Monday 26 August 2013

Bab 26



BAB 26

Sesi latihan untuk sketsa tingkatan empat dimulakan seperti yang dirancang. Masing-masing terpegun dengan kebolehan Dayana, menyanyi. Suara merdunya memukau semua yang ada di situ.

“Sedap suara awak Dayana. Tak sangka pula awak ada bakat menyanyi.” Puji Wahid. Tidak menyangka, gadis itu mempunyai bakat menyanyi.

“Mana ada cikgu.” Balas Dayana. Dia malu apabila dipuji sebegitu. 

 “Adik saya ni memang suka menyanyi dari dulu lagi cikgu. Masa kat sekolah rendah dulu dia aktif cuma bila dah masuk sekolah menengah kurang sikit sebab arwah mak tak izinkan.” Sampuk Liana. Dayana memandang Liana.

‘Amboi, kakak aku ni, boleh tahan ya.’ Desisnya.

Ammar hanya memicingkan telinganya sahaja. Banyak misteri tentang Dayana mulai terungkai. Selama ini dia banyak merisik dari Rathi dan Liana tentang Dayana. Ternyata, Dayana orang yang berkebolehan bukan sahaja pandai dalam hal pelajaran malahan pandai dalam menguruskan hal ‘rumahtangga’. Ammar tenggelam dalam angan-angannya. Dia memasang niat, mahu memiliki Dayana suatu hari nanti.

Mujur tidak tersembur air yang sedang diminum Dayana semasa dia sedang berehat di kantin sekolah. Kering tekaknya kerana disuruh menyanyi tadi. Terkejut sedikit dengan suara sergahan dari arah belakanngnya. Dia mengalihkan tubuh, melihat susuk tubuh empunya suara.

“Tahniah Yana! Nampaknya sejak awak ada kat sini, kami dah macam tak ada fungsi pula. Asyik-asyik Lily Dayana, Lily Dayana. Sikit-sikit dahlah awak tunjuk belang. Takkanlah tak bagi peluang langsung pada kami untuk tunjuk bakat.” Ujarnya.

Dayana tergelak dengan pujian yang sebenarnya lebih kepada sinisan oleh Salina. Pelik! Kenapa pula mereka rasa tergugat dengan dirinya yang serba kekurangan itu? 

 “Terima kasih Salina. Tak apa, lepas ni saya kena beritahu pada sesiapa yang nak calonkan saya untuk apa-apa pertandingan supaya lupakan hasrat mereka. Saya akan syorkan nama awak pula nanti.” Dayana ikhlas menuturkannya.  

 “Kau jangan nak tunjuk bagus Yana. Sejak kau ada kat sekolah ni, Ammar dah jarang cakap dengan aku. Aku rasa, elok kau jauhkan diri dari Ammar. Aku nak kau tahu yang aku dengan dia couple, okey.” Salina memberi peringatan. 

Dayana mencebikan mulutnya sambil matanya dijulingkan ke atas. Jengkel dengan Salina.

 Ekeleh Salina, itu pun awak nak kecoh? Soal awak berpasangan dengan Ammar ke, apa ke, tu semua tak ada kaitan dengan saya. Tak payahlah awak bersusah payah nak beri saya amaran okey. Jagalah kekasih hati awak tu elok-elok. Saya di sini bukan nak mencari jejaka idaman tapi nak menuntut ilmu.” Balas Dayana bertalu-talu.

Selesai membalas kata-kata Salina, Dayana berlalu pergi. Malas mahu melayan ragam mereka. Buat malu sahaja bergaduh sesama kaum hanya kerana seorang lelaki. Dayana hairan dengan Salina. Mengapa harus dirinya dicemburui oleh gadis yang mendapat jolokan ratu sekolah itu? Dia tidak setanding dengan Salina. Bagai langit dan bumi perbezaan antara mereka. Terang-terangan Salina menuduhnya sedangkan bila pula dia dengan Ammar berpasangan? 

Bukan Dayana yang suka menonjolkan diri. Cikgu Wahidlah orang yang mahu sangat melihat penglibatannya dalam perlbagai aktiviti di sekolah itu. Sehinggakan tuan pengetua juga turut mengenali dirinya. Yalah, dengan bilangan pelajar yang agak ciput di sekolah barunya itu memanglah sesiapa yang punyai kelebihan akan dikenali. Dia tidak pernah berbangga dengan semua pencapaiannya selama ini, takut nanti memakan diri pula. Berada di sini, banyak mengubah dirinya. Sedaya upaya Dayana cuba mencipta watak baru di sini. Dayana yang lama seorang yang pendiam, telah lama dia tinggalkan. Namun, pendiriannya yang tegas serta sikap rendah diri tetap dikekalkan kerana itu sudah sebati dengannya.




Dayana yang sedang menghayun kaki, terhenti langkahnya. Pantas tangannya menyelongkar beg sekolah. Apa yang dicarinya, memang tiada di dalam beg. Dia mula rasa cuak.

            “Kenapa ni Yana?” soal Iza yang kehairanan. Bertaut kedua keningnya.

“Iza, aku rasa kau jalan dululah ya. Aku kena patah balik asrama ni. Rasanya buku latihan sastera aku tertinggallah.” Balas Dayana, cemas.

“Janganlah lambat sangat. Karang tak pasal-pasal kau kena berdiri kat belakang.” Iza cuba mengingatkan sahabatnya akan hukuman kepada mereka yang lewat hadir ke sekolah.

“Kau jangan risaulah.” Balas Dayana dan terus sahaja dia melangkah pergi. 

Dari tadi dia mencari buku latihan sasteranya. Sudahlah kena hantar buku itu kepada Cikgu Saad nanti. Kecut perutnya saat terkenang bagaimana cikgu itu merotan pelajar lelaki yang membuat salah tempoh hari. Dirotan di punggung. Cikgu Saad siap buat pusingan 360 darjah lagi. Takutnya! Itu pelajar lelaki, kalau perempuan mahunya siap melompat agaknya aksi yang akan guru itu buat untuk merotan tangan mereka. Tetapi belum pernah lagi dia merotan pelajar perempuan. Dia juga tidak mahu menjadi mangsa yang pertama. 

Tuah enggan menyebelahinya kerana terlewat dua minit. Sekolah itu akan ditutup pintu pagarnya jam 7.15 pagi. Sudahlah adik-adik pengawas langsung tidak boleh bertolak ansur dengannya. Sabar sahajalah Dayana dengan ketegasan mereka. Tak pasal-pasal Dayana terpaksa berdiri di barisan belakang. Sekejap lagi, satu sekolahlah akan dirondanya kerana didenda mengutip sampah. Apa yang sedang dikatakan oleh Ustazah Zahirah di hadapan pun dia tidak ambil pusing. Ammar pula, sekejap-sekejap menoleh padanya sambil tersenyum. 

“Perli ke apa dia ni? Yang lain pun sama je. Tak pernah tengok orang kena denda ke?” bebel Dayana sendirian. 

Dayana tersentak apabila Rathi melaung namanya. Dengan isyarat tangan dia menyuruh Dayana ke hadapan. Terpinga-pinga Dayana dibuatnya. Deras langkahnya diatur menuju ke pentas. Dia mengerling piala yang sudah bertukar tangan itu. ‘Anugerah Pustakawan Contoh’. Malunya Dayana. Pustakawan contoh didenda kerana datang lewat hari ini. Manalah dia nak disorokkan mukanya itu. 

 ‘Nak buat macam mana, bukan aku yang undi diri aku sendiri? Manalah aku tahu, nama aku pun tercalon untuk anugerah ni?’ rungut Dayana dalam hati. Bukan dia tidak nampak, Farizal dan Salina menjeling sambil berbisik sesama rakan mereka tadi. Dia mengatur langkah, berlalu pergi.

“Kita menjemput sekali lagi, Pustakawan Contoh kita untuk tampil ke hadapan bagi menyampaikan sebuah sajak. Tanpa membuang masa saya persilakan Lily Dayana untuk menyampaikan sebuah sajak.” Langkah Dayana terhenti. Matanya dibesarkan.

‘Alamak, sajaklah pula ustazah ni!’ Otaknya bekerja keras, cuba mengarang bait-bait untuk sajaknya.

“Terima kasih ustazah. Saya harap agar sajak yang ingin saya sampaikan ini memberi manfaat pada kita. Semoga kita lebih menghargai orang yang kita sayangi sebelum terlambat. Sayangilah ibu bapa kita kerana tanpa mereka, kita tiada di sini.  Hargailah setiap jasa dan pengorbanan mereka dan janganlah sesekali derhaka kepada mereka. Begitu juga kepada guru-guru kita. Sajak ini saya dedikasikan buat semua. Renungkanlah setiap bait-bait yang saya ciptakan dalam sajak yang saya karang secara spontan ini. Apabila kita kehilangan insan yang kita sayangi, masa itulah penyesalan akan datang. Sedarlah, sebelum ianya terlambat. Terimalah sajak dari saya,” Dayana menarik nafas, menghembusnya perlahan, cuba menenangkan perasaan. 

Dengan tenang, dia mendeklamasikannya dengan penuh perasaan.

Wahai teman, tahukah kau betapa dalamnya kasih ibumu?
Tahukah kau betapa lebarnya kasih ayahmu?
Sejauh manakah kalian ketahui kasihnya mereka padamu?
Perlukah diukur kasih sayang mereka itu?

Wahai teman, sedarkah kau betapa banyaknya khilafmu?
Andai disukat, berapa beratnya?
Andai dihitung berapa jumlahnya?
Andai diukur, berapa pula jaraknya?

Oh teman, masih belum terlambat untuk kalian perbaiki
Menyedari khilaf sendiri selama ini
Menyedari betapa ruginya diri
Menginsafi sebelum sesal menjerut diri

Sayangilah mereka teman, selagi hayatmu dikandung badan
Tiada yang berharga selain mereka
Jangan dikesal andai nyawa mereka bercerai badan
Taatlah mereka seperti yang dituntut oleh Yang Maha Esa.


                                                                                              Nukilan secara spontan oleh,
                                                                                              Lily Dayana binti Hamid

            Usai mendeklamasikan sajak itu, kedengaran tepukan yang gemuruh. Air mata yang bergenang berjaya dikawal dari tumpah. Kepada yang masih mempunyai ibu bapa, kalian sememangnya beruntung. Janganlah mensia-siakan peluang untuk berbakti kepada mereka selagi mereka masih bernyawa. 

Dayana mengangkat wajah, memandang lautan manusia di hadapan. Takkanlah bagus sangat sajak yang dia sampaikan hingga guru-guru pun merah mata mereka. pandangannya jatuh ke arah Ammar, dapat dibaca gerak bibir Ammar yang mengatakan I LOVE YOU. Dayana terkedu! 

“Biar betul dia ni?” Desis Dayana.




No comments: