Thursday 11 July 2013

Bab 16



BAB 16

Lima hari selepas pemergian emaknya, Dayana terpaksa pulang ke Johor Bahru dengan menaiki kereta Iman untuk menguruskan rumah yang mereka sewa di sana. Dayana yang pada mulanya menolak untuk pergi bersama lelaki itu akhirnya terpaksa juga mengalah. Tidak tahulah apa yang lelaki itu ‘gula-gulakan’ abahnya hingga dengan senang pak uda memberi izin. Nampaknya, keadaan tidak memihak pada Dayana. 

Liana pula katanya mahu menaiki kereta bersama pak uda setelah puas dipujuk oleh mak uda. Seboleh-bolehnya, Dayana cuba menahan rasa marahnya terhadap Iman yang boleh berlagak selamba sedangkan di dalam hati Dayana perasaan geram telah muncul. Bertambah sakit hatinya apabila melihat senyuman nakal yang terbit dari bibir lelaki itu tadi. Peristiwa beberapa malam yang lalu masih segar dalam ingatannya. Sejak hari itu, Dayana cuba menjauhkan diri dari sepupu lelakinya itu. 

“Kenapa dari tadi senyap je kau ni dik? Kau marah lagi ke dengan abang? Maafkan abang, ya sayang. Tolonglah, jangan buat abang macam ni. Selagi abang tak dengar suara adik, abang tak tenang. Abang sanggup buat apa je, asalkan kemaafan adik abang dapat. Tolonglah cakap dengan abang?” luah Iman setelah agak lama keadaan sepi. 

Menunggu gadis itu mulakan bicara rasanya hingga sampai ke Johor Bahru dia tidak akan membuka mulutnya. Tidak tenang hidup Iman beberapa hari ini di atas keengganan gadis itu bercakap dengannya. Tambah membuat hidupnya tidak tentu arah apabila setiap kali gadis itu cuba mengelak sebaik mereka bertembung. Iman benar-benar menyesali atas apa yang berlaku. Semua kerana sayangnya terhadap gadis itu hingga memaksa dia bertindak di luar batasan. Berat rasa hati Iman mahu melepaskan gadis itu juah darinya. Dia tahu, gadis itu menolak pelawaan abahnya adalah kerana diri dia sendiri.

Dayana masih lagi mendiamkan diri sedangkan otaknya pula sedang bekerja keras memikirkan apa yang perlu dia katakan untuk membalas hujah lelaki itu. Ternyata lelaki itu langsung tidak menunjukan yang dia akan mengalah. Dayana terasa sungguh penat mahu melayan kerenah sepupunya tambahan pula dalam keadaan dia sedang kesedihan sekarang. Lelaki ini pula jika dibiarkan akan semakin melampau pula nanti. Rimas dia dengan segala pujuk rayu dari Iman yang mendambakan cinta darinya. Apalah yang ada pada diri Dayana hingga begitu sekali lelaki itu mengejarnya?

“Macam nilah bang. Adik akan maafkan kalau abang berjanji takkan buat lagi macam malam tu. Dan adik juga nak abang berjanji yang abang takkan ungkit lagi soal sayang ke, cinta ke... pada adik. Geli tau tak! Boleh tak anggap je adik ni macam adik abang sendiri? Adik rimaslah.” Balas Dayana dengan nada yang sedikit geram. Dia menjeling lelaki yang sedang memandu. Bukan menyampah atau meluat tetapi entahlah, buat masa sekarang dia tiada jawapan tentang apa perasaannya kepada lelaki itu. Dia memalingkan wajah ke cermin kereta di sebelah kirinya. Lebih baik jika dia melihat ke arah jalan raya di luar sana lagi bagus dari melihat muka sepupunya itu.  

“Yalah, yang mula-mula tu abang boleh janji. Insya Allah abang akan cuba sayang. Tapi yang nombor dua tu macam berat sikitlah. Hati dan perasaan abang tak boleh dipaksa dik untuk tidak menyintai kau. Kalau kita dah sayangkan seseorang, mustahil untuk kita buang perasaan tu dengan mudah kecuali jika abang pergi dulu, abang akan bawa bersama perasaan tu dik.” Balas Iman kembali. Agak sedih nada suaranya ketika itu. 

‘Aduh, dialog romantiklah pula. Bangkit pula bab-bab kematian ni.’ Desus Dayana. Pantas air matanya kembali mengalir. 

‘Mak…’ dia teringatkan emaknya.

“Alamak, abang minta maaf sayang. Abang bukan sengaja abang nak cakap macam tu. Abang cuma nak gambarkan bagaimana perasaan abang pada ko dik. Janganlah menangis,” pujuknya. Iman cuba memujuk lalu tangan kirinya cuba memegang tangan kanan gadis itu. Dengan segera Dayana menarik kembali tangannya. Iman tersentak sedikit dengan tindak balas gadis itu.

“Abang Iman, adik dah tak tahu nak cakap apa lagi. Macam nilah, adik dah malas nak bertekak dengan abang jadi biarlah waktu yang menentukan semuanya. Andai ada jodoh antara kita, adik terima dengan hati yang terbuka tapi kalau sebaliknya, adik doakan semoga abang bahagia walau dengan siapa pun abang bersama. Tolong jangan terlalu mengharap pada adik dan satu lagi, tolong berhenti panggil adik sayang.” Terus sahaja Dayana melentokkan kepalanya ke kerusi kereta lelaki itu dan buat-buat tidur. Dia tidak mahu memikirkan hal itu lagi. Masih banyak lagi perkara yang perlu dia fikirkan.

“Okey, kalau tu yang adik nak. Abang turutkan je tapi ingat, abang tak akan sesekali berputus asa mendapatkan cintamu. Abang akan berusaha untuk menjadikan adik permaisuri di hati abang. Abang takkan tukar perasaan abang terhadap adik. Semuanya hanya untuk Lily Dayana. Tak ada perempuan lain!” Tegas Iman lagi, meneruskan pemanduannya. Sebagai menghormati permintaan gadis itu, dia hanya mendiamkan diri sahaja.

Dayana tergamam sebaik lelaki itu selesai berkata-kata. Dia hanya membiarkan sahaja suasana kembali sepi. Biarlah masing-masing melayani perasaan. Sepanjang perjalanan, hanya suara DJ di radio kereta yang menemani mereka.  

“Dah sampai,” kata Iman.

Dayana tersentak. Panjang lamunannya hingga tidak menyedari mereka kini sudah berada di hadapan rumah sewanya. Sayu rasa hati Dayana sebaik melihat rumah sewanya tersergam di depan mata. Terlalu banyak kenangan terpahat di rumah itu bersama arwah emaknya. Di situlah suka duka, pahit manis yang mereka kecapi. Dia merapati rumah itu. Tangannya kini membuka mangga di pintu. Sebaik sahaja daun pintu rumahnya terkuak, dia melangkah masuk. Iman masih lagi di luar, mungkin menantikan abahnya. 

Tiba-tiba, hatinya diruntun pilu. Bergunung rasa hiba yang bertapak di hatinya. Laju sahaja air matanya menuruni lalu membasahi pipi. Dia sudah terduduk di lantai. Seolah-olah ternampak bayangan emak yang sedang duduk di mesin jahit. Dayana bingkas bangun, mendakap tubuh emak tetapi tiada. Dia kemudian tersedar bahawa semua itu hanyalah bayangannya sahaja.

“Adik, sabarlah. Abang tahu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Biarlah mak ngah pergi dengan tenang. Kita yang masih bernafas ni, kenalah teruskan hidup. Abang akan sentiasa di sisimu sayang.” Lembut ucapan lelaki itu menyapa hakwa telinganya. 

Tanpa disedari, Dayana melentokkan kepalanya ke bahu Iman. Iman pula mengangkat tangan kanan lantas memaut bahu Dayana. Kemudian Dayana tersentak!

“Eh, apa yang korang berdua buat ni hah! Kan ke tak manis, kalau orang nampak.” Sergah suara itu. Pantas kedua mereka menoleh, mata masing-masing sudah membesar sebaik mengenali empunya suara.
“Hish, kau ni pun Iman. Harapkan besar je, cubalah guna akal tu sikit.” Bebel Salmah. Berbulu mata apabila terpandang adegan yang memang kurang menyenangkan hatinya itu. 

‘Alamak, bila pula mak uda aku sampai? Ya Allah, apa aku dah buat ni?’ gumamnya. Gulp, laju sahaja dia menelan air liurnya. Baru tersedar khilafnya. Begitu menyesal Dayana kerana terlalu megikut hati yang luka hingga tidak menyedari kesilapan telah diciptanya. Jika waktu boleh diputar kembali... 

“Mak, jangan ingat bukan-bukan pula. Kami bukan buat apa-apa pun. Abah mana?”  Balas Iman dengan muka selamba bingkas dia bangun meninggalkan tempat itu.

“Ma..maaf mak uda.” Hanya itu yang mampu keluar dari mulut Dayana. Dia juga bingkas bangun, laju jalan yang diatur menuju ke biliknya. Salmah hanya menggelengkan kepala.

Dayana mendekati pak udanya yang sedang duduk berehat di bangku di halaman rumahnya. Barangkali melepaskan lelah barang sebentar kerana masing-masing baru sahaja sampai. Seperti sedang termenung panjang dia melihat bapa saudaranya itu. Entah apa yang dilamunkan agaknya?

“Pak uda, esok kami ingat nak ke sekolah. Banyak urusan kat sana tak selesai lagi” Ujar Dayana. 

Zakaria berpaling menghadap anak buanhya itu.

“Yalah. Esok pak uda hantarkan.” Jawabnya ringkas. 

“Kalau macam tu, adik masuk dulu. Banyak lagi barang yang nak dikemas.” Ujar Dayana meminta diri. 

Zakaria memandang anak saudaranya yang sedang melangkah pergi itu. Sedikit keluhan terhasil darinya. Akhirnya, dia berjaya mendapatkan rumah anak yatim yang akan dihuni oleh anak saudaranya itu. Apa yang dia tahu, rumah anak yatim itu baru sahaja di buka. Apabila mengenangkan mereka berdua akan berpindah ke sana, berdebar pula rasa hatinya. Rasa bersalah terhadap Zakiah menjerut dirinya kerana tidak dapat menjaga pasangan kembar itu. Ternyata, apa yang dirancang tidak menjadi. Benarlah kata orang ‘kita hanya merancang tetapi Allah S.W.T sahaja yang menentukan. Dia terpaksa juga menelan dan kini cuba menghadam kata-kata anak saudaranya yang enggan tinggal bersamanya. Panjang helaan nafas Zakaria, dia kembali termenung.

No comments: