Thursday 29 August 2013

Bab 28



BAB 28

            Sampai sahaja di perkarangan sekolah, ramai yang sudah ada. Sebaik mereka turun dari kereta, semua mata memandang dan terukir sengihan di bibir masing-masing. 

“Makan kerang busuk agaknya kawan-kawan aku ni semalam.” Rungutnya perlahan. Dayana hanya buat tidak tahu sahaja dengan sengihan mereka itu. Pantas kakinya berjalan ke meja yang ada di kantin sekolah lalu meletakkan bekas yang berisi karipap di ruangan yang kosong. Dia mendapatkan Liana yang baru sahaja sampai.

            “Macam mana kak malam tadi? Tak ada sesiapa cari aku kan?” tanya Dayana.

            “Alah, kau jangan risaulah. Kan kak ngah dah cakap dengan Ibu Sarah. Kuih karipap kau macam mana dik? Jadi ke?” tanya Liana pula.

            “Alhamdulilah, jadi kak.” Jawab Dayana. 

Liana hanya tersenyum kemudian melangkah pergi mendapatkan kawan rapatnya, Marlia. Dayana hanya memerhatikan sahaja Liana. Liana banyak berubah sekarang. Dia juga gembira dengan perubahan Liana. Kematangan kembarnya kian terserlah seiring dengan kedewasaan mereka.

            Hoi makcik! Kau menungkan apa tu hah?” sergahnya.

            “Oh Fahim!” Alamak, nama itu lagi yang Dayana sebut. Dia menampar perlahan mulutnya. Masalah betul Dayana dengan kawannya yang seorang itu.

‘Kenapa dengan aku ni? Rathi ni memang nak kena dengan aku nampaknya. Kecik saja aku tengok kau Rathi walaupun badan kau tu sedikit montel.’ Rengus Dayana. Dia menjeling Rathi.

            “Hai dah berapa kali kau sebut nama tu Yana. Ni yang buat aku teruja nak tahu. Tak kira, kau kena cerita juga kat aku siapa tu?” Rathi tidak mahu menunggu lagi. Dia mahu tahu siapakah dia lelaki itu.

            Tak apa sesiapalah. Dah aku nak sebut, nak buat macam mana. Nasib baik aku sebut nama orang, buatnya aku sebut nama haiwan terlarang baru padan muka kau. Dahlah, malas nak layan. Baik aku pergi tolong diorang, lagi bagus.” Bingkas Dayana bangun. Biasalah kaedah itu yang selalu dia gunakan untuk melarikan diri. 

Rathi menggaru kepalanya. Lari lagi Yana. Bilalah agaknya persoalan mengenai lelaki misteri itu akan terjawab kalau berterusan begini? Rathi pelik dengan sahabatnya yang sering sahaja mengelak jika diajukan pertanyaan tentang nama siapakah yang kerap dilatahkan akhir-akhir ini. Dia pun teringin juga nak tahu siapakah dia?

            “Sedapnya karipap yang kau buat ni Yana. Rugi dari awal tak suruh kau buat. Kalau macam ni, tak makan nasi pun aku sanggup.” Bukan main lagi pujian dari Ramesh.

Eh, eh kau ni Ramesh. Tak tahu muak ke nanti?” Ujar Dayana. 

Ramesh hanya tersengih, mempamerkan giginya yang berlapis itu. Sudah empat biji karipap selamat ‘dibahamnya’.

            “Tak sangka, pandai awak buat karipap pusing ni Yana. Kalau awak buat berniaga, hari-hari saya sanggup beli.” Puji Wahid pula.

“Cikgu Wahid pun sama dengan Ramesh. Tak jemu ke kalau makan hari-hari?” Dayana memandang wajah guru kesayangannya. Dia pula seperti Ramesh, sedang tersengih

“Adik saya ni memang pandai buat serba-serbi cikgu. Kalau nak tahu, dia pandai menjahit, memasak... pendek kata macam-macam lagilah.” Sampuk Liana. 

Dayana menjulingkan matanya ke atas.

“Mana ada cikgu. Alah, semua orang pun pandai juga. Bukan saya seorang je,” balas Dayana.

‘Hesy nak kena gam agaknya mulut kakak aku ni. Pantang kalau orang puji aku, habis semua cerita pasal aku keluar.’ Rungutnya. Dia menyiku Liana yang duduk di sebelahnya.

            “Janganlah disiku kakak awak tu Yana. Kalau dah betul apa yang dia kata tu, buat apa nak malu. Untunglah siapa yang dapat kahwin dengan awak, kan Ammar?” tanya Wahid. Dia nampak riak Dayana yang terkedu.

‘Kenapa pula Ammar yang Cikgu Wahid tanya?’ Muka Dayana sudah terasa panas. 

         Hah! Ya cikgu, memang bertuah. Lagi beruntung kalau saya yang jadi pilihan hati dia. Rasanya, sayalah manusia yang paling bertuah dalam dunia ni.” Balas Ammar. 
 
Sudah, ke situ pula Ammar merepek. Dayana menepuk dahi. Rakan-rakan yang lain sudah mula tergelak. 

‘Ei kenapalah itu jawapan kau Ammar? Kalaulah kau tu bantal, dah lama aku penyek-penyekkan bantal tu kat lantai.’ Gumam Dayana, geram!

            Ammar tahu Dayana sedang marah. Dia tidak kira, asalkan apa yang terbuku di dalam hatinya dapat diluahkan. Tanpa dirancang, dia mendapat peluang keemasan ini. Ammar hanya buat tidak nampak sahaja jelingan tajam yang Dayana berikan.

            “Okey semua. Mari kita berkumpul. Karang lambat pula. Jom, kita gerak sekarang!” Arah Wahid. 

Mereka semua menurutinya. Berdekatan sekolah mereka itu terdapat sebuah tempat rekreasi. Ada sebuah air terjun juga di situ. Walaupun bukanlah sebuah pusat rekreasi yang dikenali tetapi cukuplah bagi penduduk di kampung itu melakukan aktiviti riadah sekali sekala. Tidak dinafikan, pemandangan di situ amat mendamaikan dan menenangkan jiwa. Pelajar perempuan mula mencari tempat lapang kemudian mereka membentangkan tikar mengkuang yang dibawa oleh Hanim lalu menyusun makanan di atasnya. 

Di sudut lain, kelihatan pelajar lelaki sedang menyediakan tempat untuk membakar ayam yang di bawa oleh Cikgu Wahid selaku ketua rombongan. Cikgu-cikgu yang lain, tidak dapat turut serta kerana komitmen kepada keluarga masing-masing. Yalah, apabila sudah berumah tangga, terbataslah sedikit aktiviti sosial mereka. Tambahan pula sekarang sedang musim cuti sekolah. Pastilah mereka mahu membawa keluarga masing-masing pergi bercuti. Dikesempatan yang ada inilah patut dimanfaatkan untuk mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan. Ingat tu, keluarga adalah segala-galanya. 

            “Yana, jomlah kita duduk kat batu tu.” Ajak Rathi. 

            “Jom. Ni mesti nak layan blueslah tu.” Usik Dayana.

            “Ha ah, dengan kau. Jomlah cepat,” gesa Rathi.

            “Ei, tak kuasa aku,” seloroh Dayana. 

Rathi sudah menjegilkan matanya. Pantas mereka mengatur langkah ke sana. Dayana memandang sekeliling. Melihat jika ada sesiapa di situ. Setelah dipastikan keadaan selamat, Dayana mengangkat skirt labuh yang dipakainya hingga ke paras lutut. Menyesal pula dia tidak menyarung sekali seluar track suitnya tadi. Kan sudah menjadi satu masalah sekarang! Satu pasal pula nak meredah air. Sudahlah pakaiannya tidak kena dengan acara. Semua ni kak ngah punya pasallah. Beria-ia mahukannya memakai baju itu. Dayana pula jenis yang menurut kata. Lagipun, dia bukan nak bermandi-manda. 

Rathi tersenyum apabila Dayana mula mendaratkan duduknya. Sedang Dayana leka bergelak dengan Rathi, tiba-tiba tudungnya terangkat sedikit apabila angin yang entah dari mana datang menyapa mereka. Cepat-cepat Dayana menarik tudungnya kembali menutupi dada. Salah dia juga, terlupa mahu membawa tudung labuhnya. Terpaksa pula meminjam tudung bawal kak ngah. Itupun sudah dilabuhkan. Fabrik jenis ringan memang senang diterbangkan angin. Jangan pula ada yang ternampak, susah pula dia nanti. Minta dijauhkanlah.

            “Rathi, Dayana! Sudah-sudahlah tu. Mari, tolong saya bakar ayam ni.” Laung Cikgu Wahid. 

Mereka saling berpandangan. Punyalah ramai pelajar perempuan di sana, mengapa mereka juga yang dipanggil? Mana tidaknya, Dayana dan Rathi adalah antara pelajar yang rapat dengan cikgu mereka itu. Jadi mungkin lebih senang sekiranya mereka yang membantu.

            “Yalah cikgu. Kami datang ni.” Sahut kami berdua dengan serentak. 

Dayana memandang Rathi, mereka gelak bersama.  

            “Ke tepilah Ramesh! Biar kami yang pro bab masak-memasak ni yang buat. Shuh..shuh pergi main jauh-jauh.” Ramesh menjelirkan lidahnya kepada Dayana.

            “Pro konon. Hangit ayam ni, siap korang.” Seloroh Ramesh.

            “Hello, tengok tanganlah,” balas Rathi. Ammar hanya menggelengkan kepala melihat telatah mereka bertiga itu. 

Pandangan Dayana tertumpu ke arah Cikgu Wahid yang sedang bersembang dengan Liana dan kawan-kawannya. Leka seketika dia memerhatikan gurunya itu. Terlalu banyak kebaikan yang dihulurkan kepadanya. Sehingga sakit, demamnya pun diambil kira. 

Dayana masih ingat lagi, satu hari itu dia sakit gigi. Sepanjang hari di dalam kelas, dia hanya mendiamkan diri sahaja. Kebetulan pula semasa subjek Cikgu Wahid ada pembentangan projek secara berkumpulan. Dayana hanya mampu menulis soalan yang mahu diajukan dan mewakilkan Rathi menyoal bagi pihaknya. Rupanya, dia diperhatikan oleh guru itu dari awal lagi. 

             “Kenapa dengan kamu ni Dayana? Tak sihat ke?” Tanya Wahid yang terus sahaja mendekati Dayana sebaik waktu kelasnya tamat. Kelihatan dia mengerutkan keningnya. Risau juga dia dengan keadaan pelajar kesayangannya itu. Selalunya, mulut dia yang becok bertanyakan soalan itu dan ini pada setiap kumpulan yang membuat pembentangan. Terpandang olehnya bengkak di pipi kiri gadis itu.

“Maaf cikgu, saya sakit gigi sebenarnya.” Balas Dayana. Cuba bayangkan bagaimana pertuturan orang yang tengah sakit gigi hingga bengkak di pipi? Sakitnya!

“Awak nak ubat tahan sakit tak?  Kalau nak, saya ambilkan. Ada di rumah. Tunggu saya balik rumah sekejap.” pelawa Wahid. Kasihan melihat penderitaan pelajar kesayangannya itu.

            “Eh tak apalah cikgu. Tak payahlah susahkan diri. Esok, baiklah gigi saya ni.” Balas Dayana.

“Kalau macam tu, tak apalah. Dayana rehat ya.” Balasnya. Terus sahaja dia melangkah keluar. 

Dayana merasa lega. Takkanlah kerana dirinya yang bukan sesiapa dengan Cikgu Wahid itu hingga perlu guru tersebut bersusah payah untuk menolongnya. Dayana terlupa terus akan hal itu hinggalah selesai waktu rehat. Sedang dia dan Rathi baru sahaja duduk di tempat mereka, Cikgu Wahid muncul dari pintu belakang kelas. Terkejut Dayana dengan kemunculannya secara tiba-tiba itu.

            “Nah Yana. Awak makan ubat ni.” Terus saja dihulurkan satu bekas kecil kepada Dayana.

            “Cikgu, buat apa susah-susah ni.” Jawab Dayana yang terkejut.

           “Mana ada susah. Makan ya. Sekejap lagi okeylah sakit gigi awak tu. Jangan tak makan pula.” Balas Wahid.

 Teragak-agak Dayana, mahu atau tidak untuk mengambil bekas yang berisi ubat di tangannya. Akhirnya, bekas ubat bertukar tangan. Dayana terus sahaja menelan ubat itu di hadapan Cikgu Wahid. Kebetulan, dia memang membawa bekal air ke sekolah setiap hari. Terharu dia dengan perhatian yang guru itu berikan padanya. Tetapi, gamat kelasnya waktu itu. Selama seminggu dia terpaksa menahan telinganya kerana diperli oleh rakan-rakan yang lain. Mujurlah kesabarannya bertingkat-tingkat waktu itu. 

Dayana tersenyum apabila teringat akan kisah itu. Betapa bertuahnya dia kerana dapat menjadi sebahagian dari kelompok masyarakat di sini. 

“Jauhnya awak berangan,” Dayana pun,

Oh ubat kau Fahim!” latahnya. Hesy, bilalah agaknya penyakit latah Dayana akan hilang. Tidak ada nama lain ke dia nak sebut? Dayana melopong mulutnya sebaik menyedari gerangan yang menegurnya. 

‘Alamak matilah aku. Mati-mati, aku ingatkan Rathi tadi. Aduh, macam mana ni?’ gumamnya. Dia menundukkan wajah sambil mengetap bibir. Tidak berani untuk menatap wajah Ammar. Di dalam hati Dayana, macam-macam rentak yang ada.

“Saya bukan Fahim, Yana. Siapa Fahim?” berkerut dahi Ammar memandang wajah Dayana. 

‘Aduh, apa alasan aku nak beri kat dia ni? Kalau dengan Rathi, senang aku elak. Dengan Ammar… macam mana ni?’ Dayana bermonolog.

“Saya tanya awak ni Dayana,” soal Ammar sekali lagi. hanya kebisuan gadis itu yang menjadi santapan matanya.

Hah. Eh, tak ada siapalah Ammar. Kalau ya pun, tak ada kaitan dengan awak.” Itu jawapan Dayana. Kenapalah itu jawapan Dayana? Lain yang difikir, lain pula yang terkeluar dari mulutnya. Itulah padahnya apabila kata-kata tidak seiring dengan hati. Fahim adalah masa silamnya dan Ammar pula... Selama ini dia hanya menganggap Ammar hanyalah sebagai kawan. Satu-satunya kawan lelaki yang rapat dengannya.  

Ammar merengus. Dia bingkas bangun meninggalkan Dayana. Sungguh, dia amat terasa dengan jawapan yang keluar dari mulut oleh gadis itu tadi. Apa kedudukan dirinya di dalam hati Dayana? Sudahlah kejadian yang terlihat olehnya tadi, sedikit menggugat keimanannya. Secara tidak sengaja dia ternampak betis Dayana yang putih melepak semasa gadis itu meredah air tadi. Tidak berkelip matanya apabila menyaksikan kejadian tudung gadis itu terangkat saat ditiup angin. Dadanya bergetar dengan hebat. Selama ini, Dayana cukup menjaga pemakaiannya, tetapi hari ini...

“Yana, kenapa dari tadi aku tengok Ammar diam je? Kalau tak, ada aje mulut becok dia tanya itu ini kat kau? Pandang kau pun semacam je? Kau gaduh dengan dia ke?” soal Rathi. 

 Eh mana ada? Kitorang okey jelah.” Balasnya ringkas. 

Dayana bingkas bangun, menuju ke tempat letaknya makanan. Dia menyeduk bihun goreng kemudian mengambil seketul ayam bakar dan sebiji kuih karipap, diletakkan di atas pinggan kertas kemudian melangkah ke arah Ammar yang sedang berdiri memeluk tubuh di sebalik sebuah pohon yang besar. Niat di hatinya ingin memujuk jejaka itu.

“Nah Ammar. Makanlah, saya ambilkan khas untuk awak.” Disuakan pinggan kertas itu kepada Ammar. Lama juga dia menanti Ammar mengambil pinggan tersebut. Ammar kelihatan teragak-agak mahu menyambutnya. Apabila pinggan sudah bertukar tangan, Dayana berpaling mahu melangkah pergi. Terasa lengan baju kanannya ditarik agak kuat hingga menyebabkan belakang tubuh terdorong ke dada bidang Ammar. Dayana terkedu! Dayana dapat merasakan desahan nafas Ammar hingga menerjah ke cuping telinganya walaupun berlapik. Gulp, Dayana menelan air liur kelatnya. Menahan gelora di dada. Kedua tangan Dayana mencengkam sisi bajunya. Matanya pula dipejam dengan kuat.

“Jangan ingat awak boleh lepaskan diri macam tu je Dayana! Jawapan yang awak berikan tadi masih belum cukup memuaskan hati saya. Saya mahukan penjelasan dari awak. Tolong jangan seksa saya macam ni!” Dibisikkan ayat itu ke telinga gadis yang menjadi igauannya. Ammar tidak boleh bertangguh lagi tentang urusan hati dan perasaannya. 

Dayana tidak mampu menuturkan kata-kata. Kelu lidahnya saat ini. Dia boleh mendengar degupan jantung jejaka itu. Sekuat degupan jantungnya juga. Ringan sahaja langkah gadis itu dihayun meninggalkan Ammar tanpa menoleh sebaik dia selesai berkata-kata. Perbuatan Ammar tadi benar-benar menakutkan Dayana. Jika diturutkan hatinya, mahu sahaja dia pulang ke rumah kak ngah dengan hanya berjalan kaki. Namun, apabila mengenangkan hutan belukar dan bermacam-macam lagi tempat sunyi yang perlu ditempuhinya, dibatalkan sahaja niatnya itu. 

            “Kak, aku nak balik rumah kak ngah kejap. Nak ambil baju aku kat rumah dia.  Petang nanti aku balik asrama. Barang aku pun banyak yang tak kemas lagi.” ujar Dayana.

            “Yalah. Elok-elok dik. Jangan malam sangat balik asrama.” Pesan Liana.

Banyak juga aktiviti yang berlangsung hari ini namun Dayana langsung tidak memberi perhatian terhadap semua itu. Hatinya berdebar-debar apabila setiap kali bertentang mata dengan Ammar. Kurang enak perasaannya hari ini.

‘Aduhai Ammar, mengapa kau mendera perasaan aku ni?’ rintih Dayana.



No comments: