Thursday 29 August 2013

Bab 29



BAB 29

Hantar Yana balik elok-elok! Jangan nak melencong ke lain pula. Ingat, tak manis kalau orang tengok awak berdua-duaan dengan dia.” Pesan Wahid kepada Ammar. Risau juga dia dengan pandangan masyarakat sekeliling nanti. Sudahlah Dayana itu salah seorang penghuni rumah kebajikan. Namun, dia terpaksa juga akur dengan jaminan yang diberikan oleh Ammar tadi. Dia percayakan pelajarnya itu. 

“Ya cikgu. Saya minta diri dulu.” Ujarnya. Sekejap sahaja tubuhnya telah terhenyak di kerusi pemandu. Dia menjeling sekilas ke arah Dayana di sebelahnya.

“Awak marahkan saya ke Ammar?” Dayana memberanikan diri menanyakan soalan walaupun menyedari betapa tegangnya wajah Ammar. 

Senyap sahaja suasana di dalam kereta. Dayana merenung wajah Ammar. Selama ini manalah dia berani berbuat demikian dengan rakan lelaki yang lain. Leka seketika dia memandang wajah Ammar. Wajah kacak seperti Ammar memang wajar menjadi rebutan. Dayana mula mengelamun. Punyalah cantik Salina itu, boleh pula Ammar menolak. Tinggi benar seleranya dalam memilih pasangan. Bila difikirkan kembali, masih banyak masa lagi. Perlahan-lahanlah jika mahu mencari calon buah hati. Pelajaran haruslah diutamakan.

Dayana sudah mula terpesong pemikirannya. Kenapa pula dia harus menyibuk pasal hal jejaka itu kan? Sedangkan hubungan antara mereka berdua penuh dengan kekaburan. Bukan dia tidak tahu tentang kecerewetan Ammar terhadap sesuatu. Banyak yang Rathi ceritakan padanya mengenai Ammar. Dia yang rimas pada mulanya dengan usikan Ramesh yang suka memadankannya dengan Ammar, lama-kelamaan menelan juga. Sudah kebal telinganya mendengar usikan itu. Bukan rugi apa-apa pun kerana mereka hanya kawan biasa sahaja.

            “Kita dah sampai!” kata Ammar.

Lamunan Dayana berkecai seribu. Dia memerhatikan kawasan sekeliling. 

‘Eh, sunyi semacam sahaja. Aku kat mana ni?’ Dayana sudah mula rasa tidak sedap hati. Hanya yang kelihatan di sekelilingnya, pohon-pohon getah sahaja. Kenapa dia di sini? Apa yang Ammar rancang? Hatinya mula berdebar hebat. Bukankah sepatutnya Ammar perlu menghantar dia pulang? 

‘Ya Allah, lindungilah hambaMu yang selalu alpa ini,’ doa Dayana.

            “Kat mana kita ni Ammar? Hantar saya balik sekarang!”  ujar Dayana yang sedang dalam ketakutan. Dia benar-benar takut! Takut mahu memikirkan apa tujuan Ammar membawanya ke mari. Pandangan Ammar kemudian dialihkan padanya. Ammar merenungnya dari atas ke bawah. Semacam sahaja renungan Ammar itu. Seram Dayana jadinya. Dayana menelan air liur.

            Syhhh... jangan takut. Saya kan ada. Jangan risau, saya takkan apa-apakan awak.” Balas Ammar. Pintu kereta dikuncinya.

“Apa ni Ammar? Kenapa bawa saya kat tempat yang sunyi macam ni? Saya nak balik.” Pinta Dayana. Matanya kini sudah berair.

“Saya hanya mahukan penjelasan dari awak Dayana. Siapa saya di hati awak?” matanya tepat dihalakan ke arah wajah Dayana.

“Apa maksud awak? Kan, kita hanya kawan.” Balas Dayana, gugup. 

“Kawan? Tak cukupkah dalam dua tahun ni, saya tunjuk sayang saya pada awak? Awak nak macam mana lagi Yana?” sedikit tinggi nada suaranya.

“Apa ni Ammar? Sejak bila kita berpasangan? Saya tak pernah janjikan apa-apa pada awak.” Tegas Dayana. 

“Jadi, awak masih belum lupakan Fahim. Lelaki yang awak sering latahkan tu? Jangan ingat saya tak tahu siapa dia.” Terbeliak mata Dayana memandang Ammar.

“Awak cakap apa ni? Mana awak tahu semua tu?” tanya Dayana. Rasa tidak sedap hatinya benar-benar di kemuncak.

“Liana dah ceritakan kepada saya semuanya. Kenapa awak masih belum lupakan dia? Apa kurangnya saya ni? Cakap!” tengkingnya tiba-tiba. 

Agak tinggi nada suara Ammar hingga tersentak Dayana. Terangkat kedua bahunya dan terpejam seketika mata kerana terkejut dengan tengkingan itu. Air matanya sudah meleleh ke pipi.

            “A..a..apa yang dia beritahu pada awak? Saya tak pernah ceritakan apa-apa pada Liana?” Dayana cuba memberanikan diri bertentang mata dengan Ammar. 

            “Dia ada terbaca surat-surat awak. Masih lagi awak nak nafikan semua tu Yana. Awak masih menunggu jantan tak guna tu ke? Istimewa sangat ke dia dari saya? Apa lebihnya dia dan apa kurangnya saya ni? Atau awak dah serahkan segala…” Pang!

 Suasana senyap seketika. Ammar merasakan pijar di pipi kirinya. Berani sungguh perempuan itu. Mak dan ayahnya pun tidak pernah menamparnya. Dayana memang berani mencalarkan keegoannya? Ammar memandang Dayana. Kembang kempis hidungnya sedang di dalam hati menahan marah yang semakin meluap-luap. Dayana harus diajar!

            “Mulut awak jangan celupar sangat Ammar. Jangan ingat saya semurah tu! Walaupun saya ni tak ada mak ayah, saya tahu dosa dan pahala. Awak, jangan nak jadi salah seorang dari manusia yang saya benci kat dunia ni. Hantar saya balik sekarang. Kalau tak saya jerit,” tiada lagi nada perlahan dari Dayana.

            “Hei, perempuan! Kau jangan nak melampau. Kau nak jerit, jeritlah! Kat sini tak ada siapa yang dapat tolong kau. Hari ni, aku akan ajar kau puas-puas. Mari!” Ammar seperti dirasuk. Dia kian merapati Dayana. Apabila nafsu serakah mula menguasai diri, itulah akibatnya. Kewarasan akal semakin menipis keran terlindung dek ketebalan serakahnya. Ditambah pula dengan bisikan syaitan yang telah bersumpah akan menggoda keturunan Adam hingga hari kiamat. Ammar semakin hilang pertimbangan diri. 

            “Awak nak buat apa ni Ammar! Jangan buat saya macam ni. Saya merayu pada awak Ammar. Tolonglah, Ammar..” Dayana merayu. Dia cuba membuka pintu kereta namun gagal. Dalam keadaan yang panik begitu, kewarasannya juga turut direntap pergi hingga mahu membuka pintu kereta pun sudah tidak mampu. Sungguh, Dayana mati kutu. Dia menjadi nanar, buntu. Pergerakkannya benar-benar terbatas di dalam kereta yang sempit itu. Dia mulai menangis.

Shh... jangan menangis. Saya sayangkan awak Dayana,” ujar Ammar. Lagaknya sudah seperti orang yang hilang kewarasan akal. Tangannya kini mengusap wajah Dayana yang sedang memejamkan matanya. Tubuhnya kini benar-benar menghimpit tubuh Dayana. 

            “Tolonglah Ammar, jangan macam ni. Awak dah gila ke Ammar! Lepaskanlah  saya.” Rayu Dayana.

            “Lebih baik kau diam Dayana. Jangan biar aku bertindak lebih kasar,” ugut Ammar. Dengan rakus dia cuba mencium wajah Dayana. 

“Kenapa awak jadi macam ni! Ingat Allah Ammar.” ujar Dayana yang meronta-ronta. Tangannya berusaha menolak wajah Ammar. Tidak mahu wajahnya dicemari oleh bibir Ammar yang sedang kerasukan oleh nafsu serakahnya. Dayana semakin kuat meronta. Sekuat tenaganya ditumpukan, berusaha sedaya upaya menolak tubuh Ammar.

“Ammar jangan...!” dia menjerit sekutat hati. Semoga syaitan yang merasuk lelaki itu bertempiaran lari.

            Astaghfirullahala’zimmm!” jerkah suara itu.

Terhenti perbuatan sumbang Ammar. Di mengangkat wajah, memandang cermin di sebelah kanannya. Ammar tersentak!

 “Apa yang korang kat sini hah! Apa nak jadi dengan kamu berdua ni! Keluar sekarang!” Sergah suara itu lagi.

Dengan pantas Ammar mengalihkan tubuhnya dari Dayana. Tangannya membuka punat kunci keretanya. Tanpa berlengah, Dayana terus sahaja melompat turun dari kereta.

 “Pakcik..to..tolong saya pakcik.” Tersedu-sedan Dayana. Dia kini sudah duduk berteleku di atas tanah kebun getah itu. Tangisannya semakin kuat.

“Apa semua ni?” soal pakcik itu.

            “Maaf  pakcik. Saya..saya…” kelu lidah Ammar.

‘Ya Allah, apa yang aku dah buat ni? Astaghfirullahalazimmm,’ dia beristighfar. Baru menyedari akibat dari perbuatan sumbangnya sebentar tadi. Nyaris sahaja Dayana menjadi mangsa serakahnya tadi. Ammar meraup wajahnya. Betapa kejamnya dia memperlakukan gadis yang dia sayangi? Ammar memandang Dayana yang sedang menangis teresak-esak itu. 

‘Maafkan saya,’ ucap hatinya. Rasa bersalah mula bersarang di dalam hati. Itulah padahnya jika terlalu mengikut telunjuk syaitan yang hanya tahu membinasakan manusia.

            “Sudah, jangan banyak cakap! Mari ikut pakcik. Memalukan betul perbuatan kamu ni. Hesy, apalah nak jadi dengan kamu berdua ni! Kalau dah kemaruk sangat, suruh aje mak dan ayah kamu kahwinkan. 

            “Tak pakcik, bukan salah saya. Dia...” 

“Jangan nak menunding pada orang lain. Bukan kamu tak tahu batasan dalam pergaulan. Kalau tak silap kamu ni budak asrama kan? Dan kamu, di mana kamu tinggal? Anak siapa kamu ni?” soal lelaki itu lagi.

Bagai mahu luruh jantung Dayana saat itu. Di mana harus disorokan mukanya kerana pakcik itu mengenalinya. Bukan salah dirinya kerana dia adalah mangsa keadaan. Dayana bungkam! Benar kata lelaki itu, salahnya juga.

‘Ya Allah, bantulah hambaMu ini yang teraniaya.’ rintihnya. Dayana menghamburkan tangisannya di situ.



No comments: