan macam tu Yana. Kau kan sekarang dah jadi isteri orang. Tempat seorang isteri adalah di sisi suami. Takkan kau tak belajar masa kat sekolah agama dulu. Kau mesti tahukan tanggungjawab seorang isteri macam mana? Ni, kak ngah pun dah kongsi saham dosa dengan kau tau.” Kata Kamariah. 

 “Kenapa kak ngah ni? Kak ngah tahu kan macam mana kami kahwin. Lelaki macam tu tak layak untuk ditaati.” Tingkah Dayana lagi. Pap!

“Sakitlah kak ngah,” ujarnya lalu menggosok bahu kirinya yang ditampar oleh Kamariah.

“Masalahnya, kau dah sah jadi isteri dia. Dah, kau jangan nak mengada Yana. Kemas barang kau, ikut diorang balik. Buatnya diorang lapor kat polis kata aku sorok isteri orang, tak ke naya.” Dayana tersengih. Boleh pula hingga ke situ pemikiran emak angkatnya.

“Lah, kan ke suami kak ngah tu polis. Kalau nak ugut Yana pun, carilah idea lain.” Seloroh Dayana. Sempat lagi dia.

“Ada juga yang kena sekeh nanti. Yana, kalau kau sayangkan kak ngah, pergi ya nak. Alah pasal mak mertua kau tu, jangan layan sangat. Lama-lama nanti, berubahlah dia.” Lembut nada itu menerjah ke telinga lantas melantun tepat ke hati Dayana. Terpujuk dia dengan kata-kata Kamariah.

            “Yalah kalau dah tu yang kak ngah nak, Yana ikutkna je.” Jawab Dayana yang semakin kendur keegoannya. Dia kini pasrah dan redha dengan takdir yang tercipta untuknya.

 “Itu pun menantu ayah. Mari, kita balik ke rumah ya, Yana. Ammar, tunggu  apa  lagi,  pergi  ambil  beg  isteri  kamu  tu.” Arahnya. 

 ‘Nasib baik ayah kau ada, kalau tak mahunya aku campak je beg tu kat muka kau. Ei, geramnya aku,’ gerutu Dayana. Bibir bawahnya digigit. Menggunung, api kebencian di dalam hatinya sebaik melihat muka selamba Ammar yang mendekatinya. Terasa ringan tangannya mahu melayangkan penampar ke muka lelaki itu.

“Yana pergi dulu ya, kak ngah.” Terus sahaja dia memeluk wanita yang setia menjadi teman untuk mendengar segala keluh-kesahnya selama ini.

“Jaga diri elok-elok Yana.” Pesan Kamariah. Bergenang air matanya saat itu. Dia melihat Dayana menganggukkan kepala, terus sahaja gadia itu berpaling melangkah pergi. Sekejap sahaja gadis itu hilang dari pandangannya. Laju luncuran kereta yang dinaiki gadis itu meninggalkan perkarangan rumahnya. 

“Yana, ayah minta maaf atas apa yang berlaku tempoh hari. Ayah harap, Yana tak ambil hati dengan perangai mak mertua kamu tu.” Ujar Shukri, memecah kesunyian. 

“Encik tak salah apa pun kat Yana.” Jawab Yana, mendatar nada suaranya. 

Eh, apa pula berencik-encik ni? Ayah tahu Yana sedang marahkan anak ayah ni. Ya, kamu memang berhak untuk marah. Tapi, perkara dah berlaku nak. Kenyataan yang bagi kamu pahit tetapi terselit kemanisan yang akan datang perlahan-lahan kelak. Siapa tahu, kan?” berfalsafah pula Shukri. Wajah anak bujang yang duduk di sebelahnya dikerling.

“Ayah tahu Yana tak bersalah. Yana kena terima hakikat ni. Lembaran baru kehidupan Yana sedang terbentang sekarang. Tentang warna apa yang Yana nak gunakan untuk mencorakkannya, terserah. Ayah tak nak paksa. Walau apa pun, ayah terima dengan hati yang terbuka kehadiran Yana dalam keluarga kami. Tentang mak kamu tu, jangan diambil pusing sangat.” Benar-benar Shukri pandai berfalsafah. katanya.

Dayana memejamkan matanya. Terasa damai di hati mendengar kata-kata puitis lelaki itu. Pandai juga ayah Ammar bermadah. Jika difikirkan kembali, Ammar juga mewarisi kepakaran itu. Cuma dia sahaja yang enggan mengambil pusing. Terselit kebenaran di sebalik kata-kata ayah Ammar. Rela atau tidak, dirinya sudah dimiliki walaupun menggunung kebenciannya terhadap Ammar, lelaki itu tetap memegang gelaran suami buatnya. Dayana menghela nafas yang agak panjang. 

“Maafkan Yana kalau selama ini berkasar. Insya Allah, Yana akan cuba menjadi muhasabah diri.” jawabnya. Menantu? Ah, seksanya dia memegang gelaran itu dalam usia muda seperti ini. Mahu memanggil ayah, betapa kekoknya dia. Hampir tergeliat lidahnya mahu menyebut perkataan yang telah lama dibisukan itu.

            “Baguslah kalau macam tu. Kita singgah asrama dulu ya, ambil barang-barang Yana kat sana.” Ujar Shukri. 

Dayana hanya mendiamkan diri. Tidak tahu bagaimana dia mahu berdepan dengan penghuni di sana lebih-lebih lagi, Ayah Abu dan Ibu Sarah. Dia terlupa terus akan Liana kerana terlalu asyik memberatkan pemikiran tentang masalah hidupnya. Kasihan Liana. Sihatkah dia?    

            “Kak..” Laju sahaja dia melangkah mendapatkan Liana. Tubuh Liana berada di dalam dakapannya. Dia menghamburkan tangisan di bahu Liana. Liana yang terkejut pantas membalas pelukan Dayana.

“Dik, jangan macam ni. Sabarlah.” Pujuk Liana. 

“Aku minta maaf kak. Aku dah mungkir janji aku kat mak nak jaga kau. Aku...” Dayana semakin sebak hingga tidak mampu lagi menuturkan sebarang kata-kata. Pelukannya terlerai dan kini dia sudah berteleku di salah satu katil dua tingkat di situ. Yang menambah kesedihannya, melihat beg pakaiannya yang telah siap dikemas oleh Liana. Sedang Liana pula bersiap dan akan pulang ke kampung mereka. Bagaimana pula dengan dirinya sekarang?

“Sudah dik. Bukan salah kau pun. Nak buat macam mana, benda dah nak jadi. Kau janganlah risau pasal aku..”

“Apa yang ko nak risau pasal kakak ko. Mak uda boleh jaga dia. Ko tu, pandai-pandailah nak hidup lepas ni.” Celah Salmah. Lega hatinya sekarang. Hasratnya yang mahu memisahkan Dayana dengan Iman terlaksana juga walaupun bukanlah dia yang menjadi perancang utama. Beria-ia dia memujuk Zakaria supaya menikahkan gadis itu. Mujurlah Zakaria menuruti kehendaknya. Lagipun, suaminya itu sedang dalam keadaan marah. Semakin galak Salmah, ibarat mencurah api ke dalam minyak.

“Tapi mak uda, adik...”

“Sudahlah dik. Kau sekarang dah ada suami. Jaga elok-elok laki kau tu. Jalan ni yang kau pilih, kan? Apa lagi yang kau nak harapkan dari kami sekarang. Itulah, masa buat tak nak fikir risikonya.” Perli Salmah.

Dayana memujuk hatinya supaya diam. Malas mahu bertegang urat dengan mak uda yang dari dulu sering sahaja mencari kesalahannya. Dia masih tidak faham, mengapa dirinya terlalu dibenci oleh wanita itu? 

“Aku pergi dulu dik.” Ujar Liana sambil mengenggam tangan Dayana. Wajah kelat Dayana menjadi tatapannya.

Kini, pegangan itu terlepas. Dayana hanya mampu memandang pemergian Liana dengan linangan air mata. Terasa seperti mereka akan berpisah untuk selama-lamanya. Entah bila mereka akan bertemu kembali? Dia kini hidup seperti di dalam buangan. Terbuang dan hanyut jauh ke tengah lautan. Terumbang-ambing dilambung ombak dan badai. Hanya menantikan sebuah pelampung dilemparkan padanya. Dirinya perlu diselamatkan. Dayana lekas-lekas bangun berdiri, menyapu air matanya. Pantas tangannya mengangkat beg pakaiannya. Dia perlu bangkit!



No comments: