Tuesday 23 July 2013

Bab 17


BAB 17

Sejak bermulanya sesi persekolahan kali ini, Fahim resah. Hidupnya menjadi tidak keruan. Wajah yang sering menjadi igauannya sepanjang cuti sekolah yang lalu masih tidak muncul. Dia mendapat tahu dari Sofia bahawa emak Dayana telah kembali ke rahmatullah kira-kira enam hari lepas. Terkejut dia dengan berita yang disampaikan oleh Sofia tadi. Tumpah rasa kasihan terhadap gadis itu yang kini sudah menjadi yatim piatu dalam usia yang begitu muda. Bagaimana agaknya dengan keadaan Dayana?

“Fahim, kau nak derma tak untuk Yana?” tanya Fara yang sedang memegang sebuah kotak, bertebuk di atasnya. Dia melihat Fahim menyeluk saku lalu memasukkan sekeping not berwarna hijau ke dalam kotak tersebut.

“Fara, bila Yana nak balik sini?” soal Fahim.

“Eh, aku lupa nak bagitahu kau Fahim. Masa rehat tadi aku telefon mak aku. Yana dah ada kat rumah dia, tengah berkemas. Katanya, Yana nak pindah.” Balas Fara. Mata Fahim, membeliak. Terkejut dengan apa yang didengarinya.

“Betul ke Fara?” bagai tidak percaya dia dan Dayana akan berpisah tapi bila pula mereka berpasangan? 

“Kau rasa, tak apa ke kalau aku nak ziarah dia?” sambungnya pula. Dia teringin sangat mahu berjumpa dengan Dayana. Melihat sejauh mana ketabahan gadis itu dan yang paling utama, dia rindu mahu menatap wajah Dayana.

“Eh apa pulak yang tak boleh Fahim. Macam nilah, balik karang kita berkumpul kat pondok di pagar sekolah sana. Kami memang nak pergi melawat dia nanti.” Balas Fara kemudian dia berlalu pergi.

“Sabarlah Fahim. Aku pun sedih juga. Yalah, dua tahun kami duduk bersama, alih-alih tahun ni dia tak ada pula,” ujar Sofia meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya dengan nada sebak. Fahim menghela nafas. Terpukul dengan kata-kata Sofia.

Azreena juga turut merasakan kehilangan. Dia menundukkan wajahnya yang kelihatan sugul itu. Kehilangan ibu tercinta masih berbekas dalam hati, kini sahabat baik pula akan meninggalkannya. Masing-masing kehilangan kata-kata.


Iman mempamer senyuman saat melihat gadis yang bertakhta di dalam hatinya sedang bermenung. Sedang di tangannya pula memegang sehelai baju untuk dilipat. Iman melangkah perlahan. Gadis hitam manis yang digilainya, didekati. 

“Dah habis ke kau kemas baju dik?” Iman menegur gadis itu yang sedang dilihatnya termenung.

     “Opocot mak kau!” latah Dayana. Dia berpaling mengahadap Iman yang sedang menyengih, membariskan giginya yang tersusun rapi itu.

“Ei, apalah abang ni! Kalau ya pun cubalah bagi salam dulu. Ni tak, main sergah je. Lama-lama kalau macam ni boleh kena sakit jantung tau tak. Abang nak adik mati cepat ke? Huh.” Lily Dayana mengurut dada. Terasa laju degupan jantungnya hingga mahu tertanggal rasanya. 

“Tak baik cakap macam tu tau.” Balas Iman. Muka monyok Dayana menjadi tatapannya. Iman gelak mengekek-ngekek. Terasa lucu pula melihat telatah gadis genit itu. Macam-macamlah sayang dia ni. Comel, apabila melihat Dayana begitu.

“Amboi, sejak bila pulak pandai melatah ni?” soal Iman dan menyambung kembali tawanya. 

“Sejak besok!” jawab Dayana lalu menjelirkan lidahnya ke arah lelaki itu. 

“Orang serius, dia memain pula,” rungut Dayana lagi yang sudah tidak kuasa mahu melayan sepupunya itu. Sudahlah tiada siapa di rumah hanya mereka berdua sahaja. Dari tadi lagi Liana, mak uda dan bapa saudaranya itu keluar. Agaknya adalah mereka ke mana-mana? Seram juga Dayana dengan mamat ulat bulu tu. Bulu romanya mula terasa meremang sekarang. Minta dijauhkanlah segala perkara yang tidak baik darinya.

“Amboi jawapan kau dik tepat, padat dan menyengat lagi.” Jawab Iman. Pantas jarinya mencuit hidung mancung Dayana. 

“Ini dah lebih! Main cuit-cuit hidung orang pula.” Bentak Dayana dan tanpa menunggu lebih lama dia bingkas bangun lalu beredar ke laman rumahnya. Dia duduk di bangku yang arwah emaknya sediakan di luar rumah mereka itu. Selalunya pada waktu petang, ada sahaja jiran yang akan datang bersembang dengan emak. Dayana mengalihkan pandangan ke pintu di sebelah kirinya. Di ambang pintu itulah, emak selalu duduk bersandar sambil menjahit. Emak akan melayan jiran-jirannya yang singgah untuk bersembang. Air matanya menitis lagi. Rindu terhadap emak semakin menggunung di dalam hatinya.

“Sayang, sudahlah. Jangan macam ni. Abang kan ada,” pujuk Iman. Dia tidak mampu melihat kesedihan Dayana kerana terasa terpalit pada dirinya juga. Iman mengambil tempat di sebelah Dayana. Tangan kanannya kini memaut bahu gadis hitam manis itu. 

‘Ah sudah, dia buat lagi.’ desis Dayana. Dia menolak lembut tangan lelaki itu namun semakin kemas pautannya. Dayana jadi bungkam dan hanya membiarkan sahaja sedang dalam hatinya berharap agar lelaki itu tidak melampaui batasan. Dayana kurang selesa sebenarnya dengan keadaan itu.

“Assalamua’laikum,” ucap satu suara. 

‘Siapa pula yang beri salam?’ desisnya. Dayana menoleh ke kanan. Wah, ramainya. Sudah macam rombongan sekolah pula. 

“Cikgu. Korang pun ada sama. Ya Allah, rindunya aku kat korang.” Dia bingkas bangun dan menuju ke arah rombongan tersebut yang terselit wajah-wajah yang amat dirinduinya. Terus sahaja Dayana memeluk sahabat-sahabatnya itu. Mata Dayana bertembung dengan Fahim yang hanya tersenyum tawar memandangnya. Jantungnya berdegup pantas.

Fahim terpaksa menyembunyikan riak cemburu di wajahnya. Siapa jejaka itu?  Apa hubungan dia dengan gadis pujaannya sehingga berani memeluk Dayana? Persoalan yang hanya mampu dilontarkan di dalam hatinya sahaja. Dia memandang Zaki di sebelah. Bahu Zaki dijongket.

“Lupa nak kenalkan abang sepupu Yana, Amzar Shahiman. Anak pak uda Yana yang banyak membantu. Jomlah, jemput masuk semua. Jemputlah ke rumah Yana yang tak seberapa ni cikgu,” pelawanya sambil bibir menyengih.

“Ada-ada aje kamu ni Dayana..” balas Saparman dan kata-katanya itu menyebabkan mereka semua tertawa. 

Riuh rendah suasana di rumah Dayana ketika itu.

“Yana, kau tetap ke dengan keputusan nak pindah tu? Tak boleh ke kalau kau tinggal je kat sini. Mak aku kan ada, kami semua boleh tengok-tengokkan kau.” Soal Fara kepada Dayana sebaik sahaja sahabatnya itu melabuhkan duduknya kembali setelah menghantar Cikgu Saparman pulang. 

 “Fara, bukan aku tak nak ikut cadangan kau tu. Aku tak mampu. Keadaan sekarang tak memihak pada aku. Arwah mak mesti tak suka kalau aku terlalu bergantung harap pada orang. Selagi aku mampu bertahan, aku akan cuba Fara. Korang janganlah risau, doakan kejayaan aku.” Dayana mula terasa sebak. Dia juga kalau boleh tidak mahu berpisah dengan rakan-rakannya itu. Apa yang boleh dia lakukan lagi? Hidupnya perlukan perhatian yang lebih dewasa.

“Lah, ramai rupanya dalam rumah. Dah lama ke sampai?” sapa Zakaria. Patutlah bersepah kasut berwarna putih di luar rumah tadi. Masing-masing bangun mendapatkannya lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Zakaria kemudiannya duduk di kerusi yang ada di hadapan anak saudaranya itu. Kemudian, muncul pula anaknya Iman yang dari tadi hanya menjadi pemerhati dari luar sana dan mengambil tempat di sebelah Dayana yang kebetulan kosong. 

‘Hish sibuk je Abang Iman ni,’ gerutu Dayana dalam hati sambil menjeling. 

“Pakcik, tak boleh ke Yana tinggal terus kat sini? Sayang nak berpisah dengan dia. Kami ni dah macam adik beradik pakcik.” Ujar Azreena.

Zakaria menghelakan nafasnya.

“Susah pakcik nak benarkan nak. Siapa yang nak jaga mereka nanti? Siapa pula yang menanggung mereka? Lagipun, Yana dah buat keputusan nak tinggal kat rumah anak yatim. Sedangkan tawaran pakcik nak jaga mereka pun ditolak inikan pula permintaan kamu, nak.” Terang Zakaria. 

            “Percayalah kalau keadaan mengizinkan, aku sesekali takkan berpisah dengan korang tapi aku tak mampu. Mengertilah, berat keputusan yang aku ambil ni.” Luah Dayana kepada mereka. Bergenang air mata Dayana.

Suasana sepi seketika.

“Tak apa adik-adik semua, janganlah risau. Abang akan jaga kawan korang ni ibarat menjaga nyawa abang sendiri. Kalau korang nak tahu, abang sayangkan kawan korang ni lebih dari diri abang sendiri tau,” Tiba-tiba mamat sengal itu bersuara. Sempat lagi dia mengenyitkan mata kepada Dayana. 

‘Ei, sabar je aku dengan perangai kurang semenggah dia ni. Ada ke patut dia kata macam tu pada kawan-kawan aku?’ Dayana merengus sendirian. Matanya dijulingkan ke atas. Bibir bawahnya sudah digigit, menahan geram.

Fahim tergamam dengan kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu. Hatinya benar-benar dipaut rasa cemburu. Takkanlah seorang abang sepupu sanggup melayan adik sepupunya sampai macam itu sekali? Ah, mungkin mereka rapat sejak dari kecil agaknya. Fahim memujuk dirinya sendiri, cuba membuang pemikiran songsang yang sudah mahu menerjah benaknya itu. Lantas dia memberi isyarat pada Sofia. 

“Er, Yana. Jom, kita ke luar kejap. Ada benda aku nak beritahu kaulah. Jomlah,” Lantas ditariknya tangan Dayana agar bangun dari kerusi. Tanpa banyak soal, Dayana bingkas bangkit dan mengikut Sofia ke luar. 

Dari luar rumah, kedengaran riuh suara Fara dan yang lain bertanyakan itu dan ini kepada sepupunya itu. Memang dia akui bahawa sepupunya itu adalah seorang lelaki yang sangat peramah. Sebab itulah dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja kerana sikap ramahnya itu. Dengan Dayana pula, ramah-tamah dia lain macam, sudah jadi terlebih ramah pula hingga lemas Dayana dengan perangainya. Sudahlah tu, tidak makan saman pula walaupun telah berkali-kali diingatkan supaya tidak keterlaluan.

“Ada apa Sofia kau ajak aku ke luar ni? Penting sangat ke hal kau tu?” soalnya. Dayana melabuhkan duduk di sebelah Sofia. Berdebar-debar pula hatinya. Apalah agaknya perkara penting yang mahu Sofia sampaikan?

“Macam ni Yana. Esok, kau nak pergi sekolah, kan? Lepas selesai urusan kau, jangan balik lagi. Kau tunggu kat pondok dekat pagar sekolah tu. Ada hal sikit aku nak sembang dengan kau kat sana. Nanti kita balik sama-sama.” Terang Sofia. 

Dayana mengerutkan keningnya dan kini sedang memandang Sofia atas, bawah. Pandangan yang menunjukan rasa tidak berpuas hati dengan penjelasan Sofia yang masih tergantung itu.

“Apa yang rahsia sangat ni Sofia? Tak boleh ke kau beritahu kat sini je. Kau ni kan, suka buat aku jantung aku dug..dag,” kata Dayana yang tidak berpuas hati. 

“Kau ni Yana, cubalah belajar sabar sikit. Esok okey aku beritahu kau. Sabar, jangan lekas merajuk.” Pujuk Sofia. Sengaja dia mahu mendera hati Dayana. Bukan dia tidak nampak reaksi Dayana yang tidak berpuas hati tiu. Sofia tersengih.

“Dah macam kerang busuk kau sengih macam tu. Aku cubit juga pipi kau tu nanti, baru kau tahu macam mana sakitnya. Yalah, aku tunggu kau esok. Kalau cerita kau tak buat aku berdebar, siap kau.” Dayana sengaja mengeraskan nada suaranya. Macamlah keras sangat amarannya itu. 

Sofia mengangkat tangan kanannya seperti orang sedang berikrar pula. Mereka tergelak bersama-sama. Pastinya Dayana akan merindui semua kenangan ini kelak. Akan dia bawa kenangan bersama semua temannya di sini.

No comments: